Wednesday, December 29, 2010

"kenapa kamu tidak merogol saya pada malam itu?"


Dia seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di Amerika Syarikat. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang mulia.

Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.

Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan bersaorangan.

Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati.

Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia di saat itu.

Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.

Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.

Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.

Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).

Dia pun tanya perogol itu..

“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”

(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)

Perogol tu jawab:

“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”

(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang-sorang malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)

Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.

Friday, December 24, 2010

Mesir : 465 000 fatwa dikeluarkan sepanjang tahun 2010


Syeikh Dr Ali Jum'ah Muhammad-Mufti Mesir

Dar al-Ifta, lembaga negara yang diamanatkan untuk menerbitkan fatwa agama, mengeluarkan laporan tahunan yang menyatakan bahawa lembaga ini telah mengeluarkan fatwa sebanyak 465,000 fatwa agama pada tahun 2010.


Laporan itu juga mengatakan mufti besar Mesir menerima 127 hukuman mati untuk disokong. Perlembagaan Mesir menetapkan harus adanya sokongan mufti sebelum hukuman mati dilakukan dalam kes-kes pembunuhan, rogol dan dadah. Mufti Mesir masih mempertimbangkan apakah akan menyokong beberapa kes.

Fatwa juga menyangkut masalah moden, seperti janda yang melakukan persenyawaan, penentuan jenis kelamin janin, aborsi, injap jantung buatan yang terbuat dari rangkaian babi, dan kepentingan pinjaman dalam real estate.

Menurut laporan, 2,316 fatwa yang dikeluarkan secara bertulis; 88,133 fatwa secara lisan; 255,058 melalui jawapan telefon kepada orang-orang menelefon untuk bertanya tentang isu-isu tertentu; 113,468 diposting di Internet, dan 5,346 dalam menanggapi permintaan dari luar negeri. (fq / almasryalyoum)

Wednesday, December 22, 2010

Menjumpai Barang Yang Tercicir mengikut ISLAM

MUQADDIMAH


Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia, apabila kita menjumpai barang yang bukan kepunyaan kita, kita akan mengambil tindakan seperti:

  1. Mengambilnya untuk kegunaan kita sendiri dengan alasan tiada yang menuntutnya.
  2. Memberi atau meletakkan barang tersebut di surau/masjid.
  3. Menjadikan barang tersebut sebagai satu sedekah pada orang miskin.
  4. Membiarkan barang tersebut tanpa sebarang tindakan dengan alasan bahawa ada orang lain yang akan mnguruskannya.

Mengambil barang yang bukan hak milik kita atau mensedekahkannya kepada satu pihak yang tertentu walaupun dengan niat yang baik, adalah satu perbuatan yang salah dari segi syariat, kecuali setelah mengambil langkah-langkah yang telah digariskan oleh syariat.


DEFINISI LUQATAH


Harta ataupun barang yang dihormati yang dijumpai di tempat yang bukan milik individu dan ianya tidak ada tanda-tanda di bawah jagaan sesiapa dan tidak diketahui siapakah yang berhak untuk barang tersebut.


PENSYARIATAN MENGAMBIL BARANG YANG TECICIR


Nabi S.A.W. bersabda apabila ditanya tentang barang yang tercicir:


اعرف وكاءها وعفاصها ثم عرفها سنة فإن لم تعرف فاستنفقها ولتكن وديعة عندك فإن جاء طالبها يوما من الدهر فأدها إليه


“Hendaklah kamu mengenal pasti pengikat bungkusan barang tersebut dan bekas barang tersebut, kemudian hendaklah kamu wawarkan selama setahun. Sekiranya kamu tidak menjumpai tuan barang tersebut, dan hendaklah kamu simpan dan pelihara dalam jagaan kamu, dan apabila datang pemilik barang tersebut, pada bila-bila masa, hendaklah kamu menyerahkan barang itu kepadanya.”


Hadis riwayat bukhari (2295) dan Muslim (1722)


HUKUM MENGAMBIL BARANG YANG TERCICIR


Ia mempunyai 5 hukum:


  1. SUNAT:

- Bagi orang yang mempunyai sifat amanah dan ditakuti ianya hilang jika dia tidak mengambilnya.

  1. HARUS:

- Sekiranya tidak ditakuti ianya hilang jika tidak mengambilnya.

  1. WAJIB:

- Sekiranya dia yakin, jika dibiarkan, barang itu pasti akan hilang.


LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIBUAT APABILA MENJUMPAI BARANG YANG HILANG


  1. Sekiranya barang tersebut adalah barang yang remeh-temeh, iaitu yang mana manusia tidak kisah kehilangan barang tersebut, maka orang yang menjumpai boleh mengambilnya tanpa perlu mewarwarkannya atau mencari tuannya.
  2. Sekiranya ia adalah barang yang bernilai, iaitu yang mana tuannya akan mencari barang tersebut, maka wajib orang yang menjumpai mewarwarkannya.
  3. Maka, orang yang menjumpai barang itu tadi, hendaklah dia mengenal pasti sifat-sifat barang tersebut.
  4. Orang yang menjumpai barang itu tadi hendaklah bertanya akan sifat-sifat barang itu kepada sesiapa yang mengaku sebagai tuan sebenar kepada barang tersebut.
  5. Kalau si pendakwa itu menjawab dengan tepat, dan diyakini oleh orang yang menjumpainya bahawa dialah pemiliknya, maka serahkan kepadanya.
  6. Sekiranya masih lagi berterusan, tidak ada yang mengaku, atau tidak diyakini pendakwa itu sebagai tuan yang sebenar, maka hendaklah orang yang menjumpainya mencari tuannya selama setahun. Tempoh masa setahun ini adalah bagi barang-barang yang sangat bernilai. Sekiranya barang itu tidak sangat bernilai, maka tempohnya tidak sampai setahun dan ianya mengikut nilai barang tersebut.
  7. Tempat yang diwawarkan adalah tempat yang umum, tempat yang dihadiri oleh orang yang ramai (pasar, sekolah, perhentian-perhentian dan lain-lain).
  8. Jikalau telah tamat tempoh pencarian tuan tersebut, maka dia boleh simpan sebagai harta amanah dan mengembalikan kepada tuannya sekiranya tuannya datang menuntut. Ataupun pilihan yang kedua, dia boleh memiliki barang tersebut dan membayar mengikut nilai barang tersebut sekiranya tuannya datang menuntut.


INI ADALAH PENJELASAN RINGKAS TENTANG TAJUK BARANG TERCICIR DALAM FEKAH MUAMALAT MAZHAB SYAFIE. IA PERLUKAN KEPADA PEMERINCIAN DAN PENERANGAN.

Saturday, December 18, 2010

Futsal Piala MB

Penjaga Gol: Ustaz Mohd Syahrir Muhaimi

Pertahanan: Taufik, Zulhusnaian, asyraf, Naim

Midfilder: Bushra, Muhammad, Shahir

Penyerang: Fakhrurrazi

Alhamdulillah ini la pasukan kami semasa perlawanan futsal baru-baru ini. Namun nasib tidak menyebelahi kami kerana pasukan kalah di peringkat suku akhir. Almaklumlah pasukan yang baru dibentuk dalam sehari. Bagaimanapun terima kasih kepada semua ahli halaqah kerana dapat memberi komitmen dengan menghadiri halaqah amali ini. Insyaallah lain kali kita berentap dengan kemas dan maju lagi..

Wednesday, December 15, 2010

Majlis Sambutan Hari Asyura 1432h




Majlis Sambutan Hari Asyura 1432

Tarikh : 10 Muharram 1432 - 16 Disember 2010
Hari : Khamis
Masa : 4.30 petang
Tempat : Dewan Ibnu Jazari

Agenda :

Majlis Berbuka Puasa
Tazkirah ‘Asyura
Tayangan Video (Peristiwa Karbala)
Solat Isya’
Ceramah : Jahiliyyah Zaman Moden
Oleh : Ustaz Abdul Malek bin Abdul Karim
(Penasihat PMRAM)
Pelancaran Web Mymaqaz
Penyampaian Hadiah Piala MB ‘10

Semua dijemput hadir

Hari, Puasa, & Bubur 'Asyura

Bulan Muharram ialah salah sebuah bulan yang dimuliakan oleh masyarakat Arab zaman dahulu. Nama “Muharram” itu bermaksud “Yang Diharamkan”. Dipercayai nama ini berkaitan dengan pengharaman berperang pada bulan ini.

Dalam bulan Muharram ini ada satu hari yang dimuliakan juga iaitu Hari ‘Asyura. Perkataan “‘Asyura” berasal daripada perkataan Arab “‘asyarah” yang bermaksud “sepuluh”, bersempena tarikhnya yang jatuh pada 10 Muharram itu.

KISAH-KISAH SEPUTAR HARI ‘ASYURA

Kisah-kisah yang berkisar dalam masyarakat mengaitkan tanggal 10 Muharram ini dengan:

1. Hari pertama Allah menciptakan alam.
2. Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
3. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
4. Hari Allah menjadikan ‘Arasy.
5. Allah menjadikan Loh Mahfuz.
6. Allah menjadikan malaikat Jibrail.
7. Allah menciptakan Nabi Adam.
8. Allah mengampunkan kesalahan Nabi Adam.
9, Nabi Idris diangkat ke langit.
10. Allah melabuhkan bahtera Nabi Nuh di Bukit Judi (ada sandarannya – hadis riwayat Imam Bukhari).
11. Nabi Ibrahim dilahirkan.
12. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api.
13. Nabi Yusuf dibebaskan daripada penjara.
14. Nabi Yaaqub pulih daripada buta.
15. Penyakit Nabi Ayyub disembuhkan.
16. Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah.
17. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa.
18. Nabi Yunus dikeluarkan daripada ikan.
19. Allah ‘mengangkat’ Nabi Isa.
20. Saiyidina Hussin syahid di medan Karbala (disahkan oleh para sejarahwan).

(*Kaitan kisah-kisah di atas dengan Hari ‘Asyura hendaklah dicari sandarannya)

ASAL-USUL SAMBUTAN HARI ‘ASYURA DALAM ISLAM

Abdullah bin ‘Umar berkata:
“Sesungguhnya orang-orang jahilliyyah biasa melakukan puasa pada hari ‘Asyura. Rasulullah saw pun melakukan puasa itu sebelum diwajibkannya puasa Ramadhan, begitu juga kaum Muslimin ketika itu. “

“Tatkala Ramadhan diwajibkan, Rasulullah saw mengatakan : Sesungguhnya Hari ‘Asyura ialah hari antara hari-hari Allah. Barangsiapa yang ingin berpuasa, silakan berpuasa. Barangsiapa meninggalkannya juga silakan.”
(Muslim)

Maksudnya Hari ‘Asyura memang sudah sedia dimuliakan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah dan mereka berpuasa pada hari itu. Rasulullah dan para sahabat pun biasa melakukannya. Apabila puasa Ramadhan disyariatkan, puasa pada Hari ‘Asyura tetap diteruskan sekalipun tidak diwajibkan.

Ibnu Abbas berkata:
“Ketika Rasulullah saw tiba di Madinah, baginda dapati orang-orang Yahudi melakukan puasa ‘Asyura. Kemudian Rasulullah bertanya (kepada mereka) : “Hari yang kamu berpuasa ini ialah hari apa?”

Orang-orang Yahudi itu menjawab : “Ini ialah hari yang sangat mulia. Ini ialah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini kerana bersyukur, maka kami pun mengikutinya berpuasa pada hari ini.”

Rasulullah saw lantar berkata (kepada para sahabat) : “Kita sepatutnya lebih berhak dan lebih utama mencontohi Musa daripada mereka.”

Lalu setelah itu Rasulullah memerintahkan kaum Muslimin berpuasa.
(Muslim)

Berpandukan sumber-sumber Yahudi, Rasulullah menggalakkan para sahabat untuk melakukan ibadah puasa pada Hari ‘Asyura.

(*Hal ini menunjukkan tidak semestinya setiap cerita Israilliyyat itu terus ditolak)

KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI ‘ASYURA

“Aku berharap dari Allah dengan berpuasa pada hari ‘Asyura, akan menghapuskan dosa dari tahun sebelumnya.”
(Muslim)

BILA HENDAK MELAKUKAN PUASA SUNAT ‘ASYURA?

Ketika Rasulullah saw berpuasa pada Hari Asyura dan memerintahkan agar para sahabat turut berpuasa, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah ia adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani?”

Lalu baginda bersabda: “Tahun akan datang, dengan kehendak Allah, kita (akan) berpuasa pada hari kesembilan (sehari sebelum Asyura).”

Berkata Ibnu Abbas : “Belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah saw telah diwafatkan.”
(Muslim)

“Jika aku masih hidup pada tahun depan, sungguh aku akan melaksanakan puasa pada hari ke-9.”
(Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, Thabrani dan lain-lain)

Hari ‘Asyura jatuh pada 10 Muharram. Nabi Muhammad dan para sahabat pernah berpuasa pada 10 Muharram itu. Namun Rasulullah juga bercadang untuk berpuasa pada 9 Muharram, cuma baginda tidak sempat melaksanakannya kerana wafat.

“Berpuasalah pada Hari ‘Asyura, tapi lakukan berlainan dengan kaum Yahudi, iaitu dengan berpuasa pada hari sebelumnya atau pun hari selepasnya.”
(Ahmad & Ibnu Khuzaimah)

Ibnu Abbas berkata:
“Selisihilah (berbezalah dengan) Yahudi, berpuasalah pada tanggal 9 dan 10.”
(Baihaqi)

Para ulama memberikan pelbagai pandangan dalam hal ini. Kita ringkaskan di sini, puasa ‘Asyura boleh dilakukan:

- pada 9,10 dan 11 haribulan (tiga hari)
- pada 9 dan 10 haribulan (dua hari)
- pada 10 dan 11 haribulan (dua hari)
- pada 10 haribulan sahaja (sehari)

ASAL-USUL BUBUR ‘ASYURA MASYARAKAT MELAYU

Disebutkan dalam kitab:
1. Nihayatuz Zain (Syeikh Nawawi Banten ms 96)
2. Nuzhatul Majalis (Syeikh Abdul Rahman Al-Usfuri ms 172)
3. Jam’ul Fawaid ( Syeikh Daud al-Fatani ms 132)

… bahawa ketika bahtera Nabi Nuh berlabuh di Bukit Judi, baginda menyuruh kaumnya mengumpullkan barang makanan yang ada. Antara bahan yang dapat dikumpulkan ialah kacang baqila’/ kacang ful, kacang adas, ba’ruz , tepung , kacang hinthoh dan lain-lain. Semuanya ada tujuh jenis bijian lalu dimasak.

Dalam syair Imam Ibnu Hajar al-Asqalani pula dinyatakan:

“Pada Hari ‘Asyura ada 7 yang dimakan iaitu gandum (tepung), beras, kemudian kacang mash (kacang kuda), dan kacang adas (kacang dal). Dan kacang himmash (kacang putih), dan kacang lubia (sejenis kacang panjang) dan kacang ful.”

Sandaran sebegini tentunya tidak kukuh, namun tidaklah jadi kesalahan kepada sesiapa yang ingin memasak, menjamu atau memakan bubur yang dinamakan bubur ‘Asyura itu. Biasanya bubur ini disediakan secara beramai-ramai. Antara manfaat yang diperolehi ialah pahala bersilaturrahim, pahala bergotong-royong, pahala memberi orang makan memberi gambaran perpaduan umat Islam kepada orang bukan Islam, dan sebagainya.

WaAllahua’lam

Tuesday, December 14, 2010

Formula Mencari Muka Surat Juzu' Dalam Al-Quran

Bismillah ar-Rahman ar-Rahim...

Formula ini boleh digunakan bagi Al-Quran Rasm Uthmani yang standard, sama ada Mushaf Al-Madinah An-Nabawiyyah, Arab Saudi atau Mushaf Tajwid cetakan Darul Ma’rifah, Syria, sama ada berbentuk cetakan kertas atau program/Al-Quran Flash.


besarnya kekuasaan Allah

Berikut adalah formulanya:

Contoh 1:

Untuk mencari Juzuk 14:

14 - 1 = 13
13 x 2 = 26
Kemudian,tambah angka 2 di hujung nombor 26 tadi, menjadi 262. Jadi, permulaan Juzuk 14 adalah pada muka surat 262.
Luasnya ilmu Allah

Contoh 2:

Untuk mencari Juzuk 19:

19 - 1 = 18
18 x 2 = 36

Kemudian,tambah angka 2 di hujung nombor 36 tadi, menjadi 362. Jadi, permulaan Juzuk 19 adalah pada muka surat 362.

Sunday, December 12, 2010

MENEROKA MAKNA HIJRAH

Kepekaan terhadap peredaran masa dan zaman memang suatu tuntutan Islam. Penggantian tahun dalam kalendar Islam turut diraikan kerana ia terkait dengan suatu peristiwa besar dalam sirah junjungan kita, Nabi Muhammad SAW iaitu peristiwa Hijrah.

Hijrah memang mengandungi pelbagai makna dan erti. Sudut yang sering mendapat sorotan ramai adalah peralihan fasa risalah Islam daripada dakwah kepada fasa dawlah atau pembinaan negara.

Tanpa menafikan kepentingan dimensi luaran peristiwa ini, adalah perlu diinsafi bahawa hijrah luaran dan fizikal ini tidak akan berhasil dan bermakna tanpa disertai hijrah rohani dalam hati dan jiwa umat.

Hakikat ini ditegaskan dalam sabda Nabi SAW dalam hadis yang masyhur mengenai niat dan amalan, “Sesungguhnya amalan itu ditentukan oleh niat, dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang ingin diperolehinya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya adalah kepada apa yang menjadi maksud hijrahnya”.

Sangat jelas dalam hadis ini yang merupakan antara induk segala hadis bahawa sebesar mana pun amalan agama seseorang itu, penentunya adalah niat dan maksud dalaman di sebalik amalan tersebut.

Hijrah Nabi SAW adalah episod yang begitu hebat dan sangat menentukan kerana ia adalah suatu projek keagamaan yang dijayakan oleh sekelompok insan agung yang memiliki hati paling suci dan ikhlas di bawah pimpinan penghulu para mukhlisin, Nabi Muhammad SAW.

Menyedari hakikat ini, janganlah dimensi kerohanian ini diabaikan dalam kita menyambut Maal Hijrah. Dimensi Islam, iman dan ihsan dalam agama kita sentiasa utuh dan terkait.

Tidak hairanlah, dalam salah satu karya terbesar dalam dunia kerohanian dan tasauf iaitu kitab Al-Hikam oleh Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari, hadis ini dan persoalan hijrah dalaman ini ada dinukilkan dan dihuraikan pula oleh para ulama tasauf yang mensyarahkan kata-kata hikmah tersebut.

Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari menegaskan perlunya berlaku hijrah dalam diri kita keluar daripada keterikatan dengan alam-alam (kawn/ akwan) menuju kepada Sang Pencipta alam (Al-Mukawwin).

Beliau berkata: “Janganlah kamu bergerak dari satu alam hanya ke satu alam yang lain maka jadilah kamu seperti keldai pengisar yang berjalan di sekitar pengisarnya sahaja; tempat tujuan perjalanannya sama dengan tempat asal perjalanannya.

“Tetapi hendaklah kamu bergerak (berpindah) dari semua alam kepada Sang Pencipta alam. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah puncak segala tujuan”.

Perhatikanlah sabda Rasulullah SAW, “Dan sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya …(hingga akhir hadis)”

Inti kepada peringatan Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari ini adalah agar kita membulatkan keikhlasan kita kepada Allah SWT dalam segala amalan kebaikan kita.

Tumpuan hati kita dalam beribadat adalah keredaan Allah SWT semata-mata. Hendaklah dielakkan ingatan kepada yang selain Dia hatta terhadap soal perhatian dan pandangan mulia oleh makhluk, karamah, ganjaran pahala, mahligai atau bidadari syurga walaupun ini adalah sunnah Ilahi bagi mereka yang bertakwa.

Kesemua perkara ini hakikatnya masih merupakan alam dan makhluk. Kita masih belum berhijrah menuju Allah SWT dengan sebenar-benarnya jika masih terikat tumpuan kepada alam dan makhluk.

Dalam ilmu tasauf, kalimah al-aghyar yang berakarkan kata ghayr yang bermakna ‘selain’ sering digunakan kepada segala sesuatu yang selain daripada Allah SWT untuk menjelaskan maksud prinsip ini.

Harus diingat bahawa sesungguhnya Allah SWT itu amat cemburu. Dia tidak suka dan reda jika seseorang yang menuntut-Nya turut mencari sesuatu yang selain Dia di samping-Nya.

Oleh itu, tidak akan sampai kepada-Nya seseorang yang masih terdapat di hatinya keinginan hawa nafsunya.

Salah seorang ulama yang terkenal dengan syarahnya terhadap Hikam Ibnu ‘Atoillah, Sheikh Ibnu ‘Ajibah ada menyebut bahawa seseorang yang berjalan dari satu alam ke satu alam yang lain ialah orang yang berjalan dari selain Allah kepada selain Allah juga.

Seseorang yang zuhud di dunia tetapi menuntut kerehatan badan dan perhatian dunia kepadanya masih termasuk dalam golongan ini

Hijrah dalam erti kata ini juga bolehlah dirumuskan sebagai berpindah dari tiga negeri kepada tiga negeri iaitu:

Dari negeri maksiat ke negeri taat.

Dari negeri kelalaian ke negeri kesedaran.

Dari alam asybah (jasad) ke alam arwah (roh).

Sheikh Ibnu ‘Ajibah juga meriwayatkan pesanan gurunya bahawa jika kita hendak menilai sama ada kita sedang benar-benar berpindah dari alam dunia menuju alam malakut atau tidak, kita hendaklah membentangkan segala keinginan dan kecenderungan kita satu persatu.

Jika kita mendapati bahawa kita telah meninggalkannya dan perasaan kasih terhadap kesemuanya telah keluar daripada hati kita maka barulah kita boleh bergembira.

Mengeluarkan kecintaan dan keinginan terhadap selain Allah SWT bukanlah suatu yang mudah dan akan terjadi dengan sendiri. Ia menuntut keazaman, kesungguhan, perancangan, panduan dan bimbingan.

Satu perkara yang tidak harus luput daripada perhatian kita dalam merenungi hijrah adalah bagaimana peristiwa tersebut menagih perancangan, keperitan dan pengorbanan yang tinggi daripada Rasulullah SAW dan generasi awal Islam yang merupakan generasi para kekasih Allah.

Jika mereka yang paling dikasihi Allah ini pun terpaksa bersusah payah merancang dan berkorban demi mendaulatkan Islam, maka sudah tentu kita hari ini perlu bersedia untuk berkorban dan berjerit-payah jika kita benar-benar serius dengan agama kita.

(Rujukan utama: kitab Cahaya yang Lurus: Syarah Hikam Sheikh Ibnu ‘Atoillah al-Sakandari oleh Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki (Kuala Lumpur, Sofa Production, 2007)

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO