Friday, July 8, 2011

Kelantan Juara Baru Liga Super

KELANTAN membuktikan mereka jaguh sebenar saingan Liga Super apabila berjaya menjadi pasukan keenam menjulang piala berprestij tanah air itu selepas menumbangkan Sabah 2-0 di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Dua gol jaringan Norshahrul Idlan Talaha sudah cukup untuk meletakkan The Red Warriors dalam kelasnya tersendiri selepas mengutip 56 mata daripada 26 perlawanan dengan melakar 17 kemenangan, lima seri dan empat kekalahan.

Biarpun gagal menjulang Piala FA (Jun lalu), piala Liga Super ini merupakan buah tangan kedua Datuk M. Karathu untuk seluruh penyokong bola sepak Kelantan selepas Piala Sumbangsih.

Bagi Karathu, kejayaan itu cukup bermakna untuknya serta seluruh pasukan ketika mereka kini akan mempersiapkan pasukan untuk mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

“Ia sesuatu yang baik selepas kita gagal mendakap Piala FA, kita akhirnya berjaya membawa pulang piala Liga Super. Saya fikir ia motivasi yang baik untuk para pemain kita mengharungi kempen Piala Malaysia nanti.

“Bagi saya ini juga hadiah cukup bermakna buat seluruh rakyat Kelantan, terutama penyokong The Red Warriors yang sentiasa bersama pasukan,” katanya.

Tambahnya, perlawanan menentang Sabah baru-baru cukup penting ketika dua lagi pasukan, Selangor dan Terengganu turut mengintai peluang.

Jelasnya, memenangi perlawanan di tempat lawan bukan suatu yang mudah, namun semangat dan kekuatan yang ada pada pemainnya untuk menjulang gelaran juara itu cukup kuat untuk mereka membenam Sabah.

“Ia suatu perlawanan yang sengit. Sabah sebuah pasukan yang baik, teruta- manya ketika mereka mendapat sokongan daripada peminat sendiri. Saya fikir gol pertama jaringan Norshahrul Idlan Talaha ‘membunuh’ sedikit harapan mereka dan membakar semangat pemain kita.

“Selepas menjaringkan gol pertama, Sabah banyak melakukan serangan sebab itu saya rasa kita perlu memasukkan pemain yang boleh bertahan dan kita keluarkan Mohd. Izwan Solahuddin dan masukkan Aziz Ismail,” ujarnya

Bagaimanapun, pada penghujung permainan, barisan pertahanan Kelantan agak leka sehingga dihukum oleh Sabah yang menjaringkan gol untuk merapatkan jurang selain menambah semangat untuk mereka mencari lebih gol.

“Kita bertahan dengan cukup baik, sebab itu kalau anda tengok, kadang-kadang ada sembilan pemain kita berada di bawah dan mereka boleh melakukan serangan pantas dan ia berkesan selepas kita berjaya mendapat gol kedua.

“Pada penghujung permainan kita agak leka sehingga Sabah berjaya dapatkan satu gol. Selepas itu para pemain mula mengatur kedudukan dan kita berjaya menyekat Sabah daripada terus mendapatkan gol penyamaan,” jelasnya.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO