Saturday, July 31, 2010

Juara Imam Muda



MUHAMMAD ASYRAF (kiri) dinobatkan sebagai juara Imam Muda oleh Hassan pada malam kemuncak program realiti dakwah di Kuala Lumpur malam tadi.


KUALA LUMPUR - Menepati ramalan, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan, 26, diumumkan sebagai juara pada malam kemuncak program realiti dakwah, Imam Muda yang berlangsung di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini semalam.

Anak kelahiran Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu berjaya menewaskan seorang lagi peserta akhir, Hizbur Rahman, 27, selepas bersaing selama 10 minggu termasuk dengan lapan individu lain pada program diilhamkan oleh Astro dengan kerjasama Jawi.

Kemenangan graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Usuluddin dan Fiqah dari Universiti Malaya itu membolehkan beliau menerima insentif berbentuk tawaran Imam Ratib secara kontrak di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan, trofi Imam Muda, sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf oleh Jawi.

Tidak ketinggalan, Asyraf membawa pulang hadiah melanjutkan pengajian tanpa had di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Mesir, sebuah Proton Exora, pakej mengerjakan haji dan umrah, percutian ke Bandung, Indonesia, wang tunai berjumlah RM20,000, iPhone 3G dan komputer riba Apple MacBook Pro.

Friday, July 30, 2010

Warna di Sebalik Waktu Solat

Pernah tak kamu dengar mengenai warna-warna alam dan solat? Seperti apa yang diberitahu oleh Ustaz Zahazan Mohamed dalam Laman Web nya Zahazan.net, “Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam“. Disini saya ceritakan secara ringkas mengenai warna alam dan solat untuk renungan saya dan sesiapa yang membacanya. Semoga ianya akan menambahkan lagi rasa syukur kita kerana telah dikurniakan dengan syariat solat dari Allah s.w.t, juga rasa syukur kerana telah diberi nikmat sebagai seorang muslim…


Subuh:
Pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi. Kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) – dalam erti kata lain jaga daripada tidur. Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.


Zuhur:
Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya.

Asar:
Warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu). Tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Maghrib:
Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Isyak:
Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Inilah kaitan antara warna alam dan solat yang saya ambil secara ringkas dari Laman Web Ustaz Zahazan. Kepada sesiapa yang nak membaca artikel sebenar, kamu bolehlah membacanya di Zahazan.net.

Saturday, July 3, 2010

Jaulah Matruh & Siwa

Alhamdulillah saya bersama lebih kurang 40 orang ahli rombongan dari Dewan Perwakilan Mahasiswa Shoubra, Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir dan Badan Kebajikan Anak wilayah Persekutuan Mesir telah selamat mengadakan Rehlah Matruh Siwa 2010 selama 3 hari 4 malam pada 27 hingga 30 Jun baru-baru ini. Yang mana antara objektif diadakan rehlah ini adalah untuk memdedahkan kepada ahli supaya mengambil pengajaran dan iktibar dengan kesan tinggalan sejarah umat-umat terdahulu disekitar kawasan Matruh dan Siwa.

Matruh & Siwa terletak di utara Mesir. Kedua kawasan ini mempunyai sejarah yang tersendiri. Matruh mempunyai pantai antara yang tercantik di dunia. Matruh juga mempunyai pantai di mana Cleopatra pernah bersiram dan mandi. Manakala Siwa merupakan kawasan oasis yang subur dikelilingi padang pasir. Kawasan subur ini mengandungi tasik dan hidup subur tamar dan buah zaiton di mana Siwa merupakan kawasan pengeluaran utama Mesir bagi kedua jenis buahan tadi. Siwa juga merupakan kawasan pemerintahan Cleopatra dan juga Alexander pernah datang ke sini kerana kecantikan Cleopatra.

Matruh merupakan sebuah pekan pantai, tempat ratu Cleopatra dan Mark Anthony suatu ketika dahulu mempunyai sebuah istana. Matruh atau nama asalnya Marsi Matruh terletak di barat laut Mesir. Jarak ke Matruh adalah 600 km dari kaherah, mengambil tempoh sembilan jam perjalanan. Perjalanan menuju ke Matruh ini dikelilingi padang pasir dan melalui kota Iskandariah dan Al-‘Alamin. Matruh juga merupakan pusat peranginan sederhana pada musim panas yang merupakan mercu tanda seekor kijang. Buah Thin dan anggur merupakan tanaman utama bagi Matruh.

Siwa dikenali dengan nama Jazira Malah (garam) kerana dikelilingi oleh lautan garam, 90 km dari paras laut. Juga dikenali sebagai Jazira Balah (buah kurma) kerana terdapat banyak pokok kurma. Jazira Fatmas juga adalah nama ketiga bagi Siwa kerana tanamannya yang subur. Jazira Fatmas ini telah dinamai oleh orang-orang barat. Dinamakan Jazir kerana terletak di tengah-tengah laut Jerman. Di sini terdapat kebun yang terletak di tasik garam. Di sini juga terdapat sebuah kolam mandi Cleopatra sedalam tujuh meter dan menjadi sumber air bagi kebun tersebut. Oasis Siwa dikelilingi padang pasir yang luas dan terletak di bahagian barat Qattara, di tengah-tengah Padang Pasir Libya dalam Negara Mesir. Jaraknya ke tenggara Matruh sekitar 300 km. Di Siwa terdapat kilang air mineral berjenama AQUA Siwa dan Safi. Pengeluar balah billuz, minyak zaitun, buah zaitun dan buah kurma yang terbesar di Mesir juga kota kedua di dunia pengeluar tamar dan zaitun. Masyarakat Siwa menggunakan bahasa Barbar (bahasa Libya) sebagai bahasa perantaraan di antara mereka juga merupakan antara golongan yang payah umtuk menerima Islam pada suatu masa dahulu. Tetapi apabila memeluk Islam mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada ajaran Islam.

Teluk Ajibah (Bahar Ajibah / Laut Ajaib)
-10 km dari Marsa matruh. Dinamakan Bahar Ajibah kerana keindahan pantainya yang menghijau dan membiru. Sesiapa yang melihatnya pasti berasa kagum kerana lautnya mempunyai tujuh warna berlapis apabila dilihat pada waktu menjelang senja.







Pantai Cleopatra (Bahar Cleopatra / Laut Cleopatra)
-7 km dari Marsa Matruh. Disini terdapat hamam Cleopatra (tempat mandi) dan juga tempat bersiram permaisuri Cleopatra. Belakang hamam Cleopatra adalah kawasan yang merbahaya kerana batunya yang licin, curam dan ombak yang begitu kuat. Juga terdapat kesan pahat di dinding hamam.










Pasar Libya (Suk Libya)
-Merupakan tempat membeli belah yang amat terkenal di Bandar Marsa Matruh. Disini terdapat pelbagai barang seperti makanan, pakaian, barang-barang hiasan dan barang-barang keperluan lain. Harga barangan disini juga berpatutan. Kebanyakan barang yang terdapat disini berasal dari nergara jiran iaitu Libya.

Kuil Amon- Tempat penyembahan Amon
-Di bawah tempat tersebut ada istana yang terkambus mengikut kajian yang berasal dari Jerman. Pengkajian masih lagi diteruskan sehingga hari ini. Hingga kini masyarakat Siwa sungguh pelik dan taajub bagaimana tiang-tiang yang besar boleh berada di situ dan tidak diketahui oleh sesiapa. Ada pendapat mengatakan bahawa ia dibina oleh ahli sihir Firaun.




Kolam Cleopatra
-Dinamakan demikian sempena kedatangan permaisuri Cleopatra. Setiap pengantin baru akan mandi di situ. Ini adalah suatu adat yang dilakukan oleh penduduk Siwa dahulu dan ada yang mengatakan ia masih kekal hingga kini. Kedalaman kolam ini lebih kurang 5m. Dikatakan kolam Cleopatra adalah sumber air yang utama di Siwa dan air kolam tidak pernah kering hingga sekarang.







Kota Lama Siwa
-Merupakan kota terawal penduduk Siwa. Dikatakan ia sebuah kota yang begitu besar kerana terletak di antara dua buah bukit. Dari atas kota lama Siwa boleh dilihat kubu Alexander The Great. Dari sini juga kita dapat lihat kesuburan tanah dan ladang-ladang yang terdapat di Siwa.






Jabal Mauta
-Merupakan tempat persembunyian penduduk zaman dahulu ketika berlaku peperangan dan juga tempat pengebumian jenazah. Di tempat tersebut juga terdapat kubur Sa’amoun & Oxyoris. Kesan-kesan tulang dan rangka-rangka dahulu masih lagi boleh dilihat. Terdapat juga tempat simpanan meriam-meriam Jerman sewaktu perang dunia ke-2. Pada dinding Jabal Mauta terdapat lukisan-lukisan yang menceritakan tentang kisah perkahwinan Cleopatra & Mark Anthony.

Semoga dengan program ini dapat meningkatkan kesedaran, keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T dan mendapat keredhaanNya, Insyaallah.

Friday, June 18, 2010

Akademi Du'at Melahirkan Graduan yang Berkepimpinan

peserta Akademi Duat 2010


HARI PERTAMA (15 JUN 2010)

Hayyu Sabiek - Bertempat di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan di Hayyu Sabiek, telah berlangsung satu program di bawah anjuran program induk Liqa’ Mahabbah 2010 (LIMA 10). Program Akademi Du`at yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 15 Jun 2010 dan berakhir pada 16 Jun 2010 disertai seramai 27 peserta daripada mahasiswa tahun satu DPM (MAQAZ) Shoubra.

Program Akademi Du`at dimulakan pada jam 8.30 pagi dengan ucapan perasmian oleh Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain, Naib Presiden III Persekutuan Republik Melayu Arab Mesir (PMRAM). Sebelum itu, majlis perasmian Akademi Du`at didahului dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, Mohammad `Afif bin Abd Karim. Seterusnya, ucapan Setiausaha Agung DPM (MAQAZ) Shoubra merangkap pengarah program Liqa’ Mahabbah 2010, Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki.


khusyuk mendengar taklimat


Meneruskan lagi perjalanan program, para peserta disajikan dengan pengisian 1 yang bertajuk Fiqh Aulawiyat oleh Ustaz Abdul Mui`zz bin Mohamad, mantan presiden PMRAM 2009. Sejurus selepas peserta menikmati sajian sarapan pagi, peserta didedahkan pula dengan pengisian seterusnya yang bertajuk Skema Kertas Kerja & Surat Program oleh Ustaz Ahmad `Afif Zuhdi bin Ahmad Zaki, Setiausaha Agung PMRAM cawangan Shoubra. Seterusnya, peserta dilatih untuk menyediakan kertas kerja program melalui Gerak Kerja Berkumpulan (GKB). Setiap kumpulan GKB dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Tadbir DPM (MAQAZ) Shoubra yang bertindak sebagai fasilitator.


bersama ahli kumpulan


Demi mencapai matlamat program untuk melahirkan para du`at yang disegani, peserta Akademi Du`at didedahkan dengan Seni Komunikasi Berkesan yang disampaikan oleh Ustaz Syeikh Muhd Mujahid bin Sikh Nawawi, Naib Setiausaha Agung PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Pendaftaran. Selepas selesai menunaikan solat zohor dan makan tengah hari, program diteruskan lagi dengan pengisian yang bertajuk Pengurusan Stress yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil, mantan YDP Keluarga Pelajar Islam Perak Mesir.

Perjalanan program diteruskan lagi dengan tayangan multimedia kemudian disambung dengan GKB yang seterusnya. Kali ini, para peserta dilatih oleh fasilitator cara untuk mengendalikan sesuatu majlis. Selesai GKB, majlis diteruskan dengan solat Asar secara berjemaah dan minum petang. Program ditangguhkan sekitar jam 4.45 petang.


sesi pembentangan



HARI KEDUA (16 JUN 2010)

Sebagai santapan awal, peserta disajikan dengan pengisian bertajuk Fiqh Dakwah oleh Ustaz Hairul Nizam bin Mat Hussain, mantan presiden PMRAM 2005/2006. Selesai pengisian mengenai Fiqh Dakwah, para peserta didedahkan dengan Pengurusan & Pengendalian Mesyuarat serta Minit Mesyuarat yang disampaikan oleh Dr. Muhammad Yazid bin Hanzir, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir.

Program bersambung dengan pengisian Etika dan Protokol Majlis yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahid bin Abu Bakar, Timbalan Setiausaha Agung PMRAM 2010. Selesai menjamu selera dengan hidangan sarapan pagi, para peserta dilatih untuk mengendali mesyuarat melalui GKB. Peserta kemudian menikmati jamuan tengah hari serta solat zohor.


pengacara majlis perasmian penutup


Sekitar 2.30 petang, program diteruskan dengan talkshow “Warna-warni Dunia Kepimpinan” yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Azlan bin Haji Alias, Naib Presiden II PMRAM 2010 dan Ustazah Siti Anisah binti Ahmad, mantan ketua HEWI PMRAM 2009. Selesai talkshow, peserta didedahkan secara praktikal mengenai pembentangan kertas kerja melalui GKB. Program diteruskan dengan solat Asar berjemaah dan seterusnya para peserta menikmati hidangan minum petang.

Sekitar jam 5.00 petang, majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ustaz Muhamad Zuhaili bin Saiman, Timbalan Presiden PMRAM 2010 merangkap Ketua Lajnah Perancang dan Panitia. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi sebagai tanda penghargaan di atas kesudian beliau untuk menjayakan program.


pengacara majlis perasmian penutup


Program Akademi Du`at 2010 berakhir sekitar jam 5.45 petang dan disusuli dengan sesi fotografi bersama Timbalan Presiden PMRAM.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak PMRAM Pusat, PMRAM cawangan Shoubra, PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan, PMRAM cawangan Pulau Pinang, serta kepada AJK Pelaksana & para peserta serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Akademi Du`at 2010. Semoga segala usaha yang dilakukan dinilai oleh Allah SWT.

Saturday, June 12, 2010

Mak! Saya Mahu Kahwin

Entri ini bukanlah luahan hati tetapi hanya sekadar menyatakan suatu pandangan, mungkin akan membuka minda dan mungkin juga akan ada yang membangkang. Terpulang.

Gejala sosial yang melanda negara kita berada pada tahap kritikal dan membimbangkan terutamanya yang melibatkan golongan muda remaja. Baru-baru ini dikejutkan dengan berita 16 pelajar di Terengganu 'berjaya' melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka. Kes buang bayi, zina, bersekedudukan mahram, seolah telah menjadi berita panas sebagai pelaris akhbar setiap hari.

Mak! Saya Mahu Kahwin

Luahan si anak yang menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada ibubapanya namun disusuli dengan sanggahan yang berbunyi "Jangan nak menggatal, muda-muda lagi dah fikir nak kahwin. Belajar pun tak habis-habis lagi, sudah nak fikir pasal nak kahwin". Biasa dengar kan? Angguk sajalah.

Hasrat si anak yang mahu berkahwin pada usia yang muda adalah merupakan satu niat dan hasrat yang baik serta positif tetapi kebanyakan (bukan semua) ibubapa sekarang memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang negatif malah hasrat anak-anak yang mahu mendirikan rumahtangga pada usia muda cuba disekat dan dihalang. Berdasarkan situasi dan kondisi semasa, kahwin muda sepatutnya digalakkan malah ibubapa sepatutnya yang bertanya kepada anak-anak bila mahu mendirikan rumahtangga, bukannya menghalang anak yang mahu berkahwin.

Situasi kini yang boleh dilihat, ramai mana remaja lelaki yang membawa perempuan ke hulu ke hilir tanpa ada talian perhubungan yang sah. Sungguh pelik dan hairan melihat ibubapa yang hanya membiarkan anak gadis mereka diusung ke sana ke mari oleh lelaki. Kebejatan akhlak yang kian meruncing cukup dengan melihat pendedahan aurat berlaku di mana-mana. Remaja perempuan tanpa segan silu menayangkan 'pusat-pusat' mereka di pusat membeli belah, aksi peluk cium di sana sini, tidak kurang juga yang berpakaian mengalahkan artis-artis barat sehingga menampakkan bahagian sulit. Ini realiti. Lelaki mana yang sanggup melihat sahaja dengan membeliakkan biji mata masing-masing. Mengikut satu kajian, 70 peratus ransangan lelaki adalah melalui pandangan. Itu belum lagi sebut tentang aksi-aksi pelakon di kaca TV dan aktiviti men'download' bahan-bahan lucah daripada internet dengan hanya sekali 'klik'. Kita semua sudah maklum. Bagi membendung nafsu muda yang menggila dan menjaga kawalan pandangan mata, amat wajar sekali jika anak-anak yang punya kesedaran mahu memilih jalan yang dihalalkan oleh Islam dengan menyatakan hasrat "Mak! Saya mahu berkahwin".

Ibubapa Menanggung Saham Dosa

Kes zina yang berleluasa dan kes buang bayi cukup mengajar umat kini bahawa Islam telah mengatur jalan terbaik bagi membendung masalah ini iaitu melalui perkahwinan. Terlalu kejam jika ibubapa membiarkan anak-anak 'terseksa fizikal dan mental' akibat dihalang untuk berkahwin malah ada ibubapa yang seratus peratus menyalah anak-anak jika mereka terlibat dengan kes zina dan buang bayi. Ibubapa turut menanggung saham dosa jika anak-anak mereka terjebak dalam kes zina jika hasrat mereka yang sebelum ini mahu berkahwin dihalang. Setelah terlanjur sebelum kahwin, perut si gadis membunting manakala si lelaki yang mungkin keturunan spesis tupai (selepas tebuk lari) ketakutan dan melarikan diri kerana tidak mahu bertanggungjawab. Jika si anak berhasrat memilih jalan halal melalui perkahwinan dihalang, mengapa si anak sahaja yang disalahkan akibat memilih jalan haram melampiaskan nafsu mereka? Pasti ada yang bertanya, bila sudah kahwin nanti nak makan apa? Nak bagi makan apa kat anak orang? Ini adalah soalan -soalan biasa dan bukan topik perbincangan utama. Yang utama adalah mahu si anak memilih jalan halal atau mahu si anak tersalah pilih jalan haram dan berdosa.

Memilih Jalan Halal

Ibubapa sewajarnya menyokong hasrat si anak yang memilih jalan halal iaitu perkahwinan, bukannya menyekat dan menghalang. Bukankah Islam menyuruh kita supaya bersegera untuk melakukan kebaikan (fastabiqul khairat). Situasi sekarang bukan seperti 30 tahun lalu. Keadaan kini memerlukan jiwa yang benar-benar kuat bagi mengharungi liku-liku hidup yang penuh ranjau berduri, penuh dugaan dan cabaran. Jika dahulu aktiviti mengendap anak-anak dara mandi menjadi kegilaan pemuda, kini tidak perlu susah-susah mengendap, hanya menggunakan hujung jari sahaja dengan meng'klik' bagi mereka yang memiliki capaian internet. Siapa yang terpalit malu jika si anak ditangkap basah? Siapa yang susah jika perut anak gadis mengandungkan anak hasil daripada zina? Siapa yang dikata tidak tahu mendidik anak jika si anak terlibat dalam kes buang bayi? Pastinya ibupada. Sudah pasti tidak ada ibubapa yang mahu anak-anak mereka terjebak dalam kancah perbuatan keji dan haram.

Wahai ibubapa dan penjaga, mengapa menghalang si anak yang mahu berkahwin? Bukankah perkahwinan adalah halal malah amat digalakkan oleh Islam? Cuba pilih satu antara dua, mahukan si anak terjebak dengan kancah maksiat atau membantu si anak mengharungi liku hidup setelah berkahwin?

Jika si anak berkata : "Mak! Saya mahu kahwin"
Jawab ibubapa : "Beritahu mak siapa calonnya, biar mak yang uruskan semuanya.
Pasti si anak tersenyum lebar hingga ke telinga.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud: "Wahai para pemuda! Sesiapa yang berkemampuan maka hendaklah dia berkahwin kerana sesungguhnya perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pendindingnya".

Biar Tak Soleh, Asalkan Genius

Masyarakat Islam kini tidak lagi meletakkan Islam ditempat pertama, menyisihkan Islam daripada kehidupan seharian. Secara zahirnya, diperhatikan Islam kini diamalkan oleh masyarakat kita hanya pada empat keadaan sahaja iaitu semasa kelahiran (majlis aqiqah dan tahnik), semasa berkhatan, perkahwinan dan kematian. Hakikatnya Islam sebenarnya adalah satu tatacara hidup yang menyeluruh meliputi segala ruang lingkup kehidupan.

Ramai yang mengambil cakna mengenai keputusan peperiksaan UPSR, PMR dan SPM anak-anak rakan dan saudara mara namun tidak ramai yang bertanya mengenai keputusan PMRU, SMU dan STAM. Tidak ramai juga yang mengambil peduli mengenai anak-anak yang tidak tahu solat, tidak kenal huruf al Quran dan tidak pernah berpuasa. Inilah realitinya, masyarakat kita cuma menganggap agama cuma perkara sampingan dalam kehidupan.

Jika mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, pasti ramai yang bertanya ke negara mana mahu terbang menggunakan biasiswa JPA atau MARA tetapi pasti ramai yang kecewa jika jawapannya mahu menyambung Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana mahu terbang mendalami ilmu agama. Mungkin hal ini kita anggap biasa namun ia sudah cukup menggambarkan pada sudut mana agama diletakkan di sisi masyarakat kita. Tanya saja, berapa ramai ibubapa yang menyuruh anak-anaknya bersungguh-sungguh mendalami ilmu agama, ramai yang cuma tahu menghabiskan wang beratus ringgit membayar tuisyen demi memastikan anak-anak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sanjungan yang terlalu agung diberikan kepada anak-anak yang cemerlang dalam bidang akademik, bijak, genius dan pandai. Mereka dihantar ke tempat-tempat pengajian yang terbaik tetapi jika anak-anak yang agak sengal, lembab dan bodoh-bodoh ubi mereka dicampakkan ke mana-mana pondok untuk mendalami ilmu agama. Kata mereka "kalau sudah bodoh tu pergilah belajar agama, yang cerdik pandai jadi doktor dan engineer. Nanti dapat gaji mahal, hidup pun senang". Masyarakat kita sudah tunggang terbalik. Sisi pandangan masyarakat kini mengatakan tidak layak golongan cerdik pandai mendalami ilmu agama. Tidak perlu tunggu lama, sedikit masa lagi kita boleh lihat akan lahir golongan mufti, imam-imam dan ustaz-ustaz yang daripada kalangan yang 'bodoh'. Mengapa yang genius-genius tidak dihantar mendalami agama? Bukankah itu menjadi sumbangan yang besar kepada Islam? Mungkin masyarakat kita menjawab, biarlah tidak soleh mana pun, asalkan genius, hidup senang dan gaji mahal. Dunia memang sudah terbalik. Kita tanya kembali, boleh ke hidup senang tanpa agama? Nanti nak masuk kubur bawa apa? Kereta, harta atau agama?

Perancangan Yahudi Nasrani dilihat semakin mencapai matlamat iaitu menerapkan pemikiran sekular dan meterial dalam minda umat Islam. Agama dan dunia dipisahkan malahan agama dianggap tidak penting dan tidak perlu. Ahli agama dipinggirkan sebaliknya ahli dunia yang diagung-agungkan.

Monday, June 7, 2010

" Ya Allah, Berkatilah & Rahmatilah Masyaikh Kami "


Masyaikh Qiraat Shoubra



Dari kiri : Syeikh Redha Ali Darwish, Syeikh Muhammad Abdul Nabi Abdul Hasib & Syeikh Shahrizan bin Hazime (Presiden PMRAM 2010)



Permata di Bumi Shoubra


(3 Jun 2010) PMRAM cawangan Shoubra telah menganjurkan satu Program yang dinamakan Haflah Takrimul Qurra'. Program ini telah berjaya mengumpulkan Masyaikh Qurra' seramai 10 orang termasuk Naib Mudir Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Tahniah kepada Adhoc program dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Satu program yang cukup bermanfaat kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mendalami ilmu Qiraat. Ucapan yang sungguh mengetuk pintu hati para qurra' bagi sesiapa yang menghayatinya.

Setiap masyaikh yang bercakap mewasiatkan kepada semua supaya bertaqwa kepada Allah s.w.t. menjaga serta mengamalkan Al-Quran yang dibaca & dihafal.. Allah...Cukup susah untuk kita semua istiqamah takut kepada Allah s.w.t. Mulut kata takut, anggota lain tidak menunjukkan rasa takut kepada Allah s.w.t. Apatah lagi untuk beramal dengan apa yang dihafaz.


Mungkin sebagai kesimpulan daripada kalam-kalam masyaikh bolehlah merujuk buku Adab Hammalatul Quran (At-Tibyan) karangan Imam Nawawi kerana ucapan masyaikh kebanyakan menceritakan tentang Al-Quran.


Antara Masyaikh yang hadir ialah :


Maulana Syeikh Sayyid Ali Abdul Majid Abdul Sami'



Syeikh Hassan Muhammad Hassan Rejab



Syeikh Judah Syauqi



Syeikh Jamal



Syeikh Mahmud Mustofa Ibrahim



Dari kiri : Syeikh Judah Abdul Salam & Syeikh Toha Asayyid Assowi



Syeikh 'Alauddin Sayyid (Naib Mudir Maahad)


Penulis sedang mengiringi Syeikh Mahmud



Barisan AJK Disiplin & Protokol




Sebahagian Pelajar Siswa Shoubra



Sebahagian Pelajar Siswi Mansuroh



Di Bilik Tetamu


Tahniah kepada semua yang menjayakan program ini. Juga kepada BP PMRAM yang hadir.. Ustaz Shahrizan, Ustaz Azlan, Ustaz Adlan, Ustaz Huzaifah, Syeikh Mujahid serta beberapa orang mantan BP..


...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO