Friday, June 18, 2010

Akademi Du'at Melahirkan Graduan yang Berkepimpinan

peserta Akademi Duat 2010


HARI PERTAMA (15 JUN 2010)

Hayyu Sabiek - Bertempat di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan di Hayyu Sabiek, telah berlangsung satu program di bawah anjuran program induk Liqa’ Mahabbah 2010 (LIMA 10). Program Akademi Du`at yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 15 Jun 2010 dan berakhir pada 16 Jun 2010 disertai seramai 27 peserta daripada mahasiswa tahun satu DPM (MAQAZ) Shoubra.

Program Akademi Du`at dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain, Naib Presiden III Persekutuan Republik Melayu Arab Mesir (PMRAM). Sebelum itu, majlis perasmian Akademi Du`at didahului dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, Mohammad `Afif bin Abd Karim. Seterusnya, ucapan Setiausaha Agung DPM (MAQAZ) Shoubra merangkap pengarah program Liqa’ Mahabbah 2010, Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki.


khusyuk mendengar taklimat


Meneruskan lagi perjalanan program, para peserta disajikan dengan pengisian 1 yang bertajuk Fiqh Aulawiyat oleh Ustaz Abdul Mui`zz bin Mohamad, mantan presiden PMRAM 2009. Sejurus selepas peserta menikmati sajian sarapan pagi, peserta didedahkan pula dengan pengisian seterusnya yang bertajuk Skema Kertas Kerja & Surat Program oleh Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki, Setiausaha Agung PMRAM cawangan Shoubra. Seterusnya, peserta dilatih untuk menyediakan kertas kerja program melalui Gerak Kerja Berkumpulan (GKB). Setiap kumpulan GKB dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir DPM (MAQAZ) Shoubra yang bertindak sebagai fasilitator.


bersama ahli kumpulan


Demi mencapai matlamat program untuk melahirkan para du`at yang disegani, peserta Akademi Du`at didedahkan dengan Seni Komunikasi Berkesan yang disampaikan oleh Ustaz Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Setiausaha Agung PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Pendaftaran. Selepas selesai menunaikan solat zohor dan makan tengah hari, program diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk Pengurusan Stress yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, mantan YDP Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir.

Perjalanan program diteruskan lagi dengan tayangan multimedia kemudian disambung dengan GKB yang seterusnya. Kali ini, para peserta dilatih oleh fasilitator cara untuk mengendalikan sesuatu majlis. Selesai GKB, majlis diteruskan dengan solat Asar secara berjemaah dan minum petang. Program ditangguhkan sekitar jam 4.45 petang.


sesi pembentangan



HARI KEDUA (16 JUN 2010)

Sebagai santapan awal, peserta disajikan dengan pengisian bertajuk Fiqh Dakwah oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain, mantan presiden PMRAM 2005/2006. Selesai pengisian mengenai Fiqh Dakwah, para peserta didedahkan dengan Pengurusan & Pengendalian Mesyuarat serta Minit Mesyuarat yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Yazid bin Hanzir, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir.

Program bersambung dengan pengisian Etika dan Protokol Majlis yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Agung PMRAM 2010. Selesai menjamu selera dengan hidangan sarapan pagi, para peserta dilatih untuk mengendali mesyuarat melalui GKB. Peserta kemudian menikmati jamuan tengah hari serta solat zohor.


pengacara majlis perasmian penutup


Sekitar 2.30 petang, program diteruskan dengan talkshow “Warna-warni Dunia Kepimpinan” yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Azlan bin Haji Alias, Naib Presiden II PMRAM 2010 dan Ustazah Siti Anisah binti Ahmad, mantan ketua HEWI PMRAM 2009. Selesai talkshow, peserta didedahkan secara praktikal mengenai pembentangan kertas kerja melalui GKB. Program diteruskan dengan solat Asar berjemaah dan seterusnya para peserta menikmati hidangan minum petang.

Sekitar jam 5.00 petang, majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ustaz Muhamad Zuhaili bin Saiman, Timbalan Presiden PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Perancang dan Panitia. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi sebagai tanda penghargaan di atas kesudian beliau untuk menjayakan program.


pengacara majlis perasmian penutup


Program Akademi Du`at 2010 berakhir sekitar jam 5.45 petang dan disusuli dengan sesi fotografi bersama Timbalan Presiden PMRAM.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak PMRAM Pusat, PMRAM cawangan Shoubra, PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan, PMRAM cawangan Pulau Pinang, serta kepada AJK Pelaksana & para peserta serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Akademi Du`at 2010. Semoga segala usaha yang dilakukan dinilai oleh Allah SWT.

Saturday, June 12, 2010

Mak! Saya Mahu Kahwin

Entri ini bukanlah luahan hati tetapi hanya sekadar menyatakan suatu pandangan, mungkin akan membuka minda dan mungkin juga akan ada yang membangkang. Terpulang.

Gejala sosial yang melanda negara kita berada pada tahap kritikal dan membimbangkan terutamanya yang melibatkan golongan muda remaja. Baru-baru ini dikejutkan dengan berita 16 pelajar di Terengganu 'berjaya' melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Kes buang bayi, zina, bersekedudukan mahram, seolah telah menjadi berita panas sebagai pelaris akhbar setiap hari.

Mak! Saya Mahu Kahwin

Luahan si anak yang menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya namun disusuli dengan sanggahan yang berbunyi "Jangan nak menggatal, muda-muda lagi dah fikir nak kahwin. Belajar pun tak habis-habis lagi, sudah nak fikir pasal nak kahwin". Biasa dengar kan? Angguk sajalah.

Hasrat si anak yang mahu berkahwin pada usia yang muda adalah merupakan satu niat dan hasrat yang baik serta positif tetapi kebanyakan (bukan semua) ibubapa sekarang memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang negatif malah hasrat anak-anak yang mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda cuba disekat dan dihalang. Berdasarkan situasi dan kondisi semasa, kahwin muda sepatutnya digalakkan malah ibubapa sepatutnya yang bertanya kepada anak-anak bila mahu mendirikan rumahtangga, bukannya menghalang anak yang mahu berkahwin.

Situasi kini yang boleh dilihat, ramai mana remaja lelaki yang membawa perempuan ke hulu ke hilir tanpa ada talian perhubungan yang sah. Sungguh pelik dan hairan melihat ibubapa yang hanya membiarkan anak gadis mereka diusung ke sana ke mari oleh lelaki. Kebejatan akhlak yang kian meruncing cukup dengan melihat pendedahan aurat berlaku di mana-mana. Remaja perempuan tanpa segan silu menayangkan 'pusat-pusat' mereka di pusat membeli belah, aksi peluk cium di sana sini, tidak kurang juga yang berpakaian mengalahkan artis-artis barat sehingga menampakkan bahagian sulit. Ini realiti. Lelaki mana yang sanggup melihat sahaja dengan membeliakkan biji mata masing-masing. Mengikut satu kajian, 70 peratus ransangan lelaki adalah melalui pandangan. Itu belum lagi sebut tentang aksi-aksi pelakon di kaca TV dan aktiviti men'download' bahan-bahan lucah daripada internet dengan hanya sekali 'klik'. Kita semua sudah maklum. Bagi membendung nafsu muda yang menggila dan menjaga kawalan pandangan mata, amat wajar sekali jika anak-anak yang punya kesedaran mahu memilih jalan yang dihalalkan oleh Islam dengan menyatakan hasrat "Mak! Saya mahu berkahwin".

Ibubapa Menanggung Saham Dosa

Kes zina yang berleluasa dan kes buang bayi cukup mengajar umat kini bahawa Islam telah mengatur jalan terbaik bagi membendung masalah ini iaitu melalui perkahwinan. Terlalu kejam jika ibubapa membiarkan anak-anak 'terseksa fizikal dan mental' akibat dihalang untuk berkahwin malah ada ibubapa yang seratus peratus menyalah anak-anak jika mereka terlibat dengan kes zina dan buang bayi. Ibubapa turut menanggung saham dosa jika anak-anak mereka terjebak dalam kes zina jika hasrat mereka yang sebelum ini mahu berkahwin dihalang. Setelah terlanjur sebelum kahwin, perut si gadis membunting manakala si lelaki yang mungkin keturunan spesis tupai (selepas tebuk lari) ketakutan dan melarikan diri kerana tidak mahu bertanggungjawab. Jika si anak berhasrat memilih jalan halal melalui perkahwinan dihalang, mengapa si anak sahaja yang disalahkan akibat memilih jalan haram melampiaskan nafsu mereka? Pasti ada yang bertanya, bila sudah kahwin nanti nak makan apa? Nak bagi makan apa kat anak orang? Ini adalah soalan -soalan biasa dan bukan topik perbincangan utama. Yang utama adalah mahu si anak memilih jalan halal atau mahu si anak tersalah pilih jalan haram dan berdosa.

Memilih Jalan Halal

Ibubapa sewajarnya menyokong hasrat si anak yang memilih jalan halal iaitu perkahwinan, bukannya menyekat dan menghalang. Bukankah Islam menyuruh kita supaya bersegera untuk melakukan kebaikan (fastabiqul khairat). Situasi sekarang bukan seperti 30 tahun lalu. Keadaan kini memerlukan jiwa yang benar-benar kuat bagi mengharungi liku-liku hidup yang penuh ranjau berduri, penuh dugaan dan cabaran. Jika dahulu aktiviti mengendap anak-anak dara mandi menjadi kegilaan pemuda, kini tidak perlu susah-susah mengendap, hanya menggunakan hujung jari sahaja dengan meng'klik' bagi mereka yang memiliki capaian internet. Siapa yang terpalit malu jika si anak ditangkap basah? Siapa yang susah jika perut anak gadis mengandungkan anak hasil daripada zina? Siapa yang dikata tidak tahu mendidik anak jika si anak terlibat dalam kes buang bayi? Pastinya ibupada. Sudah pasti tidak ada ibubapa yang mahu anak-anak mereka terjebak dalam kancah perbuatan keji dan haram.

Wahai ibubapa dan penjaga, mengapa menghalang si anak yang mahu berkahwin? Bukankah perkahwinan adalah halal malah amat digalakkan oleh Islam? Cuba pilih satu antara dua, mahukan si anak terjebak dengan kancah maksiat atau membantu si anak mengharungi liku hidup setelah berkahwin?

Jika si anak berkata : "Mak! Saya mahu kahwin"
Jawab ibubapa : "Beritahu mak siapa calonnya, biar mak yang uruskan semuanya.
Pasti si anak tersenyum lebar hingga ke telinga.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendindingnya".

Biar Tak Soleh, Asalkan Genius

Masyarakat Islam kini tidak lagi meletakkan Islam ditempat pertama, menyisihkan Islam daripada kehidupan seharian. Secara zahirnya, diperhatikan Islam kini diamalkan oleh masyarakat kita hanya pada empat keadaan sahaja iaitu semasa kelahiran (majlis aqiqah dan tahnik), semasa berkhatan, perkahwinan dan kematian. Hakikatnya Islam sebenarnya adalah satu tatacara hidup yang menyeluruh meliputi segala ruang lingkup kehidupan.

Ramai yang mengambil cakna mengenai keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak-anak rakan dan saudara mara namun tidak ramai yang bertanya mengenai keputusan PMRU, SMU dan STAM. Tidak ramai juga yang mengambil peduli mengenai anak-anak yang tidak tahu solat, tidak kenal huruf al Quran dan tidak pernah berpuasa. Inilah realitinya, masyarakat kita cuma menganggap agama cuma perkara sampingan dalam kehidupan.

Jika mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, pasti ramai yang bertanya ke negara mana mahu terbang menggunakan biasiswa JPA atau MARA tetapi pasti ramai yang kecewa jika jawapannya mahu menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana mahu terbang mendalami ilmu agama. Mungkin hal ini kita anggap biasa namun ia sudah cukup menggambarkan pada sudut mana agama diletakkan di sisi masyarakat kita. Tanya saja, berapa ramai ibubapa yang menyuruh anak-anaknya bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama, ramai yang cuma tahu menghabiskan wang beratus ringgit membayar tuisyen demi memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sanjungan yang terlalu agung diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik, bijak, genius dan pandai. Mereka dihantar ke tempat-tempat pengajian yang terbaik tetapi jika anak-anak yang agak sengal, lembab dan bodoh-bodoh ubi mereka dicampakkan ke mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama. Kata mereka "kalau sudah bodoh tu pergilah belajar agama, yang cerdik pandai jadi doktor dan engineer. Nanti dapat gaji mahal, hidup pun senang". Masyarakat kita sudah tunggang terbalik. Sisi pandangan masyarakat kini mengatakan tidak layak golongan cerdik pandai mendalami ilmu agama. Tidak perlu tunggu lama, sedikit masa lagi kita boleh lihat akan lahir golongan mufti, imam-imam dan ustaz-ustaz yang daripada kalangan yang 'bodoh'. Mengapa yang genius-genius tidak dihantar mendalami agama? Bukankah itu menjadi sumbangan yang besar kepada Islam? Mungkin masyarakat kita menjawab, biarlah tidak soleh mana pun, asalkan genius, hidup senang dan gaji mahal. Dunia memang sudah terbalik. Kita tanya kembali, boleh ke hidup senang tanpa agama? Nanti nak masuk kubur bawa apa? Kereta, harta atau agama?

Perancangan Yahudi Nasrani dilihat semakin mencapai matlamat iaitu menerapkan pemikiran sekular dan meterial dalam minda umat Islam. Agama dan dunia dipisahkan malahan agama dianggap tidak penting dan tidak perlu. Ahli agama dipinggirkan sebaliknya ahli dunia yang diagung-agungkan.

Monday, June 7, 2010

" Ya Allah, Berkatilah & Rahmatilah Masyaikh Kami "


Masyaikh Qiraat Shoubra



Dari kiri : Syeikh Redha Ali Darwish, Syeikh Muhammad Abdul Nabi Abdul Hasib & Syeikh Shahrizan bin Hazime (Presiden PMRAM 2010)



Permata di Bumi Shoubra


(3 Jun 2010) PMRAM cawangan Shoubra telah menganjurkan satu Program yang dinamakan Haflah Takrimul Qurra'. Program ini telah berjaya mengumpulkan Masyaikh Qurra' seramai 10 orang termasuk Naib Mudir Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Tahniah kepada Adhoc program dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Satu program yang cukup bermanfaat kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mendalami ilmu Qiraat. Ucapan yang sungguh mengetuk pintu hati para qurra' bagi sesiapa yang menghayatinya.

Setiap masyaikh yang bercakap mewasiatkan kepada semua supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. menjaga serta mengamalkan Al-Quran yang dibaca & dihafal.. Allah...Cukup susah untuk kita semua istiqamah takut kepada Allah s.w.t. Mulut kata takut, anggota lain tidak menunjukkan rasa takut kepada Allah s.w.t. Apatah lagi untuk beramal dengan apa yang dihafaz.


Mungkin sebagai kesimpulan daripada kalam-kalam masyaikh bolehlah merujuk buku Adab Hammalatul Quran (At-Tibyan) karangan Imam Nawawi kerana ucapan masyaikh kebanyakan menceritakan tentang Al-Quran.


Antara Masyaikh yang hadir ialah :


Maulana Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid Abdul Sami'



Syeikh Hassan Muhammad Hassan Rejab



Syeikh Judah Syauqi



Syeikh Jamal



Syeikh Mahmud Mustofa Ibrahim



Dari kiri : Syeikh Judah Abdul Salam & Syeikh Toha Asayyid Assowi



Syeikh 'Alauddin Sayyid (Naib Mudir Maahad)


Penulis sedang mengiringi Syeikh Mahmud



Barisan AJK Disiplin & Protokol




Sebahagian Pelajar Siswa Shoubra



Sebahagian Pelajar Siswi Mansuroh



Di Bilik Tetamu


Tahniah kepada semua yang menjayakan program ini. Juga kepada BP PMRAM yang hadir.. Ustaz Shahrizan, Ustaz Azlan, Ustaz Adlan, Ustaz Huzaifah, Syeikh Mujahid serta beberapa orang mantan BP..


...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO