Sunday, June 3, 2012

Hukum Solat Dengan Keadaan Berkasut


Solat dalam keadaan berkasut bukan merupakan satu adat kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia. Namun, adat kebiasaan sepatutnya tidak dijadikan sebagai hujah untuk kita memutuskan bahawa memakai kasut sambil bersolat tidak disyariatkan oleh Islam. Segala dalil yang berkaitan terutamanya daripada Al-Quran dan As-Sunnah perlu diteliti terlebih dahulu sebelum kita mengambil sebarang keputusan berkaitan perkara ini.

Hukumnya sah berdasarkan dalil dari Sahih Muslim pada bab (Rasulullah SAW membenarkan solat berkasut): Rasulullah SAW membenarkan solat dalam keadaan berkasut dan bersandal selama mana ianya tidak bernajis.

Dalil yang berkaitan dengan bab ini ialah :

1) Diriwayatkan oleh Adam Bin Abi Iyas berkata dari Syu`bah berkata daripada Abu Maslamah Said Bin Yazid Al-Azyid RA katanya:

“Aku pernah bertanya Anas bin Malik adakah Rasulullah SAW pernah bersolat dengan memakai kasut?” Anas menjawab “Ya!”

(Hadis riwayat Sahih Bukhari no. 386, Sahih Muslim no. 555 dan dalam Sunan Tirmidzi no. 396). Kemudian Abu Maslamah mengatakan bahawa para ulama sepakat mengamalkannya.
2) Imam Al-Iraqi di dalam syarahnya terhadap kitab Sunan Imam At-Tirmidzi :

"Bahawa solat dengan memakai kasut diamalkan dan disukai oleh Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu Affan, Abdullah Ibnu Abbas, Anas bin Malik,Salamah bin Al-Akwa dan Aus ibnu Ath-Tsaqafi radiyallahu anhu."

3)Ibnu Abi Aus berkata bahawa pakciknya menerangkan bahawa "saya melihat RAsullAllah menunaikan solat dengan memakai kedua-dua kasutnya" (Hadis dari Sunan Ibnu Majah)

Solat dalam keadaan berkasut menurut pandangan Ibnu Dakik adalah satu bentuk rukhsah (keringanan yang diizinkan dalam keadaan tertentu) dalam ibadah solat dan bukannya perkara sunat kerana ianya tidak termasuk dalam perkara yang dituntut ketika bersolat. Ianya boleh dilakukan dengan syarat kita perlu memastikan dengan penglihatan biasa bahawa tiada kesan-kesan najis atau kotoran yang melekat pada kasut.

Mengikut pandangan ulama, sekiranya terdapat najis ianya boleh dibersihkan dengan menggosokkan kasut ke tanah untuk menyucikannya dan kadar bersihnya memadai boleh dilihat dengan mata kasar. Imam Syafie memberikan 2 pandangan iaitu sah dan tidak sah.

Kisah berkaitan pensyariatan perkara ini

Amalan bersolat dengan memakai kasut ini, sebenarnya bermula di awal penghijrahan umat Islam ke Madinah. Ketika itu memang telah wujud beberapa kumpulan kaum Yahudi yang tinggal di sana. Apabila Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam mendirikan solat di masjid yang baru dibina dengan tidak berkasut maka berkata penduduk kaum Ansar Madinah, bahawa orang Yahudi juga beribadah tanpa berkasut.

Maka dengan itu Nabi S.A.W memerintahkan agar umat Islam bersolat dengan berkasut. Telah diriwayatkan daripada Abu Daud dan Al-Hakim daripada Syadad Bin Aus berkata Nabi Muhammad SAW telah bersabda :

"Berperilakulah yang berlawanan dengan orang-orang Yahudi kerana mereka tidak mengerjakan solat dengan memakai sandal atau kasut mereka".

Adapun hadis berkaitan dengan mengenai berkasut dalam solat merupakan suatu perkara yang diperintahkan yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dan Ibnu Mardawiyah merupakan hadis dhaif.

Oleh itu, sebab atau punca permulaan hukum diharuskan memakai kasut ketika bersolat ialah bagi membezakan diri daripada perbuatan ibadah kaum Yahudi. Islam sememangnya sejak dari awal kelahirannya amat menekan kepada umatnya agar membezakan diri dari kaum-kaum yang lain. Ini termasuklah cara peribadatan, cara berpakaian, adat kebiasaan dan sebagainya. Tuntutan ini ialah bagi membuktikan Islam adalah agama yang unggul dan ia tidak bercampur aduk atau hasil tiruan dari agama-agama lain. Membezakan diri dari agama lain juga bermatlamat supaya kita dapat memastikan bahawa amal ibadat kita adalah tulen dari ajaran Islam yang sejati dan bukan pinjaman dari agama lain.

Keadaan perlaksanaan solat berkasut

Solat dalam keadaan berkasut boleh dilakukan tanpa mengira masa. Rasulullah SAW melakukannya terutama ketika bermusafir. Namun, Rasulullah SAW tidak melakukannya ketika bersolat di dalam rumah Baginda SAW. Hal ini menunjukkan solat dalam keadaan ini perlu dilaksanakan mengikut keadaan. Pada masa kini, kebanyakan masjid atau surau telahpun dibina dengan binaan yang sempurna dan menyediakan hamparan sejadah, permaidani atau simen sebagai alas bersolat. Oleh itu, solat dalam keadaan berkasut tidak dituntut perlaksanaannya dalam keadaan ini kerana kawasan solat yang bersih. Akan tetapi, sekiranya keadaan tersebut perlu maka tiada masalah untuk menunaikannya melalui dalil-dalil yang telah kita bentangkan sebentar tadi. Cuma perkara yang tidak biasa dilakukan pastinya akan kekok ketika mana menunaikannya.

Kesimpulan

1)Solat dengan keadaan berkasut dibolehkan dengan syarat ia bersih daripada najis.

2)Solat dengan keadaan berkasut ialah sunnah Rasulullah SAW dan termasuk dalam perkara rukhsah dalam agama.

3)Syariat Islam diwahyukan oleh Allah dan tidak akan menyerupai amalan agama lain.

4)Dalil agama perlu mengatasi adat kebiasaan dalam menentukan hukum sesuatu ibadat.

Rujukan :

1)Sahih Bukhari, hadis 386. Bab solat berkasut. Percetakan Maktabah As-thaqafah Ad-diniah.

2)Sahih Muslim Bisyarah Nawawi. Jilid Ketiga. Percetakan Maktabah Dar At-turath.

3)Fathul Bari. Juzuk pertama. Percetakan Maktabah Obaikan.

Tambahan rujukan :

- Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa Wa Al-Ahkam, , jilid pertama, oleh Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah

*sumber Manhal PMRAM

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO