Tuesday, July 26, 2011

ILMAM Kesal : Tindakan Pegawai JPMK dan Kedutaan Terhadap Pelajar Tidak Berasas



Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (ILMAM) mengecam tindakan pegawai JPMK dan Kedutaan Malaysia di Kaherah Mesir yang didakwa menjadi dalang di sebalik kes seorang mahasiswa Mesir yang menuntut di IPT di Mesir dibuang daripada pusat pengajian tersebut kerana mengetuai perhimpunan aman BERSIH pada 9 Julai lalu di kawasan penempatan pelajar sekitar Kaherah.


Turut terkilan, selain itu, para mahasiswa yang menyertai perhimpunan tersebut juga diugut dengan pelbagai perkara seperti akan ditarik zakat yang menjadi hak mereka, disekat pinjaman walaupun pelajar hanya meminjam dan pelbagai lagi ancaman yang diberikan oleh pegawai yang tidak bertanggungjawab tersebut.


ILMAM melihat tindakan tersebut adalah tidak berasas sama sekali kerana para mahasiswa mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan mereka dan mereka tidak melakukan sebarang perkara yang dapat mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi mereka berada di luar Malaysia.


Tindakan pegawai yang langsung tidak mahu berbincang dengan mahasiswa tersebut seperti yang dilaporkan juga menunjukkan sikap tidak profesional dan tidak beretika kerana tugas mereka sebenarnya adalah untuk memudahkan urusan para pelajar dan bukannya menyusahkan mereka hanya untuk kepentingan keduniaan semata-mata.


Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia sekarang ini.


ILMAM turut mempersoalkan mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan di seluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama di tempat-tempat lain.


Jadi, ILMAM Malaysia menaruh sepenuh pengharapan kepada Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mesir agar membuat pertimbangan yang sewajarnya, iaitulah dengan menarik balik sebarang tindakan yang dikenakan ke atas semua pelajar Malaysia tersebut untuk mendapat haknya yang sepatutnya diperolehi. Terutama memberi peluang kepada Saudara Firdaus bin Mazlan yang mengambil kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah yang sepatutnya telah tamat pengajiannya pada 25 Julai, kelmarin untuk menghabiskan dan melayakkan dirinya untuk mendapat sijil tersebut.


ILMAM Malaysia ingin mengakhiri dengan sedikit peringatan dan panduan hidup yang telah direncanakan oleh Nabi besar junjungan kita Nabi Muhammad saw:


Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga."


Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?”. Maka Rasulullah SAW menjawab : “Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim.” (H.R. Al-Bukhari)


Sekian, Wassalam.


Yang Benar,


USTAZ MOHD AZIZUL HISHAM BIN ZULKIFLI
PRESIDEN,
PERTUBUHAN LEPASAN MAHASISWA MESIR (ILMAM) MALAYSIA

Panas : Warden ARMA Dedah Konspirasi



25 JULAI - Semalam telah diadakan pertemuan antara PMRAM, 3 orang mangsa halau dan Warden Asrama Rumah Melayu Abbasiah. PMRAM telah diwakili oleh Saudara Aziz bin Ali selaku Timbalan Presiden dan Saudara Firdaus bin Noh selaku Setiausaha Agung. Pertemuan diadakan pada jam 9.30 pagi bagi mendapatkan penjelasan dan menyatakan pendirian PMRAM terhadap tindakan warden yang menyalahi etika.


Warden ARMA memaklumkan bahawa tindakannya berdasarkan arahan daripada Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).


"Saya hanya melaksanakan arahan", katanya di dalam pertemuan tersebut.


"Setakat ini kami memberi amaran dan keputusannya bergantung kepada pertemuan 3 mangsa tersebut bersama Pengarah JPMK", katanya lagi.


Pengarah JPMK berada di Malaysia ketika ini, dan dijangka akan kembali bertugas di Mesir pada akhir bulan ini.


Sebagai rekod, 3 orang mahasiswa terbabit mendakwa bahawa warden ARMA telah menghalau mereka tanpa notis. Namun mereka tetap berkeras untuk tidak keluar dari asrama tersebut.


Walaubagaimanapun, PMRAM tetap bertegas dalam mempertahankan hak mahasiswa.


"PMRAM bersedia berjumpa dengan sesiapa sahaja untuk membincangkan apa jua masalah yang berlaku. PMRAM pantang dicabar" Kata Presiden PMRAM, Saudara Zuhaili Saiman ketika dihubungi.


Ulamak Pelapis PAS Desak JPMK Tarik Balik Tindakan



Kenyataan Rasmi: Ulamak Pelapis PAS


Kuala Lumpur, 25 Julai 2011 - Ulamak Pelapis, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah (JPMK) agar menarik balik tindakan yang diambil terhadap pelajar-pelajar di Mesir kerana mengadakan himpunan menyokong tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.


Antara tindakan yang diambil adalah pembatalan pengajian seorang mahasiswa negeri Selangor, menghalau 3 orang mahasiswa daripada Asrama Rumah Melayu di Abbassiyah (ARMA) tanpa sebarang notis dan surat tunjuk sebab, menyenarai hitamkan 40 orang mahasiswa negeri Perak dan beberapa orang mahasiswa negeri Terengganu yang menerima ugutan.


Tindakan yang diambil jelas menzalimi mahasiswa tersebut sekaligus melanggar hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan tidak dihalang oleh pihak berkuasa Mesir.


JPMK seharusnya mendokong sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia untuk melihat suara mahasiswa dan perhimpunan yang dilakukan secara positif apatah lagi negara Mesir sendiri yang menjadi tempat mahasiswa ini belajar sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara demokrasi tulen.


Tindakan yang diambil juga dilakukan secara terburu-buru tanpa ada penyiasatan yang teliti dan tidak memberikan hak kepada mahasiswa terbabit untuk mempertahankan diri. Ini sama sekali bercanggah dengan ajaran Islam. Kezaliman dan penindasan ini seharusnya dihentikan. Kuasa yang dimiliki tidak seharusnya menyebabkan kita lupa diri sebagai seorang muslim.


Justeru, Ulamak Pelapis PAS menyeru agar Dato' Tuan Yang Terutama Duta Malaysia ke Kaherah, Dr. Fakhruddin bin Abd Mokti yang mempunyai latar belakang pengajian Islam agar tidak membelakangi ilmu yang dipelajari dengan menzalimi para mahasiswa.


Ulamak Pelapis juga memohon agar Wisma Putra, Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi agar campur tangan terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini demi untuk masa depan Islam dan negara pada masa hadapan.



Lajnah Keahlian & Ulamak Pelapis
Dewan Ulamak PAS Pusat

Khairi Mencabar Mahasiswa Menjatuhkannya



24 JULAI - En. Khairi bin Jalalluddin, Pegawai Atase Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) telah mencabar mahasiswa Melayu di Mesir bagi pelucutan jawatannya semalam.


Beliau menyatakan di dalam laman sosial Facebook bagi mengumpulkan 3000 mahasiswa yang menuntut pelucutan jawatannya.


"Bilalah nak sampai 3000 ni, lembablah ustaz-ustaz Azhar buat kerja", katanya.


Khairi sering dilihat mengeluarkan kenyataan-kenyataan pra-matang yang tidak sepatutnya di dalam Laman Sosial. Sebelum ini beliau pernah menafikan hubungan PMRAM dan Pihak Keselamatan Mesir, memfitnah Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta dan sebagainya.


Di dalam beberapa pertemuan mahasiswa pada tahun lepas dan tahun ini mencatatkan banyak kontroversi yang dilakukan oleh beliau samada melalui laman sosial Facebook atau ketika berurusan di pejabat dan sebagainya.

Usaha Pegawai Hal Ehwal Anak Selangor Dipuji



24 JULAI - Pegawai Hal Ehwal Anak Selangor, En. Mohd Faryzan bin Subkhi mendapat pujian di atas usaha yang dilakukan oleh beliau bagi menyelamatkan anak-anak Negeri


Selangor. Antara anak Selangor yang ditindas oleh Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ialah saudara Mohd Zaidi bin Ahmad Nawi dan Saudara Mohd Firdaus bin Mazlan.


Firdaus telah dibatalkan pengajiannya gara-gara angkara KBMK. Manakala JPMK pula telah melakukan cubaan untuk membatalkan pengajian saudara Zaidi. Namun usaha tersebut gagal dan saudara Zaidi masih dapat meneruskan pengajiannya.


En. Mohd Faryzan telah melakukan beberapa tindakan beliau sebagai Pegawai Anak Negeri Selangor. Malangnya usaha beliau tidak dicontohi oleh pegawai-pegawai anak negeri yang lain. Bahkan terdapat pegawai anak negeri lain yang mengugut mahasiswa dengan penarikan zakat dan sebagainya.


Selain itu, pihak DESAK telah mengucapkan tahniah di atas dedikasi Pegawai Anak Negeri Selangor dan Negeri Kelantan yang turut sama dalam menjayakan tuntutan terhadap pencabulan hak mahasiswa.

Doa Terhadap Kezaliman Kedutaan dan JPMK (EME)


Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas



Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas

Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhlukMu Sayyidina Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttolib yang merupakan rahmat buat sekalian alam dan juga ke atas ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda seluruhnya.


Wahai Allah, kepadaMu kami adukan betapa lemahnya kekuatan kami, betapa sedikitnya helah kami dan betapa hinanya kami pada pandangan mata manusia. Wahai Dzat yang paling merahmati, Dikau adalah tuhan bagi orang-orang yang dipandang lemah dan Dikau adalah tuhan kami. Kepada siapa Dikau serahkan kami? Adakah kepada orang yang jauh yang memandang kami dengan wajah yang penuh kebencian atau kepada musuh yang Dikau jadikan mereka dapat menguasai urusan kami? Namun sekiranya Dikau tidak membenci kami, maka kami tidak peduli dengan ujian ini kerana keampunanMu adalah lebih luas bagi kami. Kami memohon perlindungan dengan bantuan cahaya wajahMu yang telah menerangi kegelapan dan yang telah membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat daripada Dikau menurunkan kepada kami kemurkaanMu atau daripada kebencianMu yang kena kepada kami. Dikau berhak untuk mencaci sehinggalah Dikau meredhai dan tiada daya mahupun upaya melainkan hanya dengan pertolonganMu.


Wahai Allah, sesungguhnya teman-teman kami daripada para penuntut ilmuMu yang telah meninggalkan kampung halaman dan ahli keluarga mereka hanya semata-mata untuk mendalami SyariatMu, menyebarkan agamaMu dan mengkhabarkan manusia akan bicara RasulMu telah dizalimi dan tiada daya serta upaya melainkan hanya dengan pertolonganMu duhai tuhan sekalian alam.


Wahai Allah, kami bertawassul kepadaMu wahai tuhan yang Maha Gagah dengan NabiMu Sayyidina Muhammad insan terpilih untuk Dikau tidak membiarkan orang yang menzalimi kami dan teman-teman kami. Wahai Allah, kami serahkan kepadaMu orang yang telah menzalimi kami. Wahai Allah, kami serahkan kepadaMu orang yang telah merancang dan membantu usaha pemberhentian sahabat kami Muhammad Firdaus bin Madzlan daripada pengajiannya duhai tuhan yang Maha Kuat dan Maha Gagah. Wahai Allah, kami serahkan kepadamu orang yang merancang untuk membatalkan pengajian saudara kami Muhammad Zaidi bin Ahmad Nawi ya Allah. Wahai Allah, kami serahkan kepadaMu orang yang merancang dan berusaha untuk mengusir Muhammad Zaidi bin Ahmad Nawi, Abu Salman bin Husain dan Zul Izzi bin Ismail daripada Asrama Rumah Melayu Abbasiah ya Allah. Wahai Allah, kami serahkanlah kepadaMu orang yang telah merancang dan mengugut 40 orang sahabat-sahabat kami daripada Perak ya Allah. Wahai Allah, kami serahkan kepadaMu orang yang telah mengancam untuk memotong zakat sahabat-sahabat kami dari Terengganu ya Allah. Wahai Allah, kami serahkan kepadaMu orang yang menzalimi para penuntut ilmu wahai tuhan yang Maha Gagah dan Maha Perkasa.


Wahai Allah, kami menjadikanMu pada leher-leher orang yang telah menzalimi kami daripada orang-orang Kedutaan yang telah menzalimi kami dan kami memohon perlindungan dengan bantuanMu daripada kejahatan-kejahatan mereka. Wahai Allah, pecah belahkanlah kekuatan mereka. Wahai Allah, pecah belahkanlah kesatuan mereka. Wahai Allah, teraburkanlah kalimah mereka. Wahai Allah, gegarkanlah tapak-tapak kaki mereka. Wahai Allah, tumpulkanlah ketajaman mereka. Wahai Allah, sedikitkanlah bilangan mereka. Wahai Allah, turunkanlah azab kepada mereka. Wahai Allah, jadikanlah mereka dikuasai oleh anjing daripada anjing-anjingMu. Wahai tuhan yang Maha Mengalahkan, wahai tuhan yang Maha Perkasa, wahai tuhan yang Maha Pendendam, wahai Allah, wahai Allah, wahai Allah. Wahai Allah yang telah menurunkan kitab, wahai Yang telah menjalankan awan, wahai Yang telah menghancurkan tentera-tentera bersekutu, hancurkanlah mereka dan bantulahlah kami dalam mengalahkan mereka wahai tuhan yang lebih merahmati daripada orang-orang yang merahmati dan wahai tuhan orang-orang yang dianggap lemah.


Wahai Allah, dengan hak firmanMu yang suci: “Sesungguhnya Daku akan betul-betul membantu doa orang dizalimi walaupun setelah berlalunya zaman” dan dengan hak sabda NabiMu: “Gerunlah kamu dengan doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada sebarang penghalang antara doa orang yang dizalimi dengan Allah”, menangkanlah kami terhadap orang yang menzalimi kami. Wahai tuhan yang melumat-lumatkan orang-orang yang menindas dan wahai tuhan yang tidak gentar terhadap tipu daya orang-orang yang zalim serta para pemerintah Parsi, hancur lumatkanlah orang yang telah menzalimi kami daripada kalangan orang-orang Kedutaan kami, wahai tuhan yang lebih merahmati daripada orang-orang yang merahmati dan wahai tuhan yang mendengar rintihan hamba-hambaNya yang dizalimi.


Allah berselawat, memberkati dan memberikan salam ke atas Sayyidina Muhammad, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda. Segala puji hanya untuk Allah tuhan sekalian alam.

Sokongan Persatuan Mahasiswa Luar Negara Kepada PMRAM

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memandang isu pencabulan hak mahasiswa sebagai isu sejagat mahasiswa. Bahkan, isu ini dandang hebat oleh persatuan-persatuan mahasiswa luar Negara , hal ini telah disahkan sendiri oleh Presiden PMRAM saudara Muhamad Zuhaili Bin Saiman setelah berhubung sendiri dengan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ), Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS), Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA), dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).


Bagi Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ), “Isu terbaru yang melibatkan beberapa mahasiswa pengajian Islam di Mesir, sebenarnya tindakan mahasiswa tersebut selari dengan Seksyen 119(1a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua warganegara yang mencapai umur 21 tahun berhak bersuara dan layak mengundi dalam pilihanraya. MPPMJ ingin mempersoalkan, kalau sekiranya usia 21 tahun adalah usia kelayakan mengundi, mengapa mereka tidak dibenarkan untuk besuara menyatakan perinsip dan pendirian mereka terhadap mana-mana isu. Bukankah Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, justeru mengapa mesti ada sekatan terhadap mana-mana mahasiswa tersebut untuk mengamalkan hak demokrasi mereka? MPPMJ turut bersimpati di atas apa yang berlaku pada mahasiswa di Mesir dan bersama PMRAM dalam memperjuangkan hak mahasiswa. “ ujar beliau.


Pandangan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS) pula, isu ini perlu ditangani dengan bijak oleh pihak berwajib, “Kami (PPMS) menyatakan kebersamaan dalam isu ini (isu mahasiswa Mesir). Kami PPMS juga berpandangan cara dan tindakan yang dilakukan (buang dari tempat pengajian) kurang tepat untuk menyelesaikn isu ini. Kita harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan bijak dalam menanganinya.”


Sokongan terhadap isu hak mahasiswa ini turut disuarakan oleh Penasihat Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (PERSADA) “ Pihak berwajib perlu menjadikan mahasiswa sebagai teman, bukan sebagai musuh dan begitulah sebaliknya. Memelihara hak adalah komitmen bersama kerana ianya adalah amanah yang akan dipersoal kelak.” menurut beliau.


Bagi persatuan Mahasiswa Malaysia, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) berpendapat, " GAMIS berasa cukup kesal di atas tindakan pembuangan pelajar Darul Ifta'. Tindakan pembuangan ini didapati turut melibatkan hubungan diplomatik antara kerajaan yg dilihat mempunyai motif politik dalam tindakan terebut. Sepatutnya kerajaan Malaysia bersifat lunak dan terbuka dalam menangani isu yang mutakhir ini memberikan imej yang teruk kepada pihak kerajaan. Tindakan pembuangan pelajar ini bakal menjelaskan lagi bahawa kerajaan sedia ada tidak mampu menguruskan kehadiran anak muda dalam medan politik tanah air. GAMIS desak untuk pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Luar Negeri agar lebih serius untuk menyelesaikan masalah ini " kata beliau.



PMRAM dapat menyimpulkan terhadap suara yang mewakili persatuan-persatuan besar mahasiswa ini sebenarnya memberikan gambaran atau mesej yang sangat jelas bahawa apa yang berlaku terhadap mahasiswa Malaysia di Mesir sekarang ini tidak boleh dipandang enteng. PMRAM memandang ianya tarbiah dan cabaran yang perlu didokong oleh segenap pihak terutamanya mahasiswa yang sedang menuntut di Mesir.


PMRAM dengan tegas memberi jaminan kepada mana-mana pelajar Malaysia di Mesir ini yang dinafikan hak mereka sebagai seorang mahasiswa, PMRAM sangat optimum dan komited untuk membela dan mempertahankan sehingga hak seorang mahasiswa dikembalikan. PMRAM tidak mencari jalan yang tegang atau dingin, malah PMRAM sentiasa membuka pintu dan ruang perbincangan kepada mana-mana pihak demi kebaikan semua bersama terutama Mahasiswa di Mesir dan ahli PMRAM. PMRAM atas dasar kebajikan pelajar menjadi tanggungjawab bagi memikul amanah ini.


Oleh yang demikian, PMRAM menyeru kepada seluruh mahasiswa Malaysia yang menuntut di Mesir khususnya kepada ahli PMRAM agar bangkit dan cakna terhadap apa yang berlaku realiti penindasan mahasiswa Malaysia di Mesir sekarang ini. Bahkan ianya menjadi kewajipan untuk mempertahankan hak yang telah dicabul dan dipermainkan seperti mana wajibnya umat Islam mempertahankan hak bumi Palestin yang dinafikan negara tanah air mereka sendiri.



PMRAM menyeru mahasiswa bersama-sama mendokong dan menyokong terhadap pertubuhan yang dikenali dengan DESAK iaitu pertubuhan yang diasaskan oleh ahli-ahli PMRAM sendiri atas inisiatif khusus bagi mengembalikan hak mahasiswa yang ditindas.


Muhamad Zuhaili bin Saiman
Presiden,
(Ketua Lajnah Hubungan Antarabangsa)

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2011

JPMK (EME) Turut Terlibat Dalam Membatalkan Pengajian



23 JULAI - Usaha menghentikan pengajian oleh pihak tertentu, bukan hanya membabitkan Saudara Mohd Firaus bin Mazlan. Antaranya aduan yang sama, diterima daripada Saudara Mohd Zaidi bin Nawi, Pengajian Ulum Islamiah, Universiti al Azhar.


Pada 19 Julai lalu, beliau telah dipanggil kali kedua oleh Dekan Kuliah. Dekan Kuliah menyatakan En. Khairi Jalaluddin, Pegawai Atase Pendidikan Education Malaysia (JPMK) telah bertemu dengannya serta mengarahkan pengajian beliau perlu disekat beserta sebab musabab dan laporan bergambar.


Namun, Dekan Kuliah berjanji bahawa beliau akan membantu Saudara Zaidi daripada disekat pengajiannya. Sehingga ke hari ini, status pengajian beliau masih berterusan seperti biasa.

Isu Mahasiswa : Prihatin Terhadap Warga ARMA



KAHERAH, 22 Julai - Isu mahasiswa Mesir yang dinafikan hak dan dikenakan tindakan akibat menyertai himpunan aman bagi menyokong tuntutan rakyat Malaysia yang inginkan pilihanraya yang bersih dan adil semakin mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak.


Tindakan membuang mahasiswa daripada pusat pengajian dan asrama kediaman dianggap sebagai satu tindakan yang keterlaluan kerana ia melibatkan masa depan mahasiswa itu sendiri.


Terbaru 3 orang ahli PMRAM yang tinggal di Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) diberi amaran keras supaya keluar daripada kediaman tersebut oleh pihak pentadbiran ARMA ekoran terlibat dengan himpunan aman di Dataran Hayyu Asyir baru-baru ini.


Pihak PMRAM melahirkan rasa kecewa di atas tindakan yang tidak wajar dikenakan terhadap mereka itu sehinggakan menimbulkan spekulasi dan ketidakpuasaan hati di kalangan mahasiswa.


Petang tadi, pejabat PMRAM didatangi secara sukarela oleh salah seorang daripada mangsa yang dikenakan ugutan tersebut iaitu Saudara Abu Salman bin Hussin bagi membuat aduan berkaitan hak mereka kepada PMRAM untuk diambil tindakan selanjutnya.


"PMRAM sentiasa bersedia memberi bantuan kepada mahasiswa Islam yang dicabuli hak mereka bahkan kita sentiasa menyokong dan bersama mereka dalam memperjuangkan hak tersebut. Ini kerana antara tujuan penubuhan PMRAM itu adalah untuk memberi kebajikan kepada seluruh ahli " ujar Saudara Abdul Aziz Ali selaku Ketua Lajnah perancang dan Panitia PMRAM 2011 sejurus menerima borang aduan hak mahasiswa daripada Saudara abu Salman Hussin.

Doa Menuntut Pembelaan Disampaikan Ke Mekah






23 JULAI - Semalam, rombongan yang mengerjakan umrah akan bertolak ke sana. Di kesempatan itu, Pengerusi Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) sambil diiringi oleh Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi dan Norhalis Syafiq bin Ahmad, wakil Badan Pengurus PMRAM, telah mengadakan pertemuan dengan mereka.


Rombongan yang diketuai oleh Saudara Nazrul bin Nasir telah diberikan teks doa dan senarai nama mahasiswa yang dizalimi dan dinafikan hak mereka. Ia adalah untuk mendoakan untuk mereka di Masjidil Haram. Begitu juga doa bagi mereka yang telah menzalimi mahasiswa.


Saudara Nazrul Nasir menyatakan kesudian beliau untuk membantu mangsa kezaliman Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).


Pengerusi DESAK mengucapkan jutaan terima kasih kepada Saudara Nazrul Nasir dan rombongan atas kesudian tersebut, dan mendoakan keselataman bersama di dunia dan akhirat.


Nuruddin berkata "DESAK akan terus berusaha untuk membantu mereka yang dizalimi dan menyekat kezaliman mana-mana pihak"






23 JULAI - Semalam, rombongan yang mengerjakan umrah akan bertolak ke sana. Di kesempatan itu, Pengerusi Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) sambil diiringi oleh Saudara Ahmad Huzaifah bin Fauzi dan Norhalis Syafiq bin Ahmad, wakil Badan Pengurus PMRAM, telah mengadakan pertemuan dengan mereka.


Rombongan yang diketuai oleh Saudara Nazrul bin Nasir telah diberikan teks doa dan senarai nama mahasiswa yang dizalimi dan dinafikan hak mereka. Ia adalah untuk mendoakan untuk mereka di Masjidil Haram. Begitu juga doa bagi mereka yang telah menzalimi mahasiswa.


Saudara Nazrul Nasir menyatakan kesudian beliau untuk membantu mangsa kezaliman Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).


Pengerusi DESAK mengucapkan jutaan terima kasih kepada Saudara Nazrul Nasir dan rombongan atas kesudian tersebut, dan mendoakan keselataman bersama di dunia dan akhirat.


Nuruddin berkata "DESAK akan terus berusaha untuk membantu mereka yang dizalimi dan menyekat kezaliman mana-mana pihak"

PMRAM Menerima 8 Aduan Mahasiswa



KAHERAH, 22 Julai : Atas komitmen terhadap isu pencabulan hak mahasiswa yang semakin panas baru-baru ini, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah menerima sejumlah borang aduan hak Mahsiswa daripada Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) semalam.


DESAK melalui pengerusinya, Saudara Nuruddin Zanki bin Hamzah, telah datang ke pejabat PMRAM dan menyerahkan sendiri sejumlah 8 borang aduan hak mahasiswa dan diterima oleh Saudara Syeikh Muhd Mujahid bin bin Sikh Nawawi, selaku Naib Presiden III, merangkap Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemanusiaan PMRAM 2011.


Borang aduan hak mahasiswa adalah salah satu saluran yang telah disediakan oleh PMRAM bagi mana-mana mahasiswa dan mahasiswi yang dinafikan hak untuk mereka menyalurkan setiap aduan dan masalah yang berlaku.


"PMRAM sentiasa bersama dalam isu yang melibatkan hak dan keadilan terhadap mahasiswa kerana ianya merupakan agenda kebajikan PMRAM yang besar terhadap ahli. Bahkan, PMRAM sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku serta berusaha untuk menyediakan jalan penyelesaian terbaik terhadap apa jua isu yang berlaku termasuk isu yang melibatkan hak mahasiswa", ujar Saudara Syeikh Mujahid ketika ditemui di pejabat selepas penyerahan borang aduan hak mahasiswa.

DESAK Sedia Buat Pertemuan Dengan Pengarah EM (JPMK)



Asslamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.


Salam kebangkitan mahasiswa saya ucapkan kepada seluruh pendokong Gerakan Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK).


Bagi menyanjung serta menghargai harapan besar dari seluruh mahasiswa/wi Malaysia di bumi Mesir ini terhadap usaha DESAK dalam memperjuangkan hak mahasiswa, maka gerak kerja DESAK tidak akan terhenti dengan penghantaran memorandum kepada pihak kedutaan sahaja.


Pihak DESAK dalam perbincangan bersama ahli jawatankuasanya telahpun memutuskan untuk membuat pertemuan secara rasmi dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (EM), Prof. Dr. Haji Su’aidi bin Dato’ Hj. Safie dalam masa terdekat. Namun begitu sebarang temu janji masih lagi belum dibuat oleh Pihak Desak. Antara agenda utama perjumpaan tersebut,pihak DESAK ingin meminta respon Pengarah EM sendiri berhubung status pandangannya terhadap tuntutan hak mahasiswa dan beberapa kes salah laku beberapa pegawai di jabatannya.


Sehubungan dengan itu, pihak DESAK ingin mengambil kesempatan dalam pertemuan tersebut dengan melontarkan beberapa cadangan kepada pihak EM. Secara umumnya cadangan tersebut merujuk kepada beberapa luahan dan permintaan mahasiswa/wi yang menuntut di bumi Mesir ini. Di antara cadangan tersebut ialah :

1. Memohon penambahan hari bagi pengurusan visa mahasiswa di Pejabat Emigresen tempatan.

2. Memohon keperihatinan dan kebersamaan pihak pengarah dalam isu-isu mahasiswa.

3. Meningkatkan daya mutu perkhidmatan EM menerusi atase-atase yang berkaitan.

4. Meminta supaya pihak EM dapat mengurangkan karenah birokrasi dalam perkhidmatannya terhadap mahasiswa.

5. Memastikan pegawai-pegawai EM tidak mencampuri urusan politik dalam perkhidmatan mereka terhadap para mahasiswa yang ingin berurusan.


Oleh yang demikian, menjadi harapan besar bagi pihak DESAK agar dapat membuat pertemuan bersama dengan Prof. Dr. Hj. Su’aidi, Pengarah EM dalam masa terdekat ini.Pihak DESAK memohon kepada seluruh mahasiswa agar dapat melontarkan pandangan dan idea yang positif kepada pihak EM melalui DESAK supaya dapat disampaikan kepada Pengarah EM kita.


Di akhirnya pihak DESAK menyeru kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi mahasiswa/wi agar mengekalkan momentum kebangkitan mahasiswa dalam menuntut hak mereka. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.


Sekian,terima kasih.


"Mahasiswa Mendepani Tuntutan Hak"


Nuruddin Zanki bin Hamzah
Pengerusi,
Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) 2011

Pencabulan Hak : Kenyataan Rasmi Presiden PERUBATAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kenyataan Rasmi Berkenaan Isu Hak Mahasiswa Mesir Yang Terancam

Mutakhir ini, timbul ura-ura dan perkhabaran di kalangan mahasiswa berkenaan amaran daripada Kerajaan Malaysia untuk tindakan yang bakal dikenakan kepada mana-mana mahasiswa seandainya melibatkan diri dalam perhimpunan BERSIH yang dianjurkan baru-baru ini. Bertitik tolak daripada itu, sebilangan mahasiswa daripada Yayasan Terengganu, Kerajaan Negeri Perak dan yang terbaru, seorang mahasiswa disahkan dibuang dari pusat pengajian Darul Ifta’ walaupun dalam masa seminggu lagi beliau akan menamatkan pengajian. Maklumat terbaru juga mengesahkan ada segelintir mahasiswa Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah dipanggil untuk memberi penjelasan yang kukuh kepada pihak EM berikutan keterlibatan di dalam perhimpunan tersebut.*


Justeru, tindakan keras yang dikenakan kepada mahasiswa ini dilihat dari sudut pandang sisi mahasiswa merupakan suatu tindakan yang kurang bijak dan terburu-buru oleh pihak berwajib. Tindakan khusus untuk membuang pelajar dilihat kurang professional dan tidak seperti bapa yang menghukum anak bukan atas dasar untuk mendidik dan berubah menjadi lebih baik bahkan situasi menjadi bertambah buruk. Hubungan yang keruh dan persengketaan akan terhasil antara pihak yang menghukum dan dihukum tidak menyelesaikan masalah yang sedia ada malahan mengeruhkan keharmoniaan suasana pengajian mahasiswa yang sedia ada selama ini.


Saya mewakili barisan kepimpinan PERUBATAN menggesa agar pihak Kedutaan Malaysia Besar Kaherah bersama pihak Education Malaysia di bawah Kementerian Pengajian Tinggi memainkan peranan selaku pihak yang bertanggungjawab dalam membela hak pengajian mahasiswa yang terancam. Pihak yang berwajib yang mengenakan tindakan kepada mahasiswa-mahasiswa tersebut juga seharusnya mengkaji semula kewajaran tindakan yang diambil agar ia lebih relevan dan tidak menggelapkan masa depan mahasiswa. Menghukum itu perlu dengan tujuan untuk mendidik dan seharusnya pihak berwajib mengemukakan alasan dan bukti yang kukuh, memberi penjelasan yang jelas akan tindakan yang diambil dan membuat perbincangan.


Mesir bumi ilmu, tidak seharusnya hak penuntut ilmu untuk menuntut ilmu itu ditarik dan dicabuli. Kami meminta sekali lagi agar tindakan yang diambil ini dapat dikaji semula demi memastikan mahasiswa di perlembahan Nil ini dapat meneruskan pengajian dengan aman seperti sedia kala.


TAQWA SYIFA’ RAHMAH


ILMUAN BERBAKTI TEGUH SEHATI


Syafiq Hamdani
Presiden PERUBATAN 2011/2012

Pencabulan Hak Mahasiswa Mesir Akan Dituntut



22 JULAI - Penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa semalam telah menjadi detik sejarah bagi memastikan hak mahasiswa tidak dicabul oleh mana-mana pihak.


Saudara Nuruddin Zanki, Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) memaklumkan bahawa sejarah pencabulan hak mahasiswa telah banyak dilakukan oleh beberapa pihak terutamanya Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).


"Sebelum ini kita dikejutkan dengan tindakan salah seorang Pegawai Atase bernama En. Khairi Jalalluddin. Beliau telah banyak bertindak menyusahkan pelajar ketika berurusan dengan pihak mereka" katanya.


"Sebelum ini juga En. Zulkifli bin Din yang merupakan pegawai JPMK turut telah menghina mahasiswa yang tidak mempunyai kewangan, dari negeri Kedah dan Kelantan", katanya lagi.


Selain itu terdapat juga usaha serius untuk menyekat zakat dan dermasiswa terhadap mahasiswa. Antara yang terbabit ialah Negeri Perak, Terengganu dan lain-lain yang disekat zakat mereka.


Pada tahun lepas, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) telah melancarkan Borang Aduan Hak Mahasiswa. Usaha tersebut bagi membuka ruang kepada mahasiswa untuk membuat aduan tentang pencabulan hak mahasiswa. Seterusnya segala aduan tersebut telah dihantar secara bertulis kepada En. Saiful, Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) ketika itu.


"Saya mengingatkan bahawa mahasiswa bukanlah bahan mainan. Mahasiswa akan bangkit sekiranya hak mereka dicabul", katanya mengakhiri perbualan.

3 Mahasiswa Di Halau Asrama - Tindakan Dikesali



21 JULAI - Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK), Saudara Nuruddin Zanki menyatakan kekesalan terhadap tindakan Warden Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) yang menghalau 3 orang mahasiswa kerana terlibat dalam perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu.


Tindakan ini sangat memalukan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), kerana ia dianggap sebagai tindakan yang tidak profesional. Pada 19 Julai baru-baru ini, salah seorang daripada mangsa telah menceritakan kronologi pembuangan mereka daripada asrama tersebut.


Kekesalan ini turut dilahirkan oleh beberapa pimpinan persatuan pelajar. Antaranya Presiden PMRAM sendiri yang menegaskan bahawa JPMK sebenarnya tidak berhak ke atas ARMA, apatah lagi menghalau penghuni-penghuninya daripada asrama tersebut.

Pihak Kedutaan Diharap Tunaikan Janji



21 JULAI - Pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) diharap agar dapat menunaikan janji mereka untuk menyampaikan memorandum tersebut kepada pihak terbabit. Inilah antara apa yang dinyatakan oleh Pengerusi DESAK, Saudara Nuruddin Zanki selepas penyerahan memorandum tersebut pagi tadi.


Semalam, ketika lawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir ke bumi Mesir, pihak DESAK telah berusaha untuk menyerahkan memorandum tersebut. Namun, beliau menyatakan bahawa beliau tidak berautoriti untuk menerima memorandum tersebut, dan meminta supaya memorandum tersebut diserahkan sahaja kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).


Pada hari ini, penyerahan tersebut berjaya dibuat, walaupun terdapat beberapa birokrasi.


"Saya berharap agar apa yang dijanjikan semalam, ditunaikan oleh pihak kedutaan" katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut.

Tahniah Atas Kebersamaan Kalian - Pengerusi Desak



21 JULAI - Pagi tadi, Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa telah berjaya diserahkan oleh Saudara Nuruddin Zanki, Pengerusi Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa kepada Pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).


Nuruddin menyatakan kepada media bahawa DESAK akan terus mempertahankan hak Mahasiswa di bumi Mesir, tanpa mengira ideologi, persatuan dan mana-mana individu.


"Saya telah menghubungi Presiden ISMA untuk bersama dengan DESAK. Mereka menyatakan sokongan mereka terhadap tindakan yang dilakukan oleh DESAK. Walaubagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk bersama.


Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan tahniah kepada Perubatan, SUARA, ABIM Mesir dan PMRAM kerana berganding bahu untuk mengembalikan hak mahasiswa.


Beliau berharap, agar semua mahasiswa dan persatuan dapat memberi sokongan sepenuhnya untuk mengembalikan hak mahasiswa yang ditindas oleh beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penyerahan Memorandum Di Pejabat Kedutaan



21 JULAI - Pagi tadi, para mahasiswa yang dipimpin oleh Gerakan Solidariti Pertahan Hak Mahasiswa (DESAK) telah bertemu dengan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), bagi menyerahkan memorandum "Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa".


Bersama-sama dalam penyerahan ini, Presiden PMRAM, Presiden ABIM Mesir, Presiden Perubatan, Yang Dipertua BKAN dan Pengerusi-pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa.


Rombongan penyerahan memorandum tiba di pejabat Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada jam 10 pagi. Namun, rombongan diminta supaya menghantar 5 orang wakil sahaja untuk penyerahan tersebut.


Setelah melakukan beberapa rundingan, akhirnya pihak kedutaan bersetuju untuk menghantar wakil mereka untuk bertemu dengan mahasiswa di perkarangan bangunan.


Pada jam 10.35 pagi, seorang pegawai Kedutaan, En. Abdul Latif, telah mewakili kedutaan untuk penerimaan memorandum tersebut.

Jamil Khir Enggan Menerima Memorandum Mahasiswa



20 JULAI - Rombongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir tiba di perkarangan Asrama Anak Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 9 pagi tadi, selepas mengadakan lawatan ke Pejabat UMNO Mesir.


Kemudian, anak-anak Melayu Wilayah Persekutuan telah mengadakan majlis ramah mesra. Setelah selesai program tersebut, pihak DESAK telah berusaha bertemu dengan beliau untuk menyerahkan memorandum.


Namun, memorandum tersebut tidak berjaya diserahkan. Ini kerana Dato Seri Jamil Khir enggan menerima memorandum tersebut. Beliau bersama rombongan, masuk ke dalam kenderaan rasmi, dan terus beredar meninggalkan para mahasiswa yang ingin menuntut hak mereka yang dicabul oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).


Kekesalan diluahkan oleh para mahasiswa dengan tindakan tidak profesional mereka. Ketika para mahasiswa ingin membuat penyerahan tersebut, beberapa orang pengawal bertindak kasar dan melakukan beberapa provokasi bagi menghalang penyerahan tersebut.


Namun, para mahasiswa tidak melakukan sebarang tindakbalas terhadap kekasaran tersebut. Ini kerana para mahasiswa telah dilarang oleh DESAK daripada bertindak kasar, atau melakukan sebarang provokasi.

Mahasiswa Kesal dengan tindakan Kasar



20 Julai - Para mahasiswa melahirkan rasa kesal dengan tindakan beberapa orang pengawal yang bertindak kasar terhadap mahasiswa ketika penyerahan Memorandum Bantahan Pencabulan Hak Mahasiswa, di hadapan Asrama Rumah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.


Para mahasiswa telah diberi taklimat supaya tidak melakukan apa-apa tindakan kasar dan provokasi, bagi menjaga keamanan dalam proses penyerahan memorandum tersebut.


Namun, setelah memorandum tersebut enggan diterima oleh Dato Seri Jamil Khir, berlaku beberapa tindakan kasar dan provokasi yang dilakukan oleh beberapa orang pengawal rombongan.


Para mahasiswa yang berada di sekitar lokasi tersebut juga tidak melakukan apa-apa tindak balas terhadap kekasaran tersebut.


Mereka menyatakan kekesalan terhadap tindakan ini, dan menganggap ia sebagai satu tindakan yang tidak profesional. Tindakan yang memalukan ini telah memberi tamparan yang buruk terhadap rombongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Jamil Khir.

Wednesday, July 20, 2011

KEBANGKITAN MAHASISWA MESIR BERMULA: KITA LAKAR SEJARAH UNTUK GENERASI AKAN DATANG


Solat hajat dan himpunan mahasiswa Mesir yang diadakan semalam bagi saya adalah ledakan bermulanya kebangkitan mahasiswa di Mesir. Pada pengamatan saya sejak bertahun-tahun di sini, itulah antara himpunan terbesar yang pernah dihadiri saya dan rakan-rakan lain. Ibarat pada satu jasad, dicubit paha kanan, paha kiri terasa, maka ribuan mahasiswa dan mahasiswi turun di dataran Kompleks Hayyul 'Asyir bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang ditindas dan diugut setelah menyertai himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai lalu. Isunya bukan yang ditindas itu ialah Presiden SUARA, bukan juga kerana PMRAM menyokong BERSIH, bukannya isu Ambiga itu kafir zimmi atau kafir harbi, bukannya isu politik kepartian yang sempit, tetapi isunya ialah penindasan dan penafian hak. Lebih dari itu isu kemanusiaan.

Selain beberapa pelajar kita dari negeri Terengganu dan Perak yang diugut oleh pegawai rumah negeri masing-masing selain Asrama Melayu Abbasiah (ARMA) yang akan dikeluarkan semuanya gara-gara menyertai BERSIH, seorang penuntut Darul Ifta saudara Firdaus Mazlan yang juga Presiden SUARA dikenakan tindakan dibuang dari tempat pengajian beliau.

Saya diminta oleh penganjur untuk mengimami solat hajat selepas solat maghrib. Ketika membacakan doa saya sudah tidak dapat menahan sebak. Mengenangkan nasib yang diterima orang yang mengaji agama. Rasanya kalau kami menuntut jurusan Muzik atau kesenian tentunya kami akan ditatang seperti minyak yang penuh. Sewaktu saya berada dalam Badan Pengurus PMRAM sebelum ini, banyak kali kita mendengar aduan mahasiswa yang ditindas. Rasanya telinga ini mendengar berkali-kali rungutan pelajar yang dipersenda. Bagi mereka orang mengaji agama ini tiada nilai sebab bila balik, apa sumbangan untuk memajukan negara? Sekadar jadi imam terawih dan baca qunut nazilah boleh lah.

Sebelum mengimami solat hajat, saya menyebut agar betapa perlunya membuang dari diri rasa buruk sangka dengan ALLAH. Apa jua yang kita doakan hendaklah baik sangka bahawa ALLAH pasti memakbulkan doa kita. Sekalipun ada orang akan memperli, solat hajat sebelum ini pun seakan-akan tiada kesan. Dah berapa kali solat hajat, lepas Kutub Sittah dulu pun solat hajat, macam tak de kesan pun??

Orang yang bertanya begini adalah orang yang tidak faham. Sementara orang yang berkata untuk mempersenda adalah orang yang jahil. Sedangkan Syeikh Soleh Jaafari mengajar anak-anak muridnya bahawa munajat seorang hamba kepada ALLAH adalah "rasa lazat dan manis" sekalipun kelak ALLAH tak sudi memustajabkan doa hambaNya. Akan tetapi ALLAH tidak pernah mungkir janji. Paling kurang, hati kita akan merasa lega sewaktu merayu dan merintih di hadapan ALLAH.

Saudara Firdaus Mazlan yang berucap kemudiannya menceritakan satu-persatu apa yang menimpa beliau. Dalam pendedahannya, ternya pihak kedutaan Malaysia terlibat secara langsung. Kata beliau, terdapat perjumpaan khas antara pihak Duta dengan Mufti Mesir bagi memastikan beliau tidak lagi dapat meneruskan pengajian. Akhirnya ketetapan dari Darul Ifta' dibuat dengan penyingkiran beliau.

Detik peristiwa yang berlaku di dataran Hayyul 'Asyir ini juga perlu dicatat dalam sejarah apabila dua pegawai kebajikan Rumah Anak Negeri iaitu Selangor dan Kelantan berada satu pentas dengan pimpinan PMRAM termasuk Presiden Perubatan dan ABIM. Apakah makna semua ini? Jika semuanya bersatu, maka sebenarnya memberi isyarat bahawa nusrah ALLAH sudah hampir. Lihatlah detik-detik hari terakhir Mubarak di kemuncak kekuasaan. Rakyat tidak kira agama, tua muda, kaya miskin, tentera, para ulamak semuanya bergandingan hanya selepas tiga kali Jumaat, Mubarak dijatuhkan oleh ALLAH.

Bagi saya jika mood mahasiswa Mesir ini bertahan, saya yakin nasib saudara dan rakan kita itu akan terbela insya ALLAH. Kebangkitan mahasiswa akan bermula. Jika rakyat Mesir telah berjaya melakar lembaran sejarah dalam negara mereka dengan tinta peluh dan darah mereka, kita hanya sekadar turun dan memerlukan sedikit masa,wang dan keringat, apalah sangat berbanding perjuangan kebangkitan rakyat Mesir dan Tunisia yang mengorbankan ribuan nyawa termasuk kebangkitan mahasiswa di Indonesia yang menumbangkan Soeharto tahun 1998 sebelum ini. Mari kita tulis sejarah untuk tatapan adik dan anak-anak kita agar mereka dapat manfaat dengan kelebihan ilmu yang ada di Mesir ini kelak.

Ya ALLAH, Tuhan yang menjatuhkan Mubarak, jatuhkanlah mereka yang memusuhi kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Mesir, berikan kebebasan bersuara kepada kami.

Ya ALLAH, Tuhan yang telah membersihkan Amnu Daulah dan polis Mesir, bersihkan pasukan polis di negara umat Islam.

Ya ALLAH, Tuhan yang membebaskan Kheirat Shatir Naib Mursyidul 'Am Ikhwan, Hasan Malek dan pemimpin Ikhwan yang lain, bebaskan mahasiswa dari cengkaman musuhMu..

Ya ALLAH, Tuhan yang memenjarakan Jamal dan 'Ala' Mubarak, penjarakan hati-hati musuh kami sehingga mereka buta mata hati.


Sumber:- Ustaz Malik

INI BARU LUBANG BERAPI DI DUNIA...NERAKA YANG SEBENAR MACAM MANA LA..

Saturday, July 16, 2011

KATA-KATA HIKMAH ORANG-ORANG SOLEH










A. SAYIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ


Khalifah ur Rasyidin yang pertama dan Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As Siddiq pernah meninggalkan pesan, katanya:

1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.

2. Kegelapan itu ada lima perkara dan penerangnya juga ada lima perkara iaitu:

a. Cinta dunia itu kegelapan dan penerangnya adalah taqwa.

b. Dosa itu kegelapan dan penerangnya adalah taubat.

c. Akhirat itu kegelapan, penerangnya adalahamal soleh.

d. Kubur itu kegelapan, penerangnya adalah kalimah ‘La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.’

e. Siratul Mustaqim itu kegelapan, penerangnya adalah yakin.

3. Sesungguhnya iblis itu berdiri di hadapanmu, nafsu di sebelah kananmu, dunia di belakangmu, anggota di sekelilingmu dan Allah juga bersamamu. Iblis yang dilaknat menyuruhmu meninggalkan agama. Nafsu menyuruhmu berbuat maksiat. Keinginan hawa nafsu menyerumu ke arah syahwat. Dunia menyeru supaya memilihnya daripada Akhirat. Anggotamu menyerumu berbuat dosa. Allah menyerumu ke Syurga dan keampunan-Nya. Siapa yang menyahut seruan iblis terkeluarlah agamanya. Siapa yang menyahut seruan nafsu terkeluar rohnya (roh kemanusiaan). Siapa yang menyahut seruan syahwat, terkeluar akalnya. Siapa yang menyahut seruan anggota, terkeluarlah Syurganya. Siapa yang menyahut seruan Allah, terkeluarlah kejahatannya dan memperolehi segala kebaikan.

4. Sayidina Abu Bakar berkata: Terdapat lapan perkara yang menjadi perhiasan kepada lapan perkara: – Menjaga perkara yang haram, perhiasan kepada fakir. – Syukur perhiasan kepada nikmat – Sabar perhiasan kepada bala.– Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan. – Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu. – Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap.– Meninggalkan riyak perhiasan kepada kebaikan. – Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.

5. Sesungguhnya hamba itu apabila datang ujub dengan sesuatu dari perhiasan dunia nescaya Allah memurkainyahingga dia menceraikan perhiasan itu.

6. Moga-moga aku jadi pokok kayu dicantas kemudian dimakan.

7. Dia berkata kepada para Sahabat: Sesungguhnya aku telah mengendalikan urusan kamu, tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di kalangan kamu maka tolonglah aku, kalau aku berlaku lurus maka ikutilah aku tetapi kalau aku menyeleweng betulkan aku.


B. SAYIDINA UMAR AL KHATTAB

1. Khalifah kedua, Sayidina Umar berpesan:

– Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah.
– Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk.

– Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah.

– Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka.

– Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan.

– Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan.

– Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.

– Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.


2. Jika tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan kamu membawa seekor kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti ini.

3. Siapa takut kepada Allah SWT, nescaya marahnya tidakdapat dilihat. Dan siapa takutkan Allah, kehendaknya akan ditunaikan.

4. Wahai Tuhan, jangan Engkau jadikan kebinasaan umat Muhammad SAW di tanganku.

5. Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu Musa Al Asyaari: “Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”









C. SAYIDINA USMAN IBNU AFFAN R.A.

Mari kita lihat pula kata-kata hikmah daripada khalifah ketiga, Sayidina Usman Ibnu Affan r.a. Di antaranya:

1. Aku mendapat kemanisan ibadah dalam empat perkara:

a. Sewaktu menunaikan apa yang difardhukan Allah.

b. Meninggalkan apa-apa yang Allah haramkan.

c. Ketika menyeru kepada kebaikan.

d. Ketika mencegah kemungkaran dan menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah.

2. Katanya lagi: Empat perkara yang pada zahirnya fadhilat dan pada batinnya wajib:


a. Bergaul dengan orang soleh itu fadhilat, mengikut amalan mereka itu wajib.

b. Membaca Al Quran itu fadhilat, beramal dengannya itu wajib.
c. Menziarahi kubur itu fadhilat, bersedia untuknya itu wajib.
d. Menziarahi orang sakit itu fadhilat, menunaikan wasiat itu wajib.


3. Pesanannya: Antara tanda-tanda ‘arifin itu ialah:

a. Hatinya berserta takut dan harap.

b. Lidahnya bertahmid dan memuji Allah.

c. Matanya berserta malu melihat perkara yang dilarang dan banyak menangis. d. Kehendaknya bersih dari cinta dunia dan bertujuan menuntut keredhaan Allah.


D. SAYIDINA ALI ABU TALIB K.W.

Khalifah keempat, Sayidina Ali k.w. berkata:

1. Ilmu itu sebaik-baik pusaka. Adab itu sebaik-baik sifat. Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.
2. Siapa yang tinggalkan dunia, dikasihi oleh Allah. Siapa yang tinggalkan dosa, dikasihi oleh malaikat. Siapa tinggalkan tamak, dikasihi oleh orang-orang Islam.

3. Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah, sunnah Rasul dan sunnah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya. Ditanya orang pada Sayidina Ali k.w., “Apakah sunnah Allah?” Sayidina Ali menjawab, “Menyembunyikan rahsia (misalnya menutup aib orang lain).” Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah Rasulullah?” ayidina Ali berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.” Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah wali-Nya?” Sayidina Ali menjawab, “(Sabar dalam) menanggung penderitaan.”

4. Susah sekali melakukan kebaikan pada empat tempat: – Memberi maaf ketika marah.– Bersedekah ketika kesempitan.– Menjauhi perkara haram ketika seorang diri. – Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong.

5. Memadai aku merasa mulia bahawa Engkau Tuhan bagiku dan memadailah aku merasa bangga bahawa aku menjadi hamba-Mu. Engkau yang aku cintai maka berilah aku taufik (agar dapat melakukan perkara-perkara yang Engkau cintai).

6. Hendaklah kamu lebih mengambil berat bagi diterima amalamal kamu daripada beramal. Sesungguhnya sangat besar nilainya amalan yang disertai taqwa dan betapa lagi kalau amalan itu diterima.

7. Janganlah mengharap seorang hamba itu melainkan Tuhannya dan janganlah dia takut melainkan dosanya.

8. Tiada kebaikan ibadah tanpa ilmu dan tiada kebaikan ilmu tanpa faham dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tiada perhatian.

9. Dasar kekafiran itu dikelilingi oleh empat tiang iaitu kasar hati, buta fikiran, lalai dan prasangka.
10. Orang berhati kasar akan menghina kebenaran, menunjukkan kejahatan dan mengutuk orang-orang pandai.

11. Buta hati akan lupa zikrullah.

12. Orang yang syak wasangka akan tertipu oleh angan-angan. Sampai masanya dia ditimpa kecewa dan sesal tidak berhujung kerana diperlihatkan Allah hal-hal yang selama ini tidak dikiranya.

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO