Monday, May 24, 2010

Sekitar Jaulah Maqam

23 Mei- Alhamdulillah kami seramai 40 orang yang terpilih dari kalangan pelajar tahun 1 beserta 2 orang mushrif iaitu Ustaz Hanif dan Ustaz Saifullah Misro telah selesai menziarahi dan melawat maqam-maqam para Ahli Bait Rasululullah S.A.W, Para Wali Allah, Sahabat-sahabat Nabi dan para Syeikh dan ulama-ulama yang telah lama meninggalkan kita setelah berkurun lamanya. Alhamdulillah kali ini kami melakukan jaulah maqam ini di sekitar Kaherah sahaja. Bermula pada pukul 8.30 pagi dengan menaiki 3 buah van Tremco. Berikut beberapa maqam yg telah kami lawati mengikut turutan:

1- Abu Muhammad Abdullah Jamaluddin Ibnu Hisham Al-Qunasi Al-Ahmadi

2- Saiyyidi Abdul Wahab As-Sya’rani R.A

3- Sayyidi Shihabuddin Al-Ramli Al-Ansari

4- Al-Imam Muhammad Madi Abu Al-Azaim

5- Sayyidi Sultan Hanafi. Nama asal Shamsuddin Muhammad Bin Ali Bin Hassan Al-Bukri

6- Sayyidi Ali Zainal Abidin

7- Saidatina Nafisah

8- Imam Ibnu Sirin

9- Saydatina Rukyah

10- Sayyidi Ali Ja’fari

11- Syeikh Zakaria Al-Ansari

12- Imam Syafie R.A

13- As-Syahid Hassan Al-Banna

14- Sultan Ulama Syeikh Izzuddin Abdul Salam

15- Ibnu Ato’illah Al-Askandari

16- Taqiuddin Muhammad Bin Ali Bin Wahabal Husni Al-Qusairi

17- Sayyidi Lukmal Bin Ilham

18- Abdullah Bin Abi Jamrah

19- Sayyidi Ashraf Jabir Ar-Rifa’ie Al-Husaini (Wali Soghir)

20- Sayyidi Umar Bin Al-Faridh Sultan Al-Asyiqin

21- Imam Abi Muhammad Qasim Bin Firah As-Syatibi

Bermula dengan melawat maqam yang pertama iaitu maqam Abu Muhammad Abdullah, kami telah diberi taklimat dan kisah disebalik maqam yang telah dilawati oleh Ustaz Hanif. Kami tak akan lepaskan peluang untuk bergambar kenangan di setiap maqam yang dilawati.



Pabila tiba di maqam Sultan Hanafi, kami dikhabarkan yang disini terdapat sebuah telaga yang terletak di tengah-tengah masjid yang dikatakan telaga air zamzam. Alhamdulillah lega sikit anak tekak kami bila dapat licinkan tekak dikala musim panas sudah menerjah mesir ketika ini. Pabila tiba di maqam Saidina Ali Zainal Abidin iaitu anak kepada Saidina Hussin tiba-tiba terbit perasaan hiba di hati saya ketika melihat maqam beliau. Perasaan terharu bila dipilih oleh Allah untuk menziarahi maqam keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Kami sama-sama berdoa memohon keberkatan kepada Allah dan berharap akan datang menziarahi lagi bila diizinkan Allah.


Seterusnya kami ke maqam Saidatina Nafisah iaitu anak atau cucu Saidina Hassan (nanti akan cari maklumat sebenar). Semasa di maqam Imam Syafie, ada juga rombongan pelancong dari Pakistan yang melawat maqam Imam Syafie ketika itu. Alhamdulillah kami terkejut bila ada seorang diantara kami yang boleh berbahasa Urdu dan boleh menceritakan sedikit sebanyak tentang maqam tersebut. Dan ada sekeluarga pasangan dari Malaysia yang datang. Mereka meminta kami untuk menceritakan sedikit sebanyak kisah dan riwayat maqam Imam Syafie. Keadaan kami selepas waktu asar agak sedikit letih memandangkan cuaca yang agak panas.

Destinasi terakhir ialah Jabal Muqattam. Alhamdulillah wajah-wajah hensem kami kembali ceria bila dapat melihat pemandangan sekitar mesir di atas bukit tersebut. Agak gayat bila tengok pemandangan di bawah. Masing-masing memanfaatkan kamera Sony, Olympus, Samsung, Kodak dan tak lupa yang menggunakan kamera HP masing-masing. Alhamdulillah kami selamat tiba di Dauran Shoubra pada pukul 6 petang. Harapan kami agar dengan melakukan jaulah ini, akan menambahkan lagi thaqafah kami terhadap ilmu Allah dan berharap keberkatan dan ilmu-ilmu yang Allah telah berikan kepada hamba-hambanya yang diredhaiNya itu, akan turut diberikan kepada kami juga Insyaallah…

Saturday, May 15, 2010

JAULAH MAQAM AULIYA SEKITAR KAHERAH



JAULAH MAQAM AULIYA SEKITAR KAHERAH


Terbuka kepada semua pelajar TAHUN SATU sahaja.


Tarikh : 23 Mei 2010 (Ahad)

Masa : 7.30 pagi

Yuran pendaftaran : LE 25

Tarikh tutup pendaftaran pada : 20 Mei 2010

Anjuran : Unit Sambutan & Rehlah DPM [MAQAZ] Shoubra

Wednesday, May 12, 2010

Isu Qiraat.... Masih Salahkan Pelajar? JPMK Buat Apa?

Maklumat lanjut sila rujuk akhbar Metro edisi 13 Mei 2010.


Inilah sikap seorang pegawai yang tidak bertanggungjawab dan tak tahu malu! Sudah terang dan jelas yang beliau bersalah, masih tidak mengaku, dah la tak nak mengaku, pergi salahkan pelajar pulak! Habis hujah, pergi pertikai tentang pengiktirafan sijil! Tiada isu lain nak bagi. Isu iktiraf pulak di timbulkan. Mempertikai isu iktiraf. Seolah-olah dia tidak mengiktiraf Syeikh-Syeikh Azhar dan Muqri' yang berada di bumi Mesir ini. Moga Allah hapuskan kebatilan dan menangkan kebenaran...


Alhamdulillah, isu ini telah pun sampai kepada pihak atasan di Malaysia. Saya amat-amat berharap pegawai yang membuat masalah di Mesir ni diambil tindakan secepat mungkin kerana menyusahkan penuntut-penuntut ilmu disini. Dia tak sedar dia dah merendahkan sistem al Azhar dan mempertikaikan keluaran shoubra n mansurah..kali ni dia akan berdepan dengan pegawai-pegawai dari malaysia..nantikan! Semua bekas pelajar Shoubra dan Mansuroh yang sedang berkhidmat di malaysia akan "menemui" anda selepas ini!!

Masih mahu menyalahkan para pelajar. Saya tidak faham dengan sikap mereka yang kononnya pegawai yang profesional ini.

Mengenai tarikh ketibaan para pelajar, sudah siap dijawab oleh pimpinan pelajar. Baca di sini.
Kenyataan yang dikeluarkan di dalam akhbar tersebut sebenarnya memerangkap diri sendiri.

Katanya :
"Masalah ketidakseragaman ini sudah lama berlaku sebenarnya, namun ketika era Syeikh Al Azhar, Sheikh Mohammad Sayed Tantawi, pelajar yang lewat datang dan tiada visa masih dibenarkan menduduki peperiksaan."
"Tetapi apbila Syeikh Al Azhar yang baru iaitu Syeikh Dr Ahmad Tayyib, beliau begitu tegas dalam menguatkuasakan peraturan, pelajar lewat dan tiada visa sama sekali tidak dibenarkan menduduki peperiksaan"

Benarkah Syeikh Al Azhar yang tidak membenarkan pelajar yang lewat datang menduduki peperiksaan? Atau tidak membenarkan pelajar menduduki peperiksaan selagi nama tidak muqayyad? Tidak faham. Jangan kaitkan pertukaran Syeikh Al Azhar sebagai salah satu sebab insiden ini berlaku.

"Akibatnya pelajar terbabit hanya dibenarkan menduduki peperiksaan yang dijadualkan Julai depan"

Benarkah peperiksaan pada bulan Julai nanti? Jika ada, sila tunjukkan kenyataan bertulis daripada Al Azhar. Kami amat meragui kenyataan bertulis daripada pihak JPMK. Jika ada, sila buktikan. Jika tidak, peperiksaan bulan Julai juga belum pasti akan diduduki.

Menurutnya lagi,
"Janganlah menyalahkan satu pihak saja. Masalah ini berlaku sudah lama, sedangkan saya datang berkhidmat di Mesir mulai 20 Januari lalu. Jadi, saya tersepit dan saya mewarisi masalah sebelum ini"

Jika sudah jelas masalah ini berlaku sudah lama, mengapa masih tiada jalan penyelesaian setelah bertahun-tahun perkara yang sama berulang? Apa yang dibuat sepanjang tempoh Februari sehingga April 2010 sehingga pada tanggal 4 Mei baru sibuk mahu menghadap Syeikh Al Azhar? Saya pasti, jika urusan ini dilakukan lebih awal, tidak timbul masalah gagal menduduki peperiksaan pada tanggal 8 Mei. Amanah yang dipikul tidak dilaksanakan dengan sebaiknya.

Tambahnya lagi,
"Ini kerana Ma'had Qiraat bukanlah setaraf universiti, sebaliknya pusat pengajian tinggi manakala sijil dikeluarkan kalau diikutkan di sini tarafnya bukanlah sama dengan ijazah sarjana muda, namun di negara kita ia diiktiraf setaraf ijazah, sedangkan selayaknya adalah sijil tinggi"

Jangan sesekali mempertikai hak sijil kami. Memang selayaknya kami dapat. Kenyataan ini merendah-rendah pengajian kami di sini. Jika mahu tahu adakah langit atau gunung yang lebih tinggi, sila daftarkan diri untuk mengikuti pengajian di sini. Saya cabar anda tunjukkan di mana universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian yang memiliki silibus pengajian yang sama atau setaraf dengan apa yang kami belajar di sini. Sila buktikan, saya cabar. Saya pasti, bukan saya seorang sahaja mempertahankan hak ini. Seluruh mahasiswa/wi dan lepasan Qiraat Al Azhar turut bersama.

Janganlah asyik berselindung disebalik putar alam yang anda mainkan En. Khairi, kelak akan memakan diri sendiri. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah. Saya cabar En. Khairi jejakkan kaki ke bumi Shoubra untuk sesi dialog terbuka bersama kami. Sudah-sudahlah dengan sikap ego, sombong dan tidak mahu mengaku salah sendiri. Asyik menuding kepada pihak lain. Kami sudah menyampah! Setelah kering hujah, anda mempertikaikan hak sijil kami pula. Memang teruk.

MAQAZ DUKACITA DI AKHBAR METRO

Hari ini, 12 Mei telah disiarkan di dalam akbar Harian Metro yang bertajuk "Maqaz Dukacita", menceritakan tentang mahasiswa Malaysia yang gagal menduduki peperiksaan. Sila klik link di bawah ini :






Maqaz Dukacita

KUALA LUMPUR: Insiden kira-kira 140 pelajar baru Malaysia yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Qiraat di Maahad Qiraat Al-Azhar, Mesir gagal menduduki peperiksaan Sabtu lalu berpunca daripada beberapa sebab termasuk lewat mendaftar sangat dikesali.

Pengerusi Dewan Perwakilan Mahasiswa (Maqaz) Syubra, Mohammad Naim Hassan, berkata pihaknya dukacita perkara terbabit kerana sebelum ini kelewatan mendaftar tidak menjadi masalah besar.

Menurutnya, kelewatan mendaftar sering berlaku di pusat pengajian tinggi terbabit, malah cukup ketara sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini walaupun pelajar lewat mendaftar, mereka masih berpeluang menduduki peperiksaan. Tetapi kali ini berlainan pula, mereka tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya, ketika dihubungi semalam.

Pelajar berkenaan tiba di negara itu mulai September tahun lalu, dibiayai pelbagai pihak termasuk tajaan kerajaan negeri dan institusi zakat negeri sepanjang tiga tahun pengajian di sana.

Mohammad Naim yang juga pelajar tahun tiga di pusat pengajian itu berkata, disebabkan masalah berkenaan mereka hanya dibenarkan menduduki peperiksaan, Julai nanti.

“Setahu saya, sejak tiba di sini September lalu mereka tidak mendaftar mengikuti peperiksaan kerana di sini walaupun tidak mendaftar tetap boleh mengikuti kelas pengajian seperti biasa.

“Apabila hampir dengan peperiksaan berlakulah masalah kelewatan dan disebabkan kelewatan ini mereka, baik pelajar baru lelaki di Maahad Shoubra mahupun pelajar perempuan di Maahad Mansourah tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya. Sementara itu, melalui maklumat yang diperoleh daripada blog Maqaz, Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) ada menerima aduan mengenai masalah terbabit.

“Jabatan ini menerima aduan daripada wakil pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Mesir (Syubra dan Mansourah) dan penjaga pelajar berkaitan larangan menduduki peperiksaan syafawi (lisan) pada 29 April 2010 dan peperiksaan tahriri (penulisan) pada 8 Mei 2010,” katanya.

Menurut JPMK, pihaknya mendapati beberapa sebab iaitu pelajar lewat sampai ke Mesir, lewat menyerahkan keputusan pemeriksaan kesihatan, visa tamat tempoh dan ada sebahagian pelajar tidak membuat visa, malah wakil pelajar tidak mengikut prosedur.

Berikutan itu, JPMK mengambil beberapa tindakan termasuk mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Majmak Al-Buhus Al-Islamiah, Syeikh Ali Abdul Baqi dan Imam Besar Syeikh Al-Azhar As-Syarif, Dr Ahmad Tayyib.

Namun, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PRAM) Mansourah dan Syubra menyifatkan kenyataan dan tindakan yang diambil JPMK wujud kekeliruan fakta yang jelas.

Katanya, pelajar terbabit tidak pernah mendapat sebarang makluman JPMK berkenaan ketetapan tarikh tiba di Mesir.

JAWAPAN BALAS TERHADAP KENYATAAN RASMI JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH (JPMK)

Berikut merupakan jawapan balas terhadap kenyataan rasmi Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) berhubung isu kenaikan nama mahasiswa/wi Qiraat Mansurah dan Shoubra.

Beberapa punca masalah telah dilampirkan oleh pihak JPMK antaranya :

1. Pelajar lewat sampai ke Mesir.

Buat makluman, mahasiswa/si tidak pernah mendapat sebarang makluman daripada pihak JPMK berkenaan ketetapan tarikh untuk tiba di Mesir.

2. Pelajar lewat menyerahkan keputusan pemeriksaan kesihatan iaitu pada 22 November 2009 sedangkan tarikh tutup 30 Oktober 2009.

Mahasiswa/wi tidak pernah mendapat makluman tarikh tutup penyerahan segala dokumen pada 30 Oktober 2009 daripada pihak JPMK melalui sebarang saluran. Wakil pelajar hanya dimaklumkan tentang tarikh tutup tersebut ketika pertemuan rasmi dengan Atase Akademik JPMK pada 3 Mei 2010.

3. Visa telah tamat tempoh dan ada sebahagian pelajar tidak membuat visa. Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) menerima salinan visa yang terakhir pada 26 Disember 2009.

Masalah visa adalah rentetan daripada masalah yang pertama dan mahasiswa/wi Qiraat menghadapi masalah memperbaharuinya untuk kali kedua .

4. Wakil pelajar tidak mengikut prosedur yang diberikan oleh pegawai JPMK. Pelajar yang menguruskan sendiri visa dan pemeriksaan kesihatan dapat menyerahkan kepada JPMK sebelum 30 Oktober 2009.

Kami menafikan pihak JPMK mengeluarkan sebarang prosedur bagi isu ini untuk dipatuhi

Dalam kenyataan tersebut, berhubung tindakan yang diambil oleh pihak JPMK wujud kekeliruan fakta yang jelas:

29 April 2010
Idaratul Wafidin memulangkan semua fail pelajar kepada JPMK

Kenyataan ini bercanggah dengan tulisan Atase Pendidikan JPMK di dalam blog rasminya yang menyatakan:

“Untuk makluman, fail pelajar masih lagi di Idaratul Wafidin al-Azhar, hanya menunggu tandatangan dan persetujuan Syeikh al-Azhar. ”.

Sila rujuk blog Rasmi Atase Pendidikan bertarikh 30 April 2010 (lihat).


Disediakan oleh :

Mohd Zahimi bin Mohd Dzahid,
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan,
PMRAM cawangan Mansurah.

Md Saifullah bin Nik Abdullah,
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan,
PMRAM cawangan Shoubra.

Kronologi Masalah Kenaikan Nama Pelajar Baru Qiraat sesi 2009/2010

Kronologi Masalah Kenaikan Nama Pelajar Baru Qiraat sesi 2009/2010

1 Oktober 2009
Rombongan terakhir mahasiswa Qiraat Shoubra tiba

4 Oktober 2009
Pihak DPM Shoubra mengambil borang pendaftaran di Kedutaan Malaysia

5-13 Oktober 2009
Pihak DPM Shoubra menyelesaikan urusan pemeriksaan kesihatan di Hospital Hussin

6 Oktober 2009
Ketibaan kumpulan terakhir mahasiswi Qiraat ke Mansurah

15 Oktober 2009
Pihak Dewan Perwakilan Mahasiswa/wi (DPMM) telah menguruskan urusan pemeriksaan kesihatan mahasiswi Qiraat baru di Hospita Zahra, Kaherah

22 November 2009
Urusan visa mahasisiwi Qiraat Mansurah telah dibuat di Tahrir

Pihak DPM Shoubra telah menghantar boang pendaftran mahasisiwa-mahasiswi Qiraat baru kepada pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah. Dokumen diserahkan kepada Encik Sulaiman Zaki

29 November 2009
Perjumpaan DPMM dengan pihak Maahad bagi membincangkan masalah mahasisiwi baru

5-19 Disember 2009
Pihak DPM Shoubra menyelesaikan urusan visa mahasiswa Shoubra di Mujamma’ Tahrir

26 Disember 2009
Pihak DPM Shoubra telah menghantar salinan visa mahasiswa Qiraat Shoubra kepada JPMK

Januari 2010
Pihak DPM Shoubra telah mengadakan pertemuan dengan Encik Sulaiman bagi mengetahui perkembangan terbaru kenaikan nama mahasiswa-mahasiswi baru Qiraat

7 Mac 2010
Ketua Unit Pengetahun HEWI DPMM telah berjumpa pegawai JPMK. Hasil dari perjumpaan berikut :

1. Pihak JPMK menyatakan urusan kenaikan nama akan selesai selepas tempoh 10 hari

2. Kelewatan urusan ini berpunca daripada kehadiran mahasiswi Qiraat baru yang datang secara berperingkat, dan tarikh tamat visa yang berbeza

1 April 2010
Pihak DPM Shoubra berjumpa dengan pegawai JPMK bagi mengetahui perkembangan terkini

7 April 2010
Perbincangan antara wakil Badan Pengurus PMRAM, pihak DPM Shoubra dan pihak DPM Mansurah bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK). Maklum balas yang diterima seperti berikut:

1- JPMK akan berbincang dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bagi mempercepatkan dan menyelaraskan tarikh kedatangan mahasiswa/wi Qiraat bagi sesi yang akan datang.
2- Mengeluarkan surat perlepasan khas kepada pihak Maahad Qiraat bagi membolehkan mahasiswa/wi dapat menduduki peperiksaan. Sekiranya permohonan ini tidak diterima, wakil pihak JPMK akan turun ke Maahad Qiraat Shoubra dan Mansurah untuk menyelesaikan masalah ini.

8 April 2010
Pihak DPM Shoubra berjumpa dengan Pengetua Maahad Shoubra dan menyerahkan surat perlepasan khas dari JPMK

11 April 2010
Pengetua Ma’ahad Qiraat Shoubra membalas surat JPMK dan bersetuju membenarkan mahasiswa Qiraat tahun satu menduduki Imtihan Syafawi

Jadual peperiksaan mahasisiwi Qiraat Mansurah tahun satu dan dua dikeluarkan secara rasmi oleh pihak Maahad Mansurah

19 April 2010
Mahasiswa Qiraat tahun satu Shoubra menduduki Imtihan Syafawi

26 April 2010
Wakil DPMM telah berjumpa dengan pihak Maahad Mansurah bagi mengetahui perkembangan terkini. Maklum balas yang diterima dokumen masih lagi belum sampai


27 April 2010
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan DPMM telah membuat perjumpaan susulan dengan pihak Maahad Mansurah. Pihak Maahad bertegas dengan keputusan tidak membenarkan mahasisiwi Qiraat tahun satu menduduki peperiksaan
.
Pihak DPM Shoubra berjumpa dengan Pegawai Bahagian Peperiksaan di Pejabat Pentadbiran Maahad Al-Azhar dan Pegawai Bahagian Urusan Pelajar Luar Negara di Mujamma’ Buhus. Maklum balas yang diterima adalah semua fail pelajar qiraat sesi kemasukan 2009 belum sampai

28 April 2010
Wakil DPM Shoubra berjumpa pegawai negeri Pegawai Kedah, Selangor dan Pahang bagi membincangkan masalah ini

29 April 2010
Wakil Badan Pengurus PMRAM dan pihak DPMM berjumpa dengan pihak Al-Azhar cawangan Mansurah bagi mendapat keizinan menduduki peperiksaan syafawi. Jawapan yang diterima urusan ini di luar bidang tugas mereka

2 Mei 2010
Pihak DPM Shoubra telah pergi ke Bahagian Urusan Pelajar Luar Negara untuk bertanyakan maklumat terkini berkaitan hal ini.Maklum balas yang diterima adalah dokumen mahasiswa-mahasiswi Qiraat masih belum sampai

3 Mei 2010
Perjumpaan DPM Shoubra dan DPMM bersama Atase Akademik JPMK membincangkan isu ini

4 Mei 2010
Perjumpaan Atase Akademik JPMK bersama Al-Imam Al- Akbar Syeikh Al-Azhar As-Syarif Dr. Ahmad Tayyib.

Disediakan Oleh :

Mohd Zahimi bin Mohd Dzahid
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan,
PMRAM cawangan Mansurah.

Md Saifullah bin Nik Abdullah
Ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan,
PMRAM cawangan Shoubra

Keputusan Rasmi JPMK


JABATAN PENUNTUT MALAYSIA KAHERAH
MASALAH PELAJAR TAHUN SATU
MAAHAD QIRAAT AL-AZHAR MESIR 2009/2010


Pendahuluan
Jabatan ini telah menerima aduan daripada wakil pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Mesir (Syubra dan Mansourah) dan penjaga pelajar berkaitan larangan menduduki peperiksaan syafawi (lisan) pada 29 April 2010 dan peperiksaan tahriri (penulisan) pada 8 Mei 2010.

Punca Masalah
1. Pelajar lewat sampai ke Mesir.
2. Pelajar lewat menyerahkan keputusan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) iaitu pada 22 November 2009 sedangkan tarikh tutup 30 Oktober 2009.
3. Visa telah tamat tempoh dan ada sebahagian pelajar tidak membuat visa.
Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) menerima salinan visa yang terakhir pada 26 Disember 2009.
4. Wakil pelajar tidak mengikut prosedur yang diberikan oleh pegawai JPMK.
Pelajar yang menguruskan sendiri visa dan pemeriksaan kesihatan dapat menyerahkan kepada JPMK sebelum 30 Oktober 2009.
Ekoran daripada sebab-sebab di atas, semua fail pelajar diserahkan kepada Idaratul Wafidin (Pejabat Pelajar Luar Negara) selepas 26 Disember 2009.

Tindakan yang diambil
7 April 2010
JPMK mengeluarkan surat permohonan kepada pihak yang berkenaan untuk membenarkan pelajar tahun 1 mengambil peperiksaan lisan walaupun fail belum sampai ke Maahad.
20 April 2010
JPMK mengadakan pertemuan dengan Syeikh Ali Abdul Baqi, Setiausaha Majmak Al- Buhus Al- Islamiah.
29 April 2010
JPMK mengadakan pertemuan dengan Syeikh Dr. Muhammad Wasil, Wakil Syeikh Al-Azhar di pejabat Al-Azhar,
29 April 2010
Idaratul Wafidin memulangkan semua fail pelajar kepada JPMK.
4 Mei 2010
JPMK mengadakan pertemuan dengan Al-Imam Al- Akbar Syeikh Al-Azhar As-Syarif Dr. Ahmad Tayyib.

Keputusan Perbincangan
1. Al-Imam Al- Akbar Syeikh Al-Azhar As-Syarif Dr. Ahmad Tayyib telah bersetuju untuk meminta Syeikh Dr. Muhammad Wasil, Wakil Al-Azhar menerima dan menguruskan fail-fail tersebut walaupun visa telah tamat tempoh.
2. Walau bagaimanapun, pelajar hanya dibenarkan mengambil peperiksaan pada daur al- thani (semester kedua) iaitu pada bulan JULAI 2010.


Jabatan Penuntut Malaysia Mesir
Kaherah
5 Mei 2010

Rujukan
http://jpmk.info/?p=1694
atase pendidikan

...lukisan dihati... © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO