Saturday, July 3, 2010

Jaulah Matruh & Siwa

Alhamdulillah saya bersama lebih kurang 40 orang ahli rombongan dari Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra, Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir dan Badan Kebajikan Anak wilayah Persekutuan Mesir telah selamat mengadakan Rehlah Matruh Siwa 2010 selama 3 hari 4 malam pada 27 hingga 30 Jun baru-baru ini. Yang mana antara objektif diadakan rehlah ini adalah untuk memdedahkan kepada ahli supaya mengambil pengajaran dan iktibar dengan kesan tinggalan sejarah umat-umat terdahulu disekitar kawasan Matruh dan Siwa.

Matruh & Siwa terletak di utara Mesir. Kedua kawasan ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Matruh mempunyai pantai antara yang tercantik di dunia. Matruh juga mempunyai pantai di mana Cleopatra pernah bersiram dan mandi. Manakala Siwa merupakan kawasan oasis yang subur dikelilingi padang pasir. Kawasan subur ini mengandungi tasik dan hidup subur tamar dan buah zaiton di mana Siwa merupakan kawasan pengeluaran utama Mesir bagi kedua jenis buahan tadi. Siwa juga merupakan kawasan pemerintahan Cleopatra dan juga Alexander pernah datang ke sini kerana kecantikan Cleopatra.

Matruh merupakan sebuah pekan pantai, tempat ratu Cleopatra dan Mark Anthony suatu ketika dahulu mempunyai sebuah istana. Matruh atau nama asalnya Marsi Matruh terletak di barat laut Mesir. Jarak ke Matruh adalah 600 km dari kaherah, mengambil tempoh sembilan jam perjalanan. Perjalanan menuju ke Matruh ini dikelilingi padang pasir dan melalui kota Iskandariah dan Al-‘Alamin. Matruh juga merupakan pusat peranginan sederhana pada musim panas yang merupakan mercu tanda seekor kijang. Buah Thin dan anggur merupakan tanaman utama bagi Matruh.

Siwa dikenali dengan nama Jazira Malah (garam) kerana dikelilingi oleh lautan garam, 90 km dari paras laut. Juga dikenali sebagai Jazira Balah (buah kurma) kerana terdapat banyak pokok kurma. Jazira Fatmas juga adalah nama ketiga bagi Siwa kerana tanamannya yang subur. Jazira Fatmas ini telah dinamai oleh orang-orang barat. Dinamakan Jazir kerana terletak di tengah-tengah laut Jerman. Di sini terdapat kebun yang terletak di tasik garam. Di sini juga terdapat sebuah kolam mandi Cleopatra sedalam tujuh meter dan menjadi sumber air bagi kebun tersebut. Oasis Siwa dikelilingi padang pasir yang luas dan terletak di bahagian barat Qattara, di tengah-tengah Padang Pasir Libya dalam Negara Mesir. Jaraknya ke tenggara Matruh sekitar 300 km. Di Siwa terdapat kilang air mineral berjenama AQUA Siwa dan Safi. Pengeluar balah billuz, minyak zaitun, buah zaitun dan buah kurma yang terbesar di Mesir juga kota kedua di dunia pengeluar tamar dan zaitun. Masyarakat Siwa menggunakan bahasa Barbar (bahasa Libya) sebagai bahasa perantaraan di antara mereka juga merupakan antara golongan yang payah umtuk menerima Islam pada suatu masa dahulu. Tetapi apabila memeluk Islam mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada ajaran Islam.

Teluk Ajibah (Bahar Ajibah / Laut Ajaib)
-10 km dari Marsa matruh. Dinamakan Bahar Ajibah kerana keindahan pantainya yang menghijau dan membiru. Sesiapa yang melihatnya pasti berasa kagum kerana lautnya mempunyai tujuh warna berlapis apabila dilihat pada waktu menjelang senja.







Pantai Cleopatra (Bahar Cleopatra / Laut Cleopatra)
-7 km dari Marsa Matruh. Disini terdapat hamam Cleopatra (tempat mandi) dan juga tempat bersiram permaisuri Cleopatra. Belakang hamam Cleopatra adalah kawasan yang merbahaya kerana batunya yang licin, curam dan ombak yang begitu kuat. Juga terdapat kesan pahat di dinding hamam.










Pasar Libya (Suk Libya)
-Merupakan tempat membeli belah yang amat terkenal di Bandar Marsa Matruh. Disini terdapat pelbagai barang seperti makanan, pakaian, barang-barang hiasan dan barang-barang keperluan lain. Harga barangan disini juga berpatutan. Kebanyakan barang yang terdapat disini berasal dari nergara jiran iaitu Libya.

Kuil Amon- Tempat penyembahan Amon
-Di bawah tempat tersebut ada istana yang terkambus mengikut kajian yang berasal dari Jerman. Pengkajian masih lagi diteruskan sehingga hari ini. Hingga kini masyarakat Siwa sungguh pelik dan taajub bagaimana tiang-tiang yang besar boleh berada di situ dan tidak diketahui oleh sesiapa. Ada pendapat mengatakan bahawa ia dibina oleh ahli sihir Firaun.




Kolam Cleopatra
-Dinamakan demikian sempena kedatangan permaisuri Cleopatra. Setiap pengantin baru akan mandi di situ. Ini adalah suatu adat yang dilakukan oleh penduduk Siwa dahulu dan ada yang mengatakan ia masih kekal hingga kini. Kedalaman kolam ini lebih kurang 5m. Dikatakan kolam Cleopatra adalah sumber air yang utama di Siwa dan air kolam tidak pernah kering hingga sekarang.







Kota Lama Siwa
-Merupakan kota terawal penduduk Siwa. Dikatakan ia sebuah kota yang begitu besar kerana terletak di antara dua buah bukit. Dari atas kota lama Siwa boleh dilihat kubu Alexander The Great. Dari sini juga kita dapat lihat kesuburan tanah dan ladang-ladang yang terdapat di Siwa.






Jabal Mauta
-Merupakan tempat persembunyian penduduk zaman dahulu ketika berlaku peperangan dan juga tempat pengebumian jenazah. Di tempat tersebut juga terdapat kubur Sa’amoun & Oxyoris. Kesan-kesan tulang dan rangka-rangka dahulu masih lagi boleh dilihat. Terdapat juga tempat simpanan meriam-meriam Jerman sewaktu perang dunia ke-2. Pada dinding Jabal Mauta terdapat lukisan-lukisan yang menceritakan tentang kisah perkahwinan Cleopatra & Mark Anthony.

Semoga dengan program ini dapat meningkatkan kesedaran, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dan mendapat keredhaanNya, Insyaallah.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO