Thursday, May 5, 2011

LOGIKKAH MANUSIA BOLEH MENDENGAR @ MEMAHAMI BAHASA BINATANG?


Firman Allah SWT di dalam surah An Naml, ayat 16:

وورث سليمان داوود وقال يأيها الناس علمنا منطق الطير وأوتينا من كل شئ إن هذا لهو الفضل المبين

Mafhumnya:

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud, dan setelah itu Nabi Sulaiman berkata: wahai ummat manusia, kami telah diajar mengerti pertuturan bahasa burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.

Surah An Naml (16:27:19)

Malahan firman Allah SWT lagi;

حتى إذا أتوا على وادي النمل قالت نملة يأيها النمل ادخلوا مساكنكم لا يحطمنكم سليمان وجنوده وهم لا يشعرون

Mafhumnya:

(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Wadi Naml”, berkatalah seekor semut: “wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.

Surah An Naml (18:27:19)

Dalam meneliti ayat di atas, ramai orientalis barat menghujam Al-Quran sebagai kitab yang tidak benar adalah kerana Al-Quran menceritakan suatu perkara yang mustahil malahan tidak masuk akal. Mereka mendakwa bahawa kisah Nabi Sulaiman memahami bahasa binatang merupakan suatu yang tidak munasabah. Lantaran itu mereka terus menyatakan bahawa itu merupakan kesilapan di dalam Al-Quran. Namun Maha Besar Allah SWT yang empunya kitab, hari ini jelas kita memerhati bahawa pada hakikatnya kita boleh mahupun mampu untuk memahami bahasa binatang. Analogi yang mudah ialah bilamana kita memelihara kucing, pastinya kita memahami masa kucing tersebut lapar dan sebagainya melalui gerak geserannya mahupun ngiauwan yang dikeluarkan.

Dalam pada itu, untuk meneliti secara ilmiah ayuh kita perhatikan ayat-ayat di atas. Di dalam ayat 16 jelas dinyatakan bahawa Nabi Sulaiman telah di ajar mahupun di anugerahkan oleh Tuhan yang Maha Pemberi. Lantaran itu tidak mustahil seandainya di ajar mahupun diberikan suatu kurniaan @ anugerah pastinya kita dapat menerima akan kelebihan yang diperolehi oleh Nabi Sulaiman itu.

Selain itu, hari ini kita mendapati bahawa terdapatnya ramai pakar yang mampu memahami apatah lagi berinteraksi dengan binatang. Jelas nyata melalui kajian yang telah dijalankan oleh seorang pakar lebah Malaysia, Prof Madya Dr Makhdzir Mardan, Universiti Putra Malaysia, mendapat ijazah sarjana pengajian lebah dari Lousiana State University, AS, pada 1979, beliau mampu mencungkil episod-episod kehidupan binatang yang bernama lebah. Beliau menyatakan bahawa lebah mempunyai sistem pengurusan maklumat yang hebat. Dalam pada itu, lebah peninjau pula bertindak seumpama pegawai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan mampu membentuk pakatan melalui sistem demokrasi dan membuat keputusan secara sebulat suara.

Penelope Smith di dalam buku karangannya yang bertajuk “Animal Communication: The Telepathic Connection”, beliau menyatakan bahawa beliau telah berkomunikasi bersama binatang sepanjang hidupnya bermula tahun 1971. Beliau menggunakan teknik seumpama merawat manusia yang menghadapi trauma mahupun masalah. Tambahan lagi, beliau juga telah berinteraksi dengan 1000 ekor binatang malahan beliau berjaya menghilangkan pengaruh kelakuan buruk, mengatasi masalah kemurungan binatang dan sebagainya.

Lantaran itu adalah tidak mustahil untuk Nabi Sulaiman AS memahami bahasa binatang kerana pertama baginda diajar dan dianugerahkan oleh Allah SWT dan keduanya terbukti sekarang terdapatnya ramai manusia yang mampu mengkaji dan memahami perihal kehidupan binatang. Hal ini terbukti jelas dengan penemuan-penemuan kontemporari kini. Sesungguhnya benarlah segala kalam Tuhan yang diwahyukan kepada kekasihnya Muhammad SAW. Wallahu a’lam.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO