Mahasiswa Qiraat Akan Pupus??
Mahasiswa Qiraat tahun satu sudah tidak senang duduk. Semuanya sedang ternanti-nanti bilakah nama mereka akan muqayyad (kenaikan nama di Azhar). Minggu lalu semua mahasiswa tahun satu berjaya menduduki imtihan syafawi al Quran dan Qiraat atas belas ihsan daripada pengetua Maahad Qiraat al Azhar, Shoubra yang membenarkan semua mahasiswa tahun satu menduduki peperiksaan syafawi. Tiga hari lagi mahasiswi Qiraat Mansurah pula bakal berdepan dengan imtihan syafawi al Quran dan Qiraat. Mereka juga pasti sedang menanti-nanti bilakah nama mereka akan muqayyad. Berdasarkan makluman, pihak pengurusan Maahad Qiraat Mansurah dikatakan agak syadid (tegas).
Sepuluh hari yang dijanjikan oleh pihak JPMK untuk memastikan semua nama pelajar Qiraat muqayyad kini sudah berlalu berpuluh-puluh hari. Janji cuma tinggal janji. Omongan kosong daripada pihak JPMK kini sudah meluat didengari. Bukan sekali tetapi sudah berkali-kali janji yang sama ditaburkan.
8 Mei nanti bakal menyaksikan peperiksaan bertulis yang akan ditempuhi. Berbeza dengan peperiksaan lisan, peperiksaan bertulis mungkin tidak akan dapat diduduki oleh semua mahasiswa Qiraat samada Shoubra mahupun Mansurah sekiranya nama pelajar tidak muqayyad sebelum peperiksaan berlangsung kerana peperiksaan bertulis memerlukan setiap pelajar memiliki kerneh (kad pelajar) masing-masing dan juga angka giliran bagi menduduki peperiksaan.
Mahasiswa tahun satu Qiraat kini kebuntuan. Persediaan untuk peperiksaan bertulis sedang giat dilakukan namun perkara yang masih menjadi tanda tanya pada mereka bilakah nama akan muqayyad. Khabarnya sudah ada yang merancang dan mahu menempah tiket pulang ke Malaysia. Masalah kenaikan nama bukan masalah baru tetapi telah berlaku saban tahun. Masalah yang sama tetap berulang seolah-oleh menemui jalan buntu dan tiada penyelesaian.
Mahasiswa Qiraat Mesir Akan Pupus
Masalah muqayyad nama, masalah visa pelajar dan pengiktirafan oleh pihak kerajaan sering menghantui para pelajar yang bakal menjejakkan kaki mendalami ilmu Qiraat di Mesir. Jika suatu masa dahulu, semua lulusan diploma tahfiz al Quran dan Qiraat atau Sijil Tinggi Tahfiz al Quran atau setaraf dengannya dibenarkan menyambung pengajian di Mesir tetapi bagi sesi akan datang hanya lulusan diploma JAKIM, Kolej Universiti Insaniah dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor sahaja yang diiktiraf dan layak menyambung pengajian di Mesir.
Lihat, ruang melanjutkan pengajian al Quran dan Qiraat di Mesir semakin sukar dan semakin disempitkan. Tidak mustahil sekiranya perkara yang sama juga bakal berlaku kepada pengajian Qiraat sebagaimana yang telah berlaku kepada program muadalah antara institusi pengajian Islam tempatan dengan al Azhar yang telah dimansuhkan suatu masa dahulu.
*sumber dr blog zul ikhwan
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment