Saturday, June 12, 2010

Mak! Saya Mahu Kahwin

Entri ini bukanlah luahan hati tetapi hanya sekadar menyatakan suatu pandangan, mungkin akan membuka minda dan mungkin juga akan ada yang membangkang. Terpulang.

Gejala sosial yang melanda negara kita berada pada tahap kritikal dan membimbangkan terutamanya yang melibatkan golongan muda remaja. Baru-baru ini dikejutkan dengan berita 16 pelajar di Terengganu 'berjaya' melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Kes buang bayi, zina, bersekedudukan mahram, seolah telah menjadi berita panas sebagai pelaris akhbar setiap hari.

Mak! Saya Mahu Kahwin

Luahan si anak yang menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya namun disusuli dengan sanggahan yang berbunyi "Jangan nak menggatal, muda-muda lagi dah fikir nak kahwin. Belajar pun tak habis-habis lagi, sudah nak fikir pasal nak kahwin". Biasa dengar kan? Angguk sajalah.

Hasrat si anak yang mahu berkahwin pada usia yang muda adalah merupakan satu niat dan hasrat yang baik serta positif tetapi kebanyakan (bukan semua) ibubapa sekarang memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang negatif malah hasrat anak-anak yang mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda cuba disekat dan dihalang. Berdasarkan situasi dan kondisi semasa, kahwin muda sepatutnya digalakkan malah ibubapa sepatutnya yang bertanya kepada anak-anak bila mahu mendirikan rumahtangga, bukannya menghalang anak yang mahu berkahwin.

Situasi kini yang boleh dilihat, ramai mana remaja lelaki yang membawa perempuan ke hulu ke hilir tanpa ada talian perhubungan yang sah. Sungguh pelik dan hairan melihat ibubapa yang hanya membiarkan anak gadis mereka diusung ke sana ke mari oleh lelaki. Kebejatan akhlak yang kian meruncing cukup dengan melihat pendedahan aurat berlaku di mana-mana. Remaja perempuan tanpa segan silu menayangkan 'pusat-pusat' mereka di pusat membeli belah, aksi peluk cium di sana sini, tidak kurang juga yang berpakaian mengalahkan artis-artis barat sehingga menampakkan bahagian sulit. Ini realiti. Lelaki mana yang sanggup melihat sahaja dengan membeliakkan biji mata masing-masing. Mengikut satu kajian, 70 peratus ransangan lelaki adalah melalui pandangan. Itu belum lagi sebut tentang aksi-aksi pelakon di kaca TV dan aktiviti men'download' bahan-bahan lucah daripada internet dengan hanya sekali 'klik'. Kita semua sudah maklum. Bagi membendung nafsu muda yang menggila dan menjaga kawalan pandangan mata, amat wajar sekali jika anak-anak yang punya kesedaran mahu memilih jalan yang dihalalkan oleh Islam dengan menyatakan hasrat "Mak! Saya mahu berkahwin".

Ibubapa Menanggung Saham Dosa

Kes zina yang berleluasa dan kes buang bayi cukup mengajar umat kini bahawa Islam telah mengatur jalan terbaik bagi membendung masalah ini iaitu melalui perkahwinan. Terlalu kejam jika ibubapa membiarkan anak-anak 'terseksa fizikal dan mental' akibat dihalang untuk berkahwin malah ada ibubapa yang seratus peratus menyalah anak-anak jika mereka terlibat dengan kes zina dan buang bayi. Ibubapa turut menanggung saham dosa jika anak-anak mereka terjebak dalam kes zina jika hasrat mereka yang sebelum ini mahu berkahwin dihalang. Setelah terlanjur sebelum kahwin, perut si gadis membunting manakala si lelaki yang mungkin keturunan spesis tupai (selepas tebuk lari) ketakutan dan melarikan diri kerana tidak mahu bertanggungjawab. Jika si anak berhasrat memilih jalan halal melalui perkahwinan dihalang, mengapa si anak sahaja yang disalahkan akibat memilih jalan haram melampiaskan nafsu mereka? Pasti ada yang bertanya, bila sudah kahwin nanti nak makan apa? Nak bagi makan apa kat anak orang? Ini adalah soalan -soalan biasa dan bukan topik perbincangan utama. Yang utama adalah mahu si anak memilih jalan halal atau mahu si anak tersalah pilih jalan haram dan berdosa.

Memilih Jalan Halal

Ibubapa sewajarnya menyokong hasrat si anak yang memilih jalan halal iaitu perkahwinan, bukannya menyekat dan menghalang. Bukankah Islam menyuruh kita supaya bersegera untuk melakukan kebaikan (fastabiqul khairat). Situasi sekarang bukan seperti 30 tahun lalu. Keadaan kini memerlukan jiwa yang benar-benar kuat bagi mengharungi liku-liku hidup yang penuh ranjau berduri, penuh dugaan dan cabaran. Jika dahulu aktiviti mengendap anak-anak dara mandi menjadi kegilaan pemuda, kini tidak perlu susah-susah mengendap, hanya menggunakan hujung jari sahaja dengan meng'klik' bagi mereka yang memiliki capaian internet. Siapa yang terpalit malu jika si anak ditangkap basah? Siapa yang susah jika perut anak gadis mengandungkan anak hasil daripada zina? Siapa yang dikata tidak tahu mendidik anak jika si anak terlibat dalam kes buang bayi? Pastinya ibupada. Sudah pasti tidak ada ibubapa yang mahu anak-anak mereka terjebak dalam kancah perbuatan keji dan haram.

Wahai ibubapa dan penjaga, mengapa menghalang si anak yang mahu berkahwin? Bukankah perkahwinan adalah halal malah amat digalakkan oleh Islam? Cuba pilih satu antara dua, mahukan si anak terjebak dengan kancah maksiat atau membantu si anak mengharungi liku hidup setelah berkahwin?

Jika si anak berkata : "Mak! Saya mahu kahwin"
Jawab ibubapa : "Beritahu mak siapa calonnya, biar mak yang uruskan semuanya.
Pasti si anak tersenyum lebar hingga ke telinga.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendindingnya".

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO