Thursday, April 5, 2012

kemenangan bergaya Barcelona Dan Kelantan

Assalamualaikum w.b.t

2 3 hari ni rasa hepi semacam je. Salah satu nyer sebab dah khatam semua bacaan ifrad dan jamak Toriq Syatibi la. Malam tu plak menyaksikan pasukan feberet saya yang tak lain tak bukan pasukan terbaik dunia la iaitu Barcelona. Untung sikit di mesir ni kerana dapat tengok bola omputih pada awal malam. Kalau di Malaysia komfom kena tahan mata tunggu lewat malam. Malam tu tengok sorang-sorang je di kedai syai arab. Layan bersama arab. Pengulas bola arab memang best dari hasbullah awang. Suka sangat la bila barca menang kan.

Barcelona berpeluang mempertahankan gelaran juara Liga Champions setelah mudah menyingkirkan AC Milan pada peringkat suku akhir ni.
Setelah hanya mampu seri pada perlawanan pertama yang berlangsung di San Siro pada minggu lepas, kelebihan menjadi tuan rumah digunakan sebaiknya oleh Barcelona untuk menghasilkan kemenangan dengan 3-1 dengan dua gol disumbangkan oleh pemain terbaik dunia Lionel Messi hasil sepakan penalti. Satu lagi gol dijaringkan oleh Andres Iniesta. Manakala Antonio Nocerino menjadi satu-satunya pencetak gol untuk skuad AC Milan.

Seperti yang sudah dijangka la, Barcelona berjaya mendominasi pertandingan sepanjang sepuluh minit awal pertandingan. Sebuah serangan cepat pada minit keempat berjaya dipatahkan oleh Christian Abbiati. Sementara, kerjasama antara Cesc Fabregas dan Dani Alves tidak membuahkan hasil. Saya tak pasti Alves ni bermain di posisi mana pada malam tu tapi yang pastinya dia merupakan bek kanan. Bek yang power kerana boleh main wing pada bila-bila masa.

Gol tercipta pada minit ke-11 akibat terjahan Luca Antonini terhadap Messi. Sepakan diambil sendiri oleh Messi dan menghasilkan gol ke-13 di Liga Champions musim ini.



Secara tiba-tiba Milan Berjaya bangkit pada minit ke 32 apabila Nocerino mendapat umpanan cantik dari Zlatan Ibrahimovic. Hanya dalam satu sentuhan Nocerino berhasil menewaskan Victor Valdes dengan mengarahkan bola ke tiang gol. Cuak jugak rasa masa tu. Mana tak nyer, kalaula seri, alamaknya bungkus la barca.

Messi sekali lagi berjaya mengembalikan keunggulan tuan rumah empat minit sebelum waktu rehat. Gol kembali dihasilkan dari hasil sepakan penalti. Kali ini kejadian sedikit kontroversi kerana pengadil dianggap terlalu skema pulak dalam menilai pelanggaran Alessandro Nesta terhadap Sergio Busquets.

Gol ketiga Barcelona pada menit ke-53 setelah Philippe Mexes tertampan bola yang diarahkan kepada Iniesta. Dengan mudah, Iniesta melorongkan bola masuk ke dalam gawang Abbiati.

Di babak separuh akhir nanti, Barcelona akan menghadapi pasukan Chelsea.

Tapi macammana pulak dengan team negeriku iaitu Kelantan. Alhamdulillah Kelantan FA berjaya memungut 3 mata berharga di halaman sendiri apabila berjaya menewaskan pasukan kelab dari Indonesia iaitu Arema Malang dengan keputusan jaringan 3 – 0 hasil ledakan hatrik dari penyerang kebangsaan Lubnan iaitu Muhammad Ghaddar.

Sejak wisel ditiupkan, Kelantan lebih banyak menguasai perlawanan berbanding Arema Malang dengan banyak mencipta peluang jaringan namun gagal disudahkan oleh 2 penyerang Antwi dan Ghaddar.

Sehinggalah minit ke 23″, Ghaddar melakukan larian deras untuk menewaskan pemain pertahanan Arema dan merembat masuk bola dengan kaki kiri untuk memberikan Kelantan 1 gol dihadapan.



Selepas gol pertama Kelantan dilihat mempunyai banyak peluang namun gagal disudahkan manakala Arema Malang juga mempunyai 2 hingga 3 percubaan berbahaya namun berjaya dikawal oleh pertahanan Kelantan dan penjaga gol Shahrizan Ismail.
Kedudukan 1 – 0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Dua minit bermula separuh masa kedua Ghaddar sekali lagi berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan selepas menerima hantaran cantik dari Kapten Pasukan iaitu Mohd Badhri Mohd Radzi.

Pada minit ke 88″ Ghaddar akhirnya berjaya meledak hatrik selepas sekali lagi melakukan larian deras dan merembat kencang bola menggunakan kaki kanan untuk menewaskan penjaga gol Arema Malang.
Tamat perlawanan menyaksikan Kelantan FA berjaya menewaskan Arema Malang 3 – 0.Perlawanan AFC bagi Kelantan seterusnya ialah pada 10 April 2012 dan kali ini Kelantan akan berkunjung ke Malang, Indonesia untuk sekali lagi menentang Arema Malang.

Walaupun berada jauh beribu batu dari tanah air, bola Kelantan tetap di tontoni. Hehe. Kemudahan ada di hujung jari. Live dari Kelantan dengan channel antarabangsa. Orang kata hilir sikit la bila tengok bola Malaysia sambil pengulasnya speaking omputih. Paham tak paham itu persoalan kedua. Hehe.

Tuesday, April 3, 2012

kembali menjumpai ilham yang tersembunyi..

Assalamualaikum w.b.t…

Kalau dikira-kira, agak lama jugak la saya x mengupdate blog kesayangan ni. Kalau nak dijadikan alasan, memang banyak la. Haha. Budaya kemalasan, anjakan kesibukan ataupun idea yang difikirkan terlalu lama. Tapi yang sebenarnya masa banyak digunakan untuk bertalaqqi quran. Alhamdulillah sekarang ini tetiba je dapat ilham mimpi kembali untuk bersama-sama berkongsi cerita mahupun ilmu dalam blog lukisandihati.blogspot.com ni. Harapnya para pembaca dan pelawat dapat mengambil perkara yang luar biasa dari blog yang biasa-biasa ni. Sekian.

Wednesday, March 28, 2012

DARI LAMAN FB : KOMEN KEJI MENGATAKAN TG NIK AZIZ 'ORANG TUA NYANYUK'!

Hukum Pengantin Wanita Melayan Tetamu



Seorang pengantin wanita berkhidmat melayan tetamu, jika hal ini diketahui oleh puak 'radikal agama' sudah pasti mereka menentang sekeras-kerasnya. Hal ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari di dalam kitab sahihnya dan beliau mengulanginya beberapa kali. Imam Bukhari juga memperuntukkan satu bab yang bertajuk 'Wanita berkhidmat pada kaum lelaki dalam majlis perkahwinan'.

Maksudnya :
"Daripada Sahl, beliau berkata : 'ketika Abu Usaid al Sai'mengadakan majlis perkahwinan, beliau menjemput Nabi s.a.w dan para sahabat baginda. Tidak menyediakan makanan dan tidak melayan mereka melainkan isterinya Ummu Usaid. Beliau merendamkan buah tamar di dalam sebuah bekas. Sebaik sahaja Nabi selesai makan, dia memerah tamar itu dan memberi Nabi minum air perahan tamar itu kepada baginda, beliau juga mengkhususkan untuk Nabi hidangan makanan'"

Berkata al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani : 'Hadis ini menunjukkan bahawa wanita boleh berkhidmat kepada suami dan para tetamunya. Jelaslah bahawa keharusan ini ketika tidak ada fitnah dan menutup aurat. Harus bagi suami menggunakan isterinya untuk perkara sebegini.

Ini merupakan hakikat ilmiah yang telah ditetapkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sendiri dan para ulama' mengerti mengenainya serta tercatat di dalam kitab-kitab muktabar. Namun kita dapati mereka menyanggahi hal ini dan terus berhujah dengan kebatilan, bahkan mereka enggan mendengar apatah lagi menerima hakikat tersebut.

Wednesday, February 22, 2012

Cara Khatam Al Quran Dalam Seminggu


Rasulullah s.a.w menekankan kepada kita supaya meluangkan seberapa banyak masa untuk membaca dan memahami al Quran. Secepat-cepat tempoh masa yang boleh khatam al Quran adalah selama 3 hari dan selewat-lewatnya jangan jangan lebih dari sebulan. Sebaik-baiknya al Quran dikhatamkan bacaannya dalam tempoh seminggu.

Beberapa sahabat Rasulullah s.a.w yang masyhur seperti sayyidina Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas'ud dan lain-lain mengkhatamkan al Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut :

Malam Jumaat : surah al Baqarah hingga surah al Maidah

Malam Sabtu : surah al An'am hingga surah Hud

Malam Ahad : surah Yusuf hingga surah Maryam

Malam Isnin : surah Toha hingga surah al Qasas

Malam Selasa : surah al 'Ankabut hingga surah Sod

Malam Rabu : surah Tanzil (al Zumar) hingga surah al Rahman

Malam Khamis : menghabiskan surah yang berbaki

Perkara Berkait Tentang Ucapan Salam



Hukum memberi dan menjawab salam

Sunat muakkad bagi orang perseorangan dan sunat kifayah bagi perkumpulan manakala menjawab salam pula adalah wajib bagi perseorangan dan fardhu ain bagi perkumpulan.

Orang yang patut mendahulukan salam :

1. Yang berjalan kepada yang duduk
2. Yang muda kepada yang tua
3. Yang berkenderaan kepada yang berjalan kaki
4. Yang di luar kepada yang di dalam
5. Yang di belakang kepada yang dihadapan
6. Yang hendak meninggalkan majlis kepada yang ditinggalkan

Orang yang makruh diucapkan salam kepadanya :

1. Orang yang sedang azan atau iqamah
2. Orang yang sedang mengajar ilmu agama
3. Orang yang sedang membaca al Quran
4. Orang yang sedang qadha' hajat
5. Orang yang memusuhi Islam dan orang kafir
6. Ahli bid'ah, orang yang mengganggu lalu lalang atau berbual kosong
7. Ahli maksiat termasuk orang yang telanjang

Orang yang tidak wajib menjawab salam :

1. Orang yang sedang sembahyang
2. Orang yang sedang qadha' hajat
3. Orang yang sedang mengajar
4. Orang yang menerima salam setelah bercakap-cakap dengannya

Cara Memusnahkan Mushaf @ Kertas Ayat Al Quran


Mushaf atau kertas yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran tidak boleh dikoyakkan atau dicarik-carik kerana cara itu bererti memutus huruf-huruf dan kalimahnya dan mempersia-siakan apa yang termaktub itu.

Jika mushaf atau tulisan-tulisan ayat Al-Quran itu tidak boleh dibaca atau tidak boleh digunakan lagi, ia boleh dimusnahkan di antara caranya ialah dengan membasuh tulisannya sehingga tidak kelihatan lagi atau membakarnya atau menanamnya.

Sebahagian ulama berpendapat membakarnya adalah lebih utama kerana Sayidina Uthman Al-Affan pernah membakar mushaf-mushaf tertentu dan tidak ada sahabat yang membantahnya. Sebahagian ulama pula menetapkan ia tidak boleh dibakar kerana cara itu tidak menghormati namanya sehingga menghukumkannya sebagai makruh.

Selain itu ada yang berpendapat bahawa membasuhnya lebih utama. Sebahagiannya pula mengatakan mushaf itu tidak dibakar, bahkan ia hendaklah ditanam dalam tanah dan dengan cara ini ia tidak akan terkena pijakan. (Al-Itqan: 4:165).

Dalam pada itu, setengah ulama mutakhir berpendapat bahawa cara membakar itu adalah cara yang paling ringan dilakukan. Disertakan dengan niat yang baik, maka cara ini dilakukan hanya semata-mata untuk menjaga kesucian dan kemuliaan Al-Quran, bukan merendahkan, apa lagi menghinanya dan tidak mendedahkannya kepada pencemaran dan penghinaan. (Ahsan Al-Kalam: 2:210).

Disimpulkan bahawa mushaf Al-Quran yang menjadi kitab suci umat Islam adalah wajib dihormati, seperti tidak meletakkan sesuatu di atasnya, menyentuh atau mengangkatnya hanya ketika dalam keadaan berwuduk dan tidak menuliskannya pada kertas, kad, poster atau bahan-bahan cetak yang lain yang terdedah kepada pencemaran kesucian dan kehormatannya itu.

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO