Wednesday, August 24, 2011

Semakin Ramai Artis Malaysia Kembali Ke Pangkal Jalan

Mari berkongsi tentang selebriti yang behijrah ke arah yang lebih baik. Setakat ini saya agak mengkagumi Wardina Safiyyah OfficialPage. Ada lagi yang ingin berkongsi?


hidayah

Sham Kamikaze adalah nama pertama yang ngin dikongsi. Sebenarnya ramai yang mengetahui mengenai Sham Kamikaze ini.

Nama kedua yang dikongsi adalah Rahmat Ekamatra yang terkenal dengan lagu jiwangnya Pusara di Lebuhraya dan seangkatan dengannya. Kalau kita dengar lagunya dulu. Pergh… memang tangkap lentok. Tapi kini akhirnya dia telah terlentok dan terleleh dek simbahan hidayah dari Allah swt.

Seterusnya manusia yang tersimbah hidayah Allah adalah sekumpulan anak muda yang dulunya membawa muzik Pop R&B kini berubah angin dan membentuk Kumpuan Al Mawlid. Dianggotai oleh Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Abdullah Ahmad (Lah VE), Zafri Nazarudin (Zaf VE), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge), Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj Innuendo) dan Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode Ruffedge) telah dipertemukan ketika menghadiri kuliah agama di Surau Al Hidayah di AU3 Keramat lantas membentuk kumpulan berbentuk dakwah ini.

hidayah

Bob Lokman seorang yang berbakat besar dalam bidang seni. Tidak perlu kot saya nak menghuraikan kisah komposer lagu Isabella ni. Dah banyak dah diceritakan oleh blogger lain malah beliau sendiri telah menceritakan kisahnya di blog beliau sendiri.


hidayah

Memori Daun Pisang. Lagu dangdut yang ngetop zaman saya kecil dulu. Namun kini penyanyinya iaitu Iwan Syahman (Iwan Dangdut) telah juga disimbah hidayah Allah. Alhamdulillah beliau kini telah berusaha untuk berdakwah melalui bidang suara. Lagunya yang berjudul Segalanya Allah juga kini semakin kerap di putarkan di radio IKIM.

hidayah

Shahir AF8 juga dengar khabarnya memilih untuk bersara awal dari bidang hiburan. Dengarnya ingin terjun ke dakwah. Dulu sebelum menyertai AF, dia dah menyertai group nasyid Saujana. Jika benar bermakna ini adalah satu khabar yang menarik! Alhamdulillah bekas pelajar SMKA Slim River telah memilih jalan yang sepatutnya.

Seterusnya bekas kekasih Nabil si Raja Lawak cik Irma Hasmie.

hidayah<

Setrusnya Catriona Ross. Kisah penghijrahannya amat mudah dan mengusik hati. Bila sudah tiba hidayah Allah. Butik tudung pun boleh menjadi saksi penghijrahan seorang artis ini.

hidayah

Last but not least, antara yang saya paling kagumi adalah Wardina. Artis yang saya kenali dan aku rasa semua orang turut sama mula mengenalinya adalah ketika beliau membintangi siri Spanar Jaya satu ketika dahulu. Perubahan yang ibarat janjang arithmetic yang semakin menokok ke arah kebaikan.

hidayah

Mungkin bermula dengan memakai tudung sahaja namun kini beliau boleh dikatakan ikon ibu kepada sebuah keluarga yang bahagia. Cabaran yang dihadapinya kini bukan sedikit selepas isu beliau memberi ceramah tentang kekeluargaan di atas pentas yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Kelantan. Hinggakan tiada lagi kelibat beliau di rancangan MHI!! Semoga beliau kuat menghadapi ujian yang penuh hikmah ini.

Saya rasa cukup sekadar itu perkongsian dari saya tentang sebilangan selebriti di luar sana yang semakin ramai yang memilih untuk berubah.

Thursday, August 4, 2011

Eksklusif : Temubual Bersama Ustaz Nasrudin Tantawi Berkaitan Isu Mahasiswa


4 OGOS - Satu sidang pertemuan dengan Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi berikutan isu mahasiswa Mesir. Beliau tiba di Mesir pada 3 Ogos lalu turut menyatakan kekesalan terhadap pencabulan hak mahasiswa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Khairi Jalalluddin antara individu yang paling bermasalah dan mencetuskan kucar kacir dikalangan mahasiswa Mesir. Tugasnya sebagai Pegawai Atase Pendidikan tidak disempurnakan dengan baik.

Sebaliknya bertindak sebagai gengster yang mencari gaduh dengan mahasiswa dan mahasiswi. Tindakannya tidak matang, langsung tidak menggambarkan beliau seorang pegawai kerajaan yang berdedikasi. Sungguh memalukan negara", katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa Khairi Jalalluddin menconteng arang di muka Perdana Menteri yang lantang bersuara mahu rakyat dibela dan diutamakan.

"Malangnya Khairy telah bertindak memusuhi mahasiswa semata-mata kerana perbedaan pemikiran dan ideologi. Pemikirannya masih diserkap kekolotan yang melampau sedangkan beliau adalah pegawai kerajaan. Sungguh memalukan", katanya lagi.

"Tugas pegawai pendidikan diutus ke sesebuah negara seperti Mesir adalah untuk membantu proses peningkatan penguasaan ilmu mahasiswa. Malangnya Khairi Jalalluddin merosakkan segalanya. Membunuh masa depan mahasiswa semata-mata mahu memuaskan nafsu politiknya yang kotor. Tidak profesional. Bergaduh dengan mahasiswa seperti kanak-kanak nakal. Beginikah pegawai harapan kerajaan? sungguh menyedihkan", katanya lagi.

"Saya merayu kepada kerajaan Malaysia agar Khairi Jalalluddin segera dihantar pulang untuk menjalani proses siasatan terhadap tindakannya yang menyusahkan mahasiswa. Lagi lama beliau berada di Mesir lagi rosak nama baik kerajaan Malaysia di mata mahasiswa. Khairi perlu jalani terapi akhlak dan minda agar kembali dewasa dan rasional dalam tindakan", katanya lagi.

Beliau berapa agar Allah memberikan petunjuk dan hidayahNya kepada pengacau dan penganggu keceriaan mahasiswa menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

"Santunilah mahasiswa dengan baik dan bimbing mereka menuju kecemerlangan bukan bergelut dengan mereka dan merosakkan masa depan mereka", katanya lagi.

Malam semalam, beliau telah dijemput untuk menyampaikan ceramah anjuran Pejabat HEP Kelantan.

"Saya telah menyampaikan apa yang wajar dan selayaknya untuk mempertahankan Mahasiswa Mesir yang ditindas disamping menjelaskan isu yang berlaku. Saya mengharapkan kebangkitan mahasiswa agar tidak lagi merelakan diri diperkotak katik oleh manusia yang tiada etika dan disiplin diri sebagai penjawat awam seperti Khairy Jalaludin di Mesir. Mahasiswa/i bukan tikus makmal untuk dipersenda dan dipermainkan", katanya ketika ditemui selepas ceramah tersebut.

Isu Mahasiswa : Pertemuan ILMAM dan PMRAM

4 OGOS - Berhubung isu mahasiswa yang meletus ekoran pembuangan Saudara Firdaus Mazlan dari institusi pengajian Dar Ifta', satu pertemuan tertutup telah diadakan antara wakil PMRAM dengan wakil ILMAM yang datang ke Mesir.

Pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan langkah penyelesaian yang perlu diambil selepas mana isu pembuangan Saudara Firdaus Mazlan khususnya masih belum selesai.

Wakil ILMAM, Saudara Fauzan Mazlan telah datang ke pejabat PMRAM selepas mengadakan perjumpaan dengan Dato Duta Fakhrudin dan Pengarah EM, Dr Suaidi di pejabat Kedutaan semalam (3 Ogos).

Dalam pertemuan PMRAM dan ILMAM, PMRAM diwakili sendiri oleh Presiden PMRAM, Saudara Muhamad Zuhaili Saiman. Beliau juga telah pergi menemui pihak kedutaan sebanyak 2 kali pada 28 Julai dan 31 Ogos bagi membincangkan isu mahasiswa yang berlaku.

Hasil pertemuan tersebut, PMRAM dan ILMAM telah bersepakat untuk samas-sama mengambil tindakan yang profesional bagi menyelesaikan keadaan yang berlaku.

Selain itu, PMRAM akan menyusun satu pertemuan di antara mahasiswa-mahasiswa yang terlibat dengan pihak kedutaan khusus membincangkan isu ini.

"Kita berharap agar pertemuan yang bakal diadakan nanti akan memberikan keputusan yang terbaik kepada semua pihak samada pihak mahasiswa atau kedutaan," jelas Presiden PMRAM ketika ditanya mengenai hasil keputusan pertemuan tertutup bersama wakil ILMAM.

Di akhir pertemuan tersebut, PMRAM mengucapkan terima kasih kepada wakil ILMAM yang hadir ke Mesir atas kesanggupan untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh mahasiswa Mesir.

Wednesday, August 3, 2011

Isu Mahasiswa : Ketua Pemuda PAS Berkunjung Ke Mesir


Nasruddin dan Zamri di KLIA sebelum berlepas ke Mesir

4 OGOS - Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan bersama peguam berlepas ke Mesir bagi menyiasat sendiri kejadian beberapa pelajar Malaysia di buang universiti di sana ekoran menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 9 Julai lalu di sana.

Nasruddin ditemani peguam Mohd Zamri yang juga merupakan Ketua Jabatan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Pusat untuk mengkaji sendiri kes itu.

Sebelum ini, dilaporkan dua penuntut Malaysia dipecat dari universiti Al Azhar kononnya kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Kaherah pada 9 Julai lalu.

Namun ramai yang musykil bagaimana universiti Al Azhar boleh membuat tindakan itu sedangkan ratusan ribu lagi rakyat Mesir yang berdemostrasi sehingga menjatuhkan regim Husni Mubarak tetapi tidak diambil tindakan oleh universiti Mesir.

Ekoran itu, ramai yang membuat dakwaan ia berlaku ekoran dari tekanan pihak berkuasa Malaysia melalui kedutaan besarnya di Kaherah.

Ramai pelajar Malaysia yang pulang ke tanah air mula membuat kempen bantahan dengan menganjurkan solat hajat di surau dan masjid yang mereka dijemput untuk menjadi imam solat Terawihnya.

Bagi Nasrudin, Umno menjadikan seluruh agensi-agensi kerajaan yang dibayar gajinya oleh rakyat sebagai 'trooper' Umno dalam merealisasikan amalan demokrasi sempit mereka.

Nasruddin berkata, antara buktinya adalah apabila Umno menggunakan kedutaan dan jabatan penuntut Malaysia di Mesir untuk menyekat serta menghalang kebangkitan pelajar di sana.

Mereka dikenakan tindakan seperti dilucutkan dari pembelajaran serta disenarahitamkan dari segala urusan berkaitan dengan kedutaan hanya kerana menyertai sesuatu aktiviti yang tidak disenangi Umno.

Antara tidakan yang dikenakan adalah dipecat dari universiti, dibuang asrama, disenaraihitamkan oleh kedutaan.

Antara kesalahan mereka hanya kerana menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 di seluruh penempatan rakyat Malaysia di Mesir 9 Julai lalu.

Mereka yang dikenakan tindakan ini tiada hitam putih dan hanya mendapat arahan mulut sahaja pihak universiti.

Sehubungan dengan itu, pihak Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak Kerajaan Malaysia menyelesaikan isu ini sebelum rakyat bangkit khususnya penuntut-penuntut agama dan agamawan di seluruh tanah air.

"Pemuda PAS akan menggerakkan seluruh ulama-ulama, muda dan tua, serta penuntut ilmu di seluruh tanah air untuk mendesak kerajaan sekiranya mereka masih berdegil untuk tidak menyelesaikan isu ini. Isu ini juga jelas apabila ada dikalangan pegawai yang bertugas di kedutaan Malaysia di Kaherah merancang dan berniat jahat melalui perbincangan laman sosialnya yang telah digodam oleh individu yang tidak dikenali,"ujar Nasaruddin.

Nasruddin juga turut membidas kenyataan beberapa pimpinan kerajaan Malaysia mengenai dengan kerukunan dan keselesaan rakyat kepada kerajaan semasa.

"Dalam kerajaan membawa imej 1 Malaysia, transformasi politik berlaku, juga mengatakan rakyat sudah kembali kepada Umno dan BN, tapi apabila Bersih 2.0 diadakan, ianya jelas mengambarkan kehadiran rakyat pelbagai kaum yang ramai benar-benar menolak kerajaan serta menyangkal rakyat selesa dengan kerajaan yang memerintah sekarang ini,"kata Nasruddin.

Isu Salah Laku Pegawai, PMRAM Kesal


KAHERAH, 4 Ogos - Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) memandang serius terhadap pendedahan dokumen rahsia di laman sosial Facebook serta email seorang Pegawai Atase di Education Malaysia.

Pendedahan ini telah membuktikan satu persatu perancangan dan gerak kerja pihak tertentu yang bersifat mainan politik kepartian ketika bertugas sebagai kakitangan kerajaan di Mesir.

PMRAM dengan tegas memandang isu ini sebagai isu salah laku dari sudut etika kerja penjawat awam dan kakitangan kerajaan yang mesti diambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga nama baik negara.

Secara asas, pendedahan tersebut menunjukkan bahawa salah laku pegawai dalam menggunakan jawatan pegawai iaitu kakitangan kerajaan yang disandang sebagai kuasa perhubungan politik kepartian.

Kedua, pertuduhan yang telah dibuat tanpa bukti yang kukuh adalah bertujuan menjatuhkan imej sesetengah pihak samada melibatkan mahasiswa mahasiswi atau kakitangan kerajaan yang lain.

Ketiga, membuat tuduhan dan menamakan pegawai-pegawai tertentu termasuk kakitangan kedutaan dan pegawai-pegawai negeri atas laporan mereka tidak mesra UMNO dan perlu dihantar pulang, sekaligus menjatuhkan kredibiliti dan persepsi negatif terhadap mereka.

Keempat, mempertikai perlantikan jawatan TYT Duta yang dilantik oleh KDYMM Yang Dipertuan Agong, telah dilaporkan bahawa penelitian terhadap pelantikan Duta mesti dibuat bagi memperjuangkan dasar-dasar kerajaan dan UMNO. Ini jelas bertentangan dasar perlantikan Duta oleh DYMM YDP Agong.

Justeru, PMRAM merasa kesal terhadap isu salah laku pegawai ini kerana selaku kakitangan kerajaan yang dihantar dan diamanahkan sepatutnya menjalankan misi kerajaan iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Namun, ia jelas bersalahan dengan misi kerajaan dengan membawa agenda politik kepartian dan memalukan imej sebagai kakitangan kerajaan dalam menjaga kebajikan mahasiswa/wi di Mesir.

Sumber : PMRAM.org

Cadangan Tarik Zakat Mahasiswa Terlibat BERSIH - En. Muhaimin


3 OGOS - Laman sosial "Kak Limah" sekali lagi digegarkan dengan pendedahan dokumen-dokumen yang dihantar oleh En. Abdul Muhaimin bin Abd Majid, Pegawai HEP Perak.

Dokumen-dokumen tersebut menyenaraikan seramai 27 orang yang disenaraihitamkan oleh beliau telah didedahkan. Begitu juga laporan beliau kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, mencadangkan supaya zakat mereka yang terlibat dengan BERSIH 2.0 disekat.

Tindakan En. Muhaimin ini agak keterlaluan kerana melibatkan institusi zakat negeri. Zakat merupakan hak Allah SWT yang perlu diagihkan mereka yang berhak menerimanya.

Namun, tindakan En. Muhaimin yang mempermainkan zakat jelas bertentangan dengan apa yang digariskan oleh Islam.

Selain itu, En. Muhaimin juga mencadangkan supaya mereka yang terlibat dengan BERSIH 2.0 dihalau daripada asrama dan dihantar pulang ke Malaysia.

Isu Mahasiswa : Kedutaan Bukan Wakil UMNO


3 OGOS - Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat kesal dengan sikap pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang gagal memainkan peranan untuk menjaga kebajikan pelajar di sana.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden kemelut pelajar Malaysia di Mesir yang menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab apabila menyertai himpunan aman Bersih di sana.

“Pihak kedutaan dilihat mewakili Umno dan bukannya rakyat Malaysia. Saya ingin mengingatkan pihak kedutaan dan kerajaan Malaysia bahawa pegawai yang dilantik untuk menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar di Mesir adalah lantikan kerajaan dan bukannya lantikan politik.

“Gaji mereka dibayar oleh seluruh rakyat Malaysia dan bukan Umno yang membayarnya,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, pegawai yang dilantik oleh kerajaan hendaklah beramanah dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan dan bukannya menjadi orang suruhan Umno.

“Takutlah doa orang yang dizalimi, di Terengganu kita telah mengadakan solat hajat agar kemelut pelajar kita di Mesir dapat diselesaikan segera,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu.

Mengulas kenyataan pimpinan Umno sejak kebelakangan ini yang mahukan semua komponen BN mendengar rintihan rakyat, katanya ia menunjukkan mereka amat terdesak.

Sehubungan itu, beliau meminta agar pemimpin Umno jangan bercakap bohong kepada rakyat.

Katanya, rakyat sekarang sudah pun tahu bagaimana mereka telah ditipu oleh Umno yang hanya meminta simpati rakyat apabila terdesak sahaja.

Selama ini, ujarnya segala kekayaan negara hanya diagihkan sesama kroni mereka sahaja, habis kekayaan rakyat hanya berkisar kepada individu tertentu sahaja yang mempunyai kepentingan dengan Umno.

“Dengan kekayaan yang dimiliki oleh negara kita , tak sepatutnya kita masih memiliki rakyat yang miskin dengan jumlah yang tak dapat diterima akal.

“Segala kekayaan di dunia boleh kita dapati di Malaysia, tapi amat malang sekali Umno tidak menggunakannya untuk rakyat tetapi sebaliknya mengeksploitasikannya untuk periuk nasi kroni Umno, ahli Umno di Malaysia pun tertindas,” ujar beliau lagi.

Beliau seterusnya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bangkit menentang kezaliman Umno dan sudah tiba masanya saat kejahatan Umno dikuburkan dalam PRU yang akan datang.

Kesal : En. Khairi Merancang Untuk Menyusahkan Urusan Pelajar


2 OGOS - Tindakan keterlaluan yang dirancang oleh En. Khairi, Pegawai Atase Akademik Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) menampakkan pelanggaran etika yang dilakukannya.

Beliau merancang bersama salah seorang pegawai HEP Melaka untuk menyusahkan urusan pelajar ketika berurusan dengan mereka.

Mereka merancang supaya mereka yang terlibat dengan BERSIH 2.0 akan ditahan terjemahan surat akuan pengajian mereka yang menjadi tanggungjawab JPMK.

Bahkan mereka turut merancang untuk membatalkan pengajian beberapa individu.

Di dalam sebuah pendedahan, En. Khairi mengakui sendiri bahawa beliau adalah perancang utama dalam membatalkan pengajian mahasiswa. Iaitu, dengan menghantar senarai nama mahasiswa yang terlibat dengan BERSIH 2.0 kepada pihak universiti.

Tindakan ini boleh menyebabkan beliau disaman.

En. Khairi Menghina Pemakaian Purdah


2 OGOS - Pemakaian purdah merupakan salah satu penjagaan adab yang diamalkan oleh mahasiswi di mana-mana negara.

Namun, pemakaian purdah ini telah disalahtafsirkan oleh En. Khairi Jalalluddin, Pegawai Atase Akademik, Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).

Laporan yang didedahkan mengatakan bahawa Khairi melaporkan bahawa pemakaian purdah ini merupakan salah satu bentuk jumud.

Jumud adalah sesuatu amalan yang ketinggalan zaman, ataupun bentuk pemikiran yang beku tidak berkembang.

En. Khairi Perlu Disaman


2 OGOS - Susulan daripada tindakan En. Khairi, pegawai Atase Jabatan Penuntut Malaysia membatalkan pengajian mahasiswa, membolehkan beliau disaman.

Bahkan, laporan dan pendedahan yang dilakukan oleh beliau juga membolehkan saman dijalankan ke atas beliau.

Terdapat beberapa dokumen yang menjelaskan penglibatannya dalam isu pembuangan pelajar, mempolitikkan tugasannya dan sebagainya.

Selain itu, pihak kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia yang juga terlibat dalam pembuangan pelajar juga boleh disaman. Ini kerana tindakan mereka menyalahi etika sebagai kakitangan kerajaan.

Pembuangan atau pembatalan pengajian bukanlah perkara yang boleh dipermainkan begitu mudah. Tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh pihak terbabit haruslah diajar dengan saman.

En. Khairi Terlibat Dalam Pembuangan Pelajar


2 OGOS - Satu pendedahan yang dibuat di dalam Laman Sosial mendedahkan penglibatan En. Khairi dalam pembuangan pelajar.

Beliau merupakan seorang pegawai Atase Pendidikan telah melakukan beberapa usaha untuk membatalkan pengajian mahasiswa, antaranya Saudara Mohd Firdaus bin Mazlan.

Firdaus dibatalkan pengajiannya ketika dalam tempoh peperiksaan, dan beliau bakal menyertai Konvo Darul Ifta. Namun, disebabkan tindakan daripada Kedutaan dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK), terutamanya En. Khairi sendiri menyebabkan pengajiannya dibatalkan.

Tindakan membatalkan pengajian merupakan satu tindakan yang drastik yang jelas menyalahi etika dan undang-undang.

Beliau sebagai seorang pegawai Atase Akademik, Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) tidak seharusnya berbuat demikian.

Firdaus pernah menyarankan agar En. Khairi disiasat, berikutan beberapa konspirasi yang dirancang oleh beliau.

Isu Mahasiswa : Wakil ILMAM Pusat Tiba Di Mesir


31 JULAI - Berikutan isu pencabulan hak mahasiswa, pihak Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir telah menghantar wakilnya, Saudara Mohd Fauzan bin Mazlan.

Beliau merupakan Bendahari Kehormat ILMAM Pusat, yang tiba semalam pada jam 4 petang di Lapangan Terbang Kaherah.

Tujuan kehadiran beliau di bumi Mesir, bagi membincangkan isu pencabulan hak mahasiswa yang sedang melanda di sini.

Antara pencabulan hak mahasiswa yang sedang berlaku ialah pembatalan pengajian, penarikan semula pinjaman, halau dari asrama dan sebagainya.

Tindakan-tindakan mencabul hak mahasiswa ini dilakukan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).

Selain itu, difahamkan Fauzan akan turun ke beberapa buah tempat dan mengadakan beberapa pertemuan bagi membincangkan tentang isu ini.

Isu Khairi : Kelab 1 Malaysia Agenda Politik UMNO


31 JULAI - En. Khairi Jalalluddin, Pegawai Atase Jabatan Penuntut Malaysia telah dianggap sebagai liabiliti kepada JPMK dan pihak Kedutaan.

Segala perancangannya untuk mempolitikkan mahasiswa di Mesir tersebar secara meluas di dalam laman sosial.

Antara yang didedahkan berkenaan usaha beliau dalam penubuhan Kelab 1 Malaysia. Iaitu cuba menyebarkan pemikiran politik dalam pemikiran mahasiswa.

Berdasarkan apa yang didedahkan juga, Kelab 1 Malaysia bukanlah agenda kemasyarakatan. Sebaliknya ia merupakan agenda politik yang cuba diserapkan dalam pemikiran mahasiswa Mesir.

En. Khairi sepatutnya diambil tindakan oleh pihak kerajaan Malaysia bagi menjaga profesionalisme kakitangan kerajaan dalam tugasan mereka.

Krisis Dalaman Pegawai JPMK dan Kelab UMNO Kaherah


30 JULAI - Mahasiswa Mesir dikejutkan dengan satu pendedahan tentang laporan yang dibuat oleh En. Khairi Jalalluddin, Pegawai Atase Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK) setebal 6 muka surat.

Laporan yang bertarikh 11 April 2010 itu mengaitkan Saudara Faizal Sabhon dalam beberapa kes. En. Khairi melaporkan bahawa beliau (Faizal) pernah dengan beberapa kes moral.

Selain itu, beliau (Faizal) juga dilaporkan menyebarkan fitnah kepada pegawai Terengganu, Pegawai MARA dan Pegawai Pahang dan menganggu Kelab UMNO Kaherah.

Isu panas ini secara tidak langsungnya mendedahkan krisis dalaman yang terdapat di dalam Kelab UMNO Kaherah dan Jabatan Penuntut Malaysia (JPMK).

Monday, August 1, 2011

SPRM sahkan Bazar Tok Guru bebas rasuah

KOTA BHARU, 1 Ogos: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan mengesahkan tiada unsur rasuah dalam isu Bazar Tok Guru selain tidak menerima laporan rasuah daripada mana-mana pihak mengenai isu Ladang Rakyat.

Pengarahnya, Nasaruddin Mohd Noor seperti dilapor Sinar Harian berkata, pihaknya menjalankan siasatan rapi dan telus terhadap kes terbabit dan menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa SPRM tidak melakukan siasatan.

“Saya ingin ulangi kenyataan sebelum ini bahawa tiada elemen korupsi dalam isu Bazar Tok Guru dan kami menyangkal tidak buat kerja berhubung kes ini. Jika ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa kami masuk, tapi setakat ini tidak terima (laporan berasas mengenainya)," katanya pada sidang media di Bangunan SPRM, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini.

Sebelum ini ada pihak termasuk Umno Kelantan mempolitikkan isu Bazar Tok Guru dengan mendakwa kerajaan negeri kerugian RM50 juta untuk projek itu.

Mereka juga telah membuat laporan kepada SPRM agar kes itu disiasat.

“Mengenai isu Ladang Rakyat pula, setakat ini tiada mana-mana pihak yang membuat laporan mengenainya, tetapi kami menjalankan siasatan berdasarkan laporan dalam media dan pemantauan masih dilakukan,” katanya lagi.

Katanya lagi daripada 174 maklumat yang diterima berhubung kes rasuah di negeri itu, hanya 17 kertas dibuka untuk siasatan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Pengerusi Orang Muda Berpadu Anti Korupsi Kelantan (Ombak) yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, bahawa terdapat pegawai SPRM Kelantan lebih berpihak kepada PAS.

Terdahulu beliau menyerahkan tugas kepada Pengarah SPRM negeri yang baru, Nor Rasmi Shari, disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Putrajaya, Datuk Sutinah Sutan.

Nasaruddin juga menolak dakwaan pertukarannya ke ibu pejabat SPRM Putrajaya sebagai Pengarah Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme disebabkan tekanan pihak tertentu.

Jenazah Fatin Fasihah Selamat Dikebumikan

31 Julai 2011, Kaherah: Seorang mahasiswi Melaka yang menghidapi penyakit SLE (Systemic Lopus Erythematous) telah disahkan meninggal dunia malam tadi di Hospital Kasr El-Ainy. Allahyarham Fatin Fasihah bt Hanafi menghembuskan nafas terakhir setelah koma sejak 11 Julai yang lalu akibat pendarahan dalam otak dan serangan jantung. Walaubagaimana pun, makluman mengenai pemergian arwah hanya dapat diketahui petang tadi ketika ayah arwah, En. Hanafi b Muhammad, dan beberapa orang rakannya datang ke hospital pada waktu lawatan. Hospital memaklumkan bahawa kelewatan tersebut berlaku kerana pihak hospital gagal menghubungi pihak yang berwajib.
Jenazah telah disolatkan di Dewan Malaysia Abasiah Kaherah (DMAK) (Asrama Rumah Melayu Abasiah- ARMA) selepas solat terawih dan dikebumikan di perkuburan warga Malaysia di Hayyu Asyir. Pengkebumian jenazah selesai lebih kurang jam 10.30 malam tadi.


Gambar: Jenazah selamat disolatkan dan akan dihantar ke Perkuburan Warga Malaysia di Hayyu Asyir
Rakan-rakan arwah yang ditemui ketika solat jenazah menyifatkan arwah sebagai seorang yang sangat kuat dan luarbiasa menghadapi penyakit tersebut. Arwah kembali ke rahmatuLLAH selang sehari kepulangan ibunya, Pn. Zaleha bt Abd Rahim, serta adik bongsunya ke Malaysia pada 29 Julai lalu.
Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang soleh. Al-Fatihah.

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO